Menu

 

A+ A A-

BANK ORGAN MANUSIA

PADA hari ini wujud banyak institusi atau disebut bank yang menyimpan organ dan anggota badan manusia. Antaranya bank susu, tisu, mata, sperma, otak dan sebagainya. Institusi ini berfungsi sebagai badan penyelidikan dan penyimpanan untuk tujuan pemindahan organ.

Terdapat pelbagai pandangan fuqaha berkenaan hokum penubuhan bank-bank organ manusia ini. Walau bagaimanapun ulama telah bersepakat tentang pengharaman beberapa bank iaitu bank sperma, ovari dan organ-organ yang mewarisi keturunan.

Jual kepada Bank

Soalan : Bolehkah seseorang menjual organnya kepada bank tersebut?

Jawapan : Sekiranya terdapat pemberian anggota badan kepada bank manusia, ia diharamkan sama sekali kerana secara hukum fiqah, anggota badan manusia barangan yang boleh dijual beli. Ada satu prinsip berbunyi: Semua benda yang boleh dijual beli boleh didermakan. Namun bukan semua benda yang boleh didermakan boleh dijual beli.

Maka sesiapa yang ingin menderma dinasihatkan agar mengikhlaskan diri kepada Allah. Namun sekiranya orang yang menderma itu diberi sagu hati tanpa bersyarat, maka tidak menjadi kesalahan untuk menerimanya.

Bank Susu

Soalan : Bagaimana dengan hukum bank susu yang hangat dibincangkan? Malaysia pun ada cadangan untuk menubuhkannya.

Jawapan : Terdapat tiga pendapat yang berbeza dalam kalangan fuqaha:

1.Haram

Antara hujahnya, tindakan penubuhan bank susu itu akan membawa kerosakan iaitu akan berlakunya perkahwinan sesama adik susuan. Pendapat ini berasaskan prinsip kaedah ihtiyat (berjaga-jaga) dalam menjaga kehormatan manusia.

2. Dibolehkan dengan bersyarat.

Syaratnya mesti ada sistem yang dapat mengenal pasti dan menyimpan rekod anak susu dan ibu susu. Ini sebagai langkah untuk mengelak daripada berlakunya perkahwinan saudara susuan. Namun secara realitinya, syarat ini sangat sukar dilaksanakan.

3. Dibolehkan.

Antara hujahnya, penyusuan susu itu nanti bukannya dengan cara bayi menghisap susu daripada badan ibu susuan secara langsung. Sebaliknya susu diambil dan disuapkan kepada bayi dengan botol dan sebagainya. Mengikut Ibn Hazm, cara penyusuan sebegini tidak menjadikan bayi itu anak susu kepada wanita pemilik asal susu tersebut. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Qaradawi.

Kesemua pendapat ini sahih dan muktabar. Walau bagaimanapun, soal pelaksanaannya terserah kepada kerajaan. Kerajaan akan memilih pendapat berdasarkan pertimbangan maslahat.

Simpan Mani

kaler kalerSoalan : Ustaz menyatakan bahawa bank sperma itu haram. Bagaimana pula dengan tindakan menyimpan sperma? Tindakan ini biasanya dilakukan oleh individu yang dijangka mandul pada masa akan datang.

Jawapan : Masalah ini pernah diajukan kepada saya oleh seorang doktor pakar sakit puan. Gambaran situasinya: Seorang lelaki dijangka akan mengalami kemandulan dalam usia dua puluhan. Namun dia tetap menginginkan zuriatnya.

Lalu dia pergi ke hospital untuk menjalankan proses penyimpanan air mani. Air mani itu dikeluarkan dengan cara onani dan disimpan dalam tempat khas. Jadi apabila berkahwin kelak, dia akan menggunakan air mani itu untuk disenyawakan dengan ovum isterinya melalui kaedah IVF.

Secara umumnya, ada dua pendapat dalam kalangan fuqaha:

1.Haram.

Tindakan ini akan menyebabkan berlakunya percampuran nasab dengan kemungkinan berlaku kecuaian di pihak hospital. Apatah lagi perbuatan onani itu haram mengikut pandangan jumhur.

2.Harus

Hal ini sekiranya dia berhajat kepada anak dan proses itu dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab dan diiktiraf oleh kerajaan. Dalam masa yang sama mematuhi hukum fiqah antaranya tidak digunakan air itu kepada bukan isterinya.

Mengenai hukum onani, ada ulama yang tidak mengharamkannya seperti Ibn Hazm dan al-Syaukani kerana tidak dalil yang mengharamkannya. Cuma perbuatan itu memang tidak elok dari segi akhlak. Namun dalam keperluan sebegini tidak mengapa ia dilakukan kerana ingin mencapai matlamat yang mulia iaitu ingin memperoleh anak. Ada satu prinsip berbunyi: Dimaafkan pada wasilah yang tidak dimaafkan pada matlamat.

Kesimpulan, sekiranya perkara ini boleh dijaga dan dikawal daripada percampuran nasab dan peletakan air mani kepada bukan isteri, maka tidak mengapa dilaksanakan kerana ia adalah keperluan, rawatan dan penyelesaian.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: « BERSENAM UNTUK CERGAS
Kembali ke atas