Menu

 

A+ A A-

BAGAIMANA “LIFE STYLE” SALAFUSSOLEH?

Apa yang ada dalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya. Begitulah juga jika sebaliknya. Sayidina Uthman Ibn Affan, seorang sahabat yang utama pernah menegaskan: “Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu, kecuali Allah akan mengungkapnya melalui raut wajah dan lisannya.”

Maksudnya, air muka dan perkataan kita ialah cerminan apa yang ada dalam hati kita. “Jika iman yang tersemat di dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibn al- Jawzi berkata: “Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu daripada penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik.”

Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hamba-Nya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri, malah oleh orang lain juga.

Cerminkan Sifat Kesempurnaan Ilahi pada Peribadi

Paparkanlah kesan nikmat daripada Allah Yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya. Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya.

Auf bin Malik menceritakan: “Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan memakai pakaian yang sudah lama dan lusuh.” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah kamu mempunyai harta?” Aku menjawab: “Ya.” Rasulullah s.a.w. kemudian bertanya lagi: ”Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?” Aku menjawab: “Allah memberikan kepadaku melalui unta, kambing, keldai dan tepung.” Lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepadamu.”

lifestyle-salafussoleh-1

Rasulullah Cakna Penampilan

Dalam konteks yang sama, Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus. Lalu Baginda bersabda: “Adakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?” Rasulullah s.a.w. juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas Baginda menegur: “Adakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?”

Ternyata Rasulullah seorang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah s.a.w. Baginda ialah “al-Quran hidup” yang begitu indah apabila dilihat, apalagi bagi mereka yang bergaul bersamanya. Daripada Jabir bin Samrah r.a.: “Aku melihat Nabi s.a.w. pada satu malam bulan terang. Aku pun membandingkan antara Rasulullah s.a.w. dan bulan.” Jabir menyambung: “Ternyata Rasulullah bagiku lebih indah daripada rembulan.”

Berpenampilan Tidak Menunggu Kaya

Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan, tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, si kaya dan si miskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga, tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam. Itulah juga tradisi dan life style para salafussoleh.

Imam Ahmad Ibn Hanbal rhm. misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan orang yang kaya. Beliau seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati. Berkenaan penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya al-Maimuni pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang memakai pakaian lebih bersih daripada Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih sepertimana yang dipakai oleh Imam Ahmad.”

Inilah jalan yang ditempuh oleh para salafussoleh untuk meneladani jalan Rasulullah s.a.w. Inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat bahawa wajah, lisan, pakaian dan luaran kita ialah terjemahan apa yang ada dalam hati kita. Ayuh fikir!

Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Last modified onFriday, 06 June 2014 12:24
Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas