Menu

 

A+ A A-

JUJUR DALAM AMANAH

Cikgu, saya merupakan seorang pelajar IPTA yang sedang membuat praktikal di sebuah syarikat  swasta (law firm). Saya mempunyai seorang rakan sekerja yang kelihatan alim serta suka menegur kesalahan orang lain. Tetapi kami sering mendengar sikapnya yang tidak amanah apabila membuat tuntutan kerja lebih masa dan curi tulang sewaktu bekerja. Apa pendapat Cikgu?

Jawapan:

jujurJujur. Inilah perkataan yang pendek tetapi agak susah untuk diamalkan. Solat, berpakaian mengikut sunnah dan berpuasa sepanjang hari kelihatan lebih mudah dilaksanakan walaupun memakan lebih banyak masa berbanding bersikap jujur. Allah s.w.t. ada menyebut perkara ini dalam al-Quran, maksudnya: “(Mereka selalu berkata: ‘Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredai Allah).’

Dalam pada itu, apabila perkara (peperangan jihad) itu ditetapkan wajibnya, (mereka tidak menyukainya); maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya),tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.” (Surah Muhammad 47: 21)

Lihat, permulaannya apakah janji mereka? “Pendirian kami mematuhi danmemperkatakan yang diredai Allah”. Kemudian, apa yang berlaku? Sebaliknya!Kadang-kadang kita terlalu memperhebatkan perkara yang besar, sedangkan perkara yang kecil sering dilupakan. Sebenarnya, perkara yang kecil atau remeh itulah menentukan siapa kita. Seperti juga mengecat rumah, kita begitu teliti dengan kualiti cat tersebut, harga juga tidak menjadi masalah pada kita. Tetapi apa yang menentukan cantik atau tidaknya rumah itu?

Ya, penentunya adalah penyudahnya! Cuba bayangkan rumah yang siap dicat, tetapi di tepi-tepi tiang, di celah-celah siling terlihat jelas catnya tidak rata atau sekata. Bukankah sakit  mata memandang? Cuba kita lihat situasi yang biasa berlaku dalam masyarakat tentang kejujuran:

1. Ketika membeli barang di kedai, kita menerima lebih wang baki. Jika tidak dipulangkan pun, itu bukan salah kita. Tapi jika dipulangkan? Mungkin itu satu dakwah yang besar.

2. Kita berjanji dengan kawan untuk berjumpa pada pukul 10.00 pagi. Jika terlewat 30 minit sekalipun, kawan mungkin sekadar marah atau berkecil hati. Tetapi jika kita sampai lebih awal atau tepat pada waktunya?

Mungkin itu juga satu dakwah besar. Kenapa kita perlu jujur dan mementingkan perkara ini? Sebab kita Muslim dan insya-Allah ke arah Mukmin.

Buat Alden, teruskan memberi nasihat. Doakan rakan sekerja Alden segera sedar akan tindakannya. Hati milik Allah, maka mohonlah pada 1Allah agar dilembutkan hatinya. Tanpa kejujuran, impaknya terlalu besar. Kita mula tidak menyukai dan meraguinya. Jika diungkit dan diminta penjelasan, orang sebegini banyak dolak-daliknya seperti menegakkan benang yang basah.

 Akhirnya, Cikgu sarankan kita (termasuk Cikgu) supaya sama-sama dapat mengamalkan:

1. Jujur pada semua orang, tidak kira peringkat umur, darjat mahupun agama.

2. Jujur pada diri sendiri. Mungkin perbuatan kita tidak ada kena-mengena dengan orang lain, tetapi jika kita belajar jujur pada diri sendiri, kita akan lebih tenang dan aurapositif diri akan lebih kuat, insya-Allah.

3. Jujur walaupun perit. Untuk menegur kesalahan orang lain, terkadang kita menjadi mangsa; dimarahi atau pun dimusuhi. Teruskan berlaku jujur kerana kita orang Islam.

 

 

 

CIKGU YASER MOHD AKHIR

Sumber artikel daripada QEN-Q 10


 

Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas