Menu

 

A+ A A-

MENJAGA MABRUR DI TANAH SUCI

Gunting Kiswah Kaabah 

APA hukum sengaja memotong kain kiswah (kelambu) Kaabah? Ada salah seorang rakan jemaah haji saya mendakwa dia ada membeli sepotong kain kiswah dengan harga 300 Riyal. Apabila ditanya tentang sumber si penjual mendapatkannya. Dia memberitahu bahawa si penjual itu memotong sendiri semasa tawaf. Dakwanya lagi, kain tersebut mujarab untuk dibuat ubat.

Jawapan

Kepercayaan ini tidak berasas sama sekali. Tidak ada satu dalil pun yang menyokong keyakinan seperti ini. Bahkan perbuatan memotong dan mengambil kain kiswah Kaabah merupakan satu jenayah. Haram hukumnya!

Imam Abu al-Fadl bin Abdan berkata: “Tidak boleh memotong kain penutup Kaabah, memindahkannya, menjualnya dan membelinya. Tidak boleh pula meletakkannya di antara lembaran mashaf. Sesiapa yang mengambilnya, maka wajib mengembalikannya.”

Menurut al-Hafiz Ibn Solah, hanya imam (penguasa tanah haram) yang boleh mengambil kiswah dan menggantinya dengan yang baru. Imam boleh menjual atau menghadiahkan kiswah yang lama itu kepada siapa yang dikehendaki. Imam al-Nawawi menyetujui pendapat ini.

haji mabrur 

Jadi, bagi jemaah haji seperti kita, perbuatan memotong atau mengambil sebahagian kain kiswah adalah haram secara mutlak. Perbuatan ini boleh dikira sebagai satu jenayah pencurian.

Qada Solat untuk Arwah

Ketika ayah saya meninggal dunia setelah koma hampir dua bulan, seseorang menawarkan kepada saya perkhidmatan qada solat buat arwah di Masjidilharam. Lalu saya bersetuju. Apatah lagi dia mengatakan bahawa pahala solat di sana 100 ribu kali ganda. Beribu ringgit jugalah upahnya. Apa pandangan Al-ustaz?

Jawapan

Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat, ia sendiri yang wajib mengqada solat tersebut. Jika ia meninggalkan solat tanpa uzur, maka wajib qada dengan segera. Jika ia meninggalkannya kerana uzur seperti lupa dan tertidur, maka qada dengan segera hukumnya sunnah.

Adapun qada solat untuk orang yang telah meninggal dunia, maka kebanyakan ulama keempat-empat mazhab tidak membolehkan perkara tersebut. Al-Khatib al Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj berkata: “Al-Qadi ‘Iyad telah menukilkan telah ada ijmak ulama bahawa tidak boleh melakukan (qada) solat untuk orang yang sudah mati.”

Meskipun begitu, tidak dinafikan memang ada segelintir ulama yang melakukan qada solat bagi arwah. Imam al-Subki berkata: “Seorang kerabatku meninggal  dunia sambil berhutang lima solat. Maka aku lakukan solat itu untuknya kias ke atas puasa.”

Bagaimanapun para ulama melihat pendapat ini lemah dan tidak boleh dijadikan fatwa. Justeru, jika qada salat untuk arwah tidak dibenarkan, maka begitu juga upah qadanya. Akad tersebut dikira tidak sah.

Besi Kebab dan Tiang Toyol

memburu haji mabrur1

Sesetengah orang percaya bahawa besi kebab yang dibeli dari Tanah Suci boleh digunakan untuk memanggil jin Islam. Orang tua-tua di kampung saya juga menasihati saya supaya memperbanyakkan solat di salah sebuah tiang Masjidil haram. Khasiatnya, akan ada jin Islam yang pulang bersama kita untuk menjadi khadam. Betulkah kepercayaan seperti ini?

Jawapan

Haram mempercayai kepercayaan seperti itu. Kemungkinan besar ia rekaan para bomoh yang merupakan teman-teman syaitan dalam menyesatkan umat manusia. Seorang Muslim dilarang mempercayai semua ucapan mereka walaupun mereka fasih berbahasa Arab dan pandai menukilkan ayat-ayat al-Quran.

Membawa Balik Batu Arafah dan Batu-batu Jamrah

 batu di mekah

Arwah bapa saudara saya ada menghadiahkan beberapa ketul batu yang dikutip dari padang Arafah. Dia menyuruh saya menanamnya di sawah padi dan kebun buah kami. Dakwanya tanah ditanam batu Mekah, hasil tanamannya akan “menjadi”. Itu semua berkat batu tersebut. Dahulu saya terima sahaja. Sekarang saya tidak percaya. 

Jawapan

Semua keyakinan tersebut sekali lagi tidak berasas sama sekali. Batu-batu tersebut hanyalah batu-batu biasa yang tidak mengandungi kelebihan apa-apa. Dan saya khuatir keyakinan seperti ini merupakan bisikan syaitan untuk merosak kesempurnaan ibadah haji kita.

Bagaimanapun, jika batu-batu tersebut diambil dari kawasan Tanah Haram Makkah atau Madinah, maka para ulama menegaskan bahawa haram hukumnya mengeluarkan tanah atau batu yang berada di kawasan Tanah Haram ke kawasan halal. Begitu juga benda-benda yang terbuat daripada tanah atau batu Tanah Haram seperti pasu, tembikar dan lain-lain. Hanya air zamzam yang boleh dikeluarkan dari tanah haram.

Jika mengeluarkan benda-benda ini ke tanah halal diharamkan, maka apalagi jika seseorang membawanya balik ke negeri asalnya. Perbuatan ini terlarang. Siapa yang melakukannya, maka ia wajib mengembalikan benda-benda tersebut ke tempatnya semula.

Imam al-Nawawi berkata “Tidak boleh mengambil sesuatu daripada tanah haram atau batubatunya untuk dibawa balik ke negerinya. Bahkan tidak boleh mengeluarkan benda-benda ini dari tanah haram ke tanah halal!” Sesiapa yang ingin membawa pulang barang kenangan, carilah benda-benda lain seperti pakaian, barang perhiasan. Mashaf al- Quran dan buku-buku pun bagus juga. Semua benda ini halal untuk dibawa pulang.

Mencium dan Mengusap Makam Nabi

Saya pernah melihat seorang rakan dari jemaah umrah negara kita sendiri sanggup merempuh orang lain semata-mata untuk mendekati kubur Nabi. Apabila sampai dekat, dia mencium dan mengusap-usap tangannya pada gerigi pagar kubur Nabi sambil menangis-nangis. Dia begitu marah setelah ditegur oleh seorang pengawal Arab. Dakwanya, orang Arab itu berdosa besar kerana menghalang orang mencintai Nabi. Mohon komen ustaz. 

Jawapan

Cinta kepada Baginda Nabi merupakan sikap orang yang beriman. Namun begitu, cinta tidak boleh dibiarkan tanpa aturan sehingga merosak adab kesopanan kita kepada Baginda. Menurut para ulama, perbuatan yang dibawakan ini sebenarnya bertentangan dengan adab kesopanan yang sepatutnya kita zahirkan semasa hadapan Nabi.

Imam al-Nawawi berkata: “Tidak boleh bertawaf di kubur Nabi. Makruh menempelkan perut atau belakang tubuh ke dinding kubur. Hal ini dijelaskan oleh al-Halimi dan lain-lain. “Begitu juga makruh mengusap kubur dengan tangan atau menciumnya. Bahkan adab yang sepatutnya adalah kita hendaklah merenggangkan diri daripada kubur sebagaimana jika kita hadir di hadapan Nabi semasa hidupnya.

“Andai kita berada di hadapan Nabi ketika baginda masih hidup, adab kita semestinya dengan berdiri tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh. Dalam masa yang sama, hati kita khusyuk dan tawaduk sambil menundukkan pandangan.” Imam al-Nawawi berkata lagi: “Inilah yang benar. Inilah adab yang sepakat dianjurkan oleh semua ulama. Janganlah tertipu dengan sikap kebanyakan orang awam. Teladan dan amalan kita mestilah mengikuti para ulama. Jangan mengendahkan perbuatan dan sikap orang awam jahil.”

Beliau juga berkata: “Jika terlintas di minda seseorang: ‘Bukankah mengusap dan mencium kubur lebih baik agar kita mendapatkan keberkatan Nabi?’ Maka pemikiran ini lahir daripada kejahilan. “Ini kerana keberkatan hanya kita dapati dengan mengikuti kehendak syarak dan ucapan ulama. Bagaimana mungkin kita mendapat keutamaan jika kita menyalahi kebenaran?” Demikian penjelasan beliau dalam kitab al-Idah.

Mencium Makam Ibrahim

makam ibrahim

Bagaimana pula dengan situasi di maqam Nabi Ibrahim? Saya pernah lihat ada jemaah wanita negara lain yang beriaia mengusap-usap kain padanya.

Jawapan

Maqam Ibrahim hukumnya pun seperti itu. Kita dilarang mencium maqam Ibrahim ataupun mengusapnya dengan tangan. Sebab perbuatan itu merupakan bidaah. Demikianlah penjelasan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Idah.

Idah Haji

Satu lagi, ada seorang pakcik juga mengatakan bahawa apabila abang saya pulang nanti, dia mesti “berkurung” di rumah dahulu selama 40 hari. Dia tidak boleh bergaul dengan masyarakat seperti kebiasaan terus. Dengan itu, barulah haji itu berkat dan melekat di hati. Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Kita tidak akan menemui perintah berkurung ini diajar oleh mana-mana ulama muktabar sama sekali. Saya pun tidak pasti bagaimana kepercayaan seperti ini boleh mengakar dalam masyarakat kita. Tanda keberkatan haji bukanlah dengan mengurung diri di rumah. Akan tetapi, tanda haji seseorang diterima Allah apabila terjadi perubahan pada dirinya menjadi insan yang lebih baik dalam hubungannya dengan Allah dan pergaulannya kepada manusia. Imam al-Nawawi berkata: “Selayaknya setelah seseorang kembali daripada ibadah haji, ia menjadi orang yang lebih baik daripada sebelumnya. Ini antara tanda-tanda ibadah hajinya diterima oleh Allah. Dan kebaikannya mestilah terus menerus bertambah.”

Kenduri Haji

kenduri haji

Ketika abang saya hendak menunaikan haji dua tahun lepas, kami mengadakan kenduri selamat untuknya sebelum berangkat. Sebenarnya kenduri itu dilakukan lebih kepada memenuhi gesaan orang-orang tua di kampung. Mereka mendakwa sesiapa yang tidak membuat kenduri itu, dikhuatiri ibadah hajinya nanti tidak sempurna. Satu lagi, ketika abang saya melangkah keluar dari rumah, ada seorang pakcik melaungkan azan. Soalan saya, adakah kenduri haji itu disunatkan sebagaimana kenduri aqiqah? Mohon penjelasan daripada ustaz.

Jawapan

Saya tidak menemui satu hadis pun yang menganjurkan supaya diadakan kenduri haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Namun ada hadis yang menganjurkan supaya diadakan kenduri setelah pulang ke tanah air. Tidak ada halangan sama sekali untuk membuat kenduri sebelum berangkat ke Tanah Suci, asalkan tidak disertakan dengan perkara-perkara yang terlarang.

Jabir bin Abdillah menceritakan bahawa apabila baginda sampai ke Madinah, beliau menyembelih sapi atau unta.” (Sahih al-Bukhari)

Cuma, sunnah mengadakan kenduri ini bukan hanya untuk jemaah haji sahaja. Ia sunat dilakukan oleh sesiapa yang baru sahaja tiba dari perjalanan jauh sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah. Walau bagaimanapun, jika ada sesiapa yang ingin membuat kenduri sebelum berangkat ke Tanah Suci, maka saya tidak melihat ada halangan sama sekali. Asalkan diperhatikan agar kenduri tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang terlarang dalam agama seperti pembaziran, memaksakan diri padahal tidak mampu, riyak, dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan. Jika terdapat salah satu daripada perkara yang telah disebutkan itu, maka kenduri tersebut telah menjadi haram.

Berkata guru kami Syeikh Dr. Nurudin ‘Itr: “Realitinya apa yang sering berlaku dalam kenduri sambutan jemaah haji dan kenduri kahwin adalah ia telah menjadi bebanan yang sangat memberatkan. Saya menyeru kepada para bijak-pandai umat Islam supaya segera mengubati tradisi buruk yang menyusahkan masyarakat Islam ini.” Adapun laungan azan yang mengiringi jemaah haji apabila mereka hendak keluar rumah, maka saya tidak menemui sandaran nasnya sama sekali. Kemungkinan itu setakat adat belaka.

Rujukan:

Al-Idah fi al-Manasik, Imam al-Nawawi.

Fatwa al-Imam al-Nawawi, himpunan Alauddin al-Attar.

Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini.

Al-Haj wa al-Umrah fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Nurudin ‘Itr.

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas