Menu

 

A+ A A-

PEMUDA & PENGORBANAN

Pengorbanan Seorang Pemuda

Bagaimana untuk para pemuda sedar bahawa diri mereka begitu penting dan amat dinanti-nantikan sumbangan oleh agama dan negara?

Pemuda boleh didefinisikan sebagai individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun. Malah sebahagian pakar psikologi menyatakan bahawa umur pemuda bermula sejak umur 16 tahun lagi. Dalam Islam, pemuda (syabab) ialah mereka yang mampu berfikir secara matang dan sanggup memikul tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dalam al-Quran Allah s.w.t. menggunakan perkataan “fityah” yang merujuk kepada pemuda seperti dalam kisah Ashab al-Kahfi. Firman-Nya yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu PEMUDA (Muhammad) dengan kebenaran, sesungguhnya mereka itu ialah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka dan kami tambahkan bagi mereka petunjuk.”(Surah al-Kahfi:13)

Pemuda biasanya dikaitkan dengan kekuatan, kecergasan dan kesungguhan. Mereka juga dikaitkan dengan kekuasaan untuk melakukan sesuatu perubahan dalam masyarakat. Mereka juga diibaratkan sebagai benteng dalam mempertahankan negara daripada serangan luar sama ada dalam bentuk serangan senjata mahupun serangan pemikiran.

Golongan ini juga merupakan pencetus idea dalam pembinaan dan pengukuhan sesuatu tamadun. Maka mereka harus menyedari bahawa mereka ialah tulang belakang dalam menentukan kestabilan sesebuah negara. Setelah menyedari kepentingan mereka dalam pembangunan sesebuah negara, maka sewajarnya lahir rasa ingin berkorban dalam jiwa setiap pemuda sama ada pengorbanan tersebut melibatkan tenaga, harta benda mahupun nyawa dengan meletakkan ajaran Islam sebagai panduan dalam setiap urusan kehidupan.

Cabaran Pemuda Islam Masa Kini

Kita sedia maklum bahawa kehidupan masa kini lebih mencabar. Apa nasihat ustaz untuk pemuda dalam mendepani cabaran semasa?

Pemuda-pemuda Islam pada zaman kini menghadapi pelbagai cabaran yang mampu menggugat keimanan dan jati diri mereka. Umat Islam di seluruh dunia telah dihujani dengan serangan pemikiran. Begitulah juga dengan serangan dalam arus sosial mereka yang lebih kita kenali sebagai kejutan budaya.

Kita sebagai pemuda Muslim harus bijak menilai setiap maklumat yang kita terima mahupun budaya yang dihidangkan dalam kehidupan kita. Mereka yang mempunyai jati diri yang kukuh mampu menangkis segala bentuk cabaran dan ujian yang hadir dengan penuh kesabaran. Bersabar dan berusaha untuk mengelak sebarang bentuk dosa merupakan suatu pengorbanan yang cukup besar bagi para pemuda Islam.

Firman Allah: “Sesungguhnya kami akan menguji kamu sehingga nyata kepada Kami mereka yang betul-betul berjuang dan mereka yang bersabar.” (Surah Muhammad: 31)

Oleh sebab itu, setiap perkara yang datang itu perlulah diukur menggunakan neraca Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah.

pemuda-pengorbanan-1

Persediaan Pemuda

Apakah persediaan yang perlu dipersiapkan oleh para pemuda pada masa kini?

Untuk mengharungi arus yang serba mencabar ini, para pemuda Islam perlulah mengambil perhatian dalam soal mempersiapkan diri supaya tidak mudah hanyut dengan gelombang arus kemodenan ini. Antara persediaan yang difikirkan penting adalah:

1. Memastikan kesucian dan keteguhan akidah.

Seorang pemuda Muslim itu perlulah bersih akidahnya daripada sebarang kepercayaan dan ideologi yang mampu menggugat keimanannya. Dia juga perlu yakin dan berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah Nabi tanpa sebarang keraguan. Dia juga perlulah menjauhi diri daripada segala perkara yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

2. Mempertingkatkan kualiti ibadah.

Sebagai pendukung dan tulang belakang kepada kestabilan negara, para pemuda harus sedar bahawa urusan yang tiada bersamanya etika ketuhanan adalah amat merugikan. Mereka juga perlu sedar bahawa hakikat kewujudan setiap insan adalah untuk beribadah kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Dzariyat: 56)

Nabi turut menjelaskan bahawa antara tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari akhirat kelak ialah pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Berusaha untuk menambahkan ilmu agama.

Realiti hari ini, kita semakin mendaki untuk menuju ke puncak kemajuan dan kemodenan. Namun kecerdikan dan intelektual yang dimiliki belum tentu menjamin kebahagiaan kita untuk hidup di muka bumi Allah. Kita memerlukan sokongan spiritual dalam kehidupan ini. Malah ia merupakan elemen terpenting dalam hidup seseorang hamba Allah. Jadilah mereka yang disebut sebagai ulul al-bab iaitu golongan cerdik pandai yang patuh kepada perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad): ‘Adakah sama antara mereka yang mengetahui dan mereka yang tidak mengetahui (jahil)?’ Sesungguhnya mereka yang mampu mengambil peringatan hanyalah ‘ulul al-bab’ (orang yang berakal).” (Surah al-Zumar: 9)

4. Bersabar atas setiap ujian yang menimpa.

Kita perlu mengetahui bahawa setiap dugaan yang dating daripada Allah adalah untuk menguji tahap kesabaran kita. Kesabaran atas setiap ujian dan dugaan juga merupakan aras pengukur kekuatan iman kita kepada Allah.

Allah berfirman, mafhumnya: “Adakah mereka menyangka bahawa mereka akan dibiarkan untuk berkata: ‘Kami beriman’ sedangkan mereka masih belum diuji?’ (Surah al-‘Ankabut: 2)

Justeru, bersabarlah wahai pemuda sekalian dengan setiap ujian Allah. Apabila kita telah yakin dengan jalan yang akan kita lalui, maka di situlah terbentuk pengorbanan yang lahir daripada jiwa-jiwa pemuda yang beriman.

Wallahu a‘lam.

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Artikel berkaitan: KASIH SAYANG KEHIDUPAN »
Kembali ke atas