Menu

 

A+ A A-

MENAKAR KEMAMPUAN MENUNAIKAN HAJI

Definisi Berkemampuan

Soalan:

IBADAH haji diwajibkan ke atas orang yang berkemampuan sahaja. tetapi apa maksud berkemampuan yang sebenar?

Jawapan:

Benar sekali. Ibadat haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah...” (Surah Ali-‘Imran 3: 97)

Seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, apakah antara sebab yang mewajibkan haji?” Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ada bekalan dan kenderaan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Jadi perkataan bekalan dan kenderaan dalam hadis ini mentafsirkan maksud perkataan berkemampuan dalam ayat al-Quran tersebut. Syeikh al-Maraghi terdapat perbezaan tafsiran tentang “kemampuan” ini dalam kalangan:

1. Kemampuan menyediakan bekalan dalam melakukan perjalanan secara aman.

2. Kesihatan tubuh badan dan keupayaan berjalan.

3. Aspek kesihatan badan, tidak berasa takut dari pada gangguan musuh dan binatang buas. Di samping itu, berkeupayaan dari aspek harta untuk membiayai makanan dan perjalanan, mampu membayar hutang-hutangnya, mengembalikan barang amanah kepada pemiliknya dan mampu menanggung perbelanjaan keluarganya selama tempoh melaksanakan haji sehingga pulang.

Kesimpulannya, syarat wajib menunaikan ibadat haji ialah berkemampuan. Kemampuan ini mempunyai tingkat yang berbeza-beza sesuai dengan keadaan seseorang.” (Tafsir al-Maraghi, jil. 2, hal. 853)

menakar-kemampuan-menunaikan-haji-1

Mengukur Kemampuan

Soalan:

Bagaimana untuk mengukur seseorang itu termasuk orang yang berkemampuan atau tidak?

Jawapan:

Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila dia memiliki tubuh badan yang sehat dan memiliki harta yang

mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta itu termasuk:

1. Tambang pengangkutan.

2. Perbelanjaan pergi dan balik, di samping bayaran untuk passport perjalanan.

3. Upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah.

4. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya.

Manakala bagi wanita ada ciri tambahan iaitu hendaklah wujud bersamanya mahram atau wanita yang thiqah (boleh dipercayai) dalam perjalanan menuju ke Makkah.

Kesihatan Tidak Mengizinkan?

Soalan:

Bagaimana pula dengan orang yang berkemampuan dari segi kewangan tetapi tidak mampu dari segi kesihatan diri?

Jawapan:

Berkemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung dan kemampuan secara tidak langsung. Kemampuan secara langsung adalah seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadat haji dan umrah kerana masih berupaya iaitu badan yang sihat, mampu menempuh perjalanan jauh dan melakukan ibadat tanpa mengalami kemudaratan dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kemampuan secara tidak langsung pula bermaksud seseorang mukalaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya, sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis. Seorang lelaki bertanya Rasulullah: “Ya Rasulullah, bapaku telah meninggal dunia sedangkan dia belum lagi mengerjakan haji. Adakah aku boleh menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda s.a.w. menjawab dengan maksudnya: “Bagaimanakah sekiranya bapa engkau berhutang? Adakah engkau akan melunaskannya?” Dia menjawab: “Ya!” Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Maka hutang terhadap Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (Riwayat al-Nasa’i)

menakar-kemampuan-menunaikan-haji-2

Hanya kerana Allah

Soalan:

Boleh ustaz kupas maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” Seolah-olah dalam ayat ini ada unsur penekanan.

Jawapan:

Benar. Secara umumnya umat Islam sepatutnya sedia maklum bahawa setiap ibadah wajib dilakukan kerana Allah. Namun dalam ayat ini Allah sengaja menekankan hal ini berkaitan ibadat haji dan umrah. Ini ada kaitan dengan budaya masyarakat Arab ketika itu. Kebiasaannya mereka pergi menunaikan haji dengan tujuan untuk berkumpul, menunjuk-nunjuk, bersaing, bermegah-megah, menunaikan pelbagai hajat dan membeli belah. Mereka tidak pergi dengan tujuan utamanya untuk menunaikan kefarduan dan hak yang ditetapkan oleh Allah.

Justeru, Syeikh al-Maraghi mentafsirkan ayat ini: “Kerjakanlah ibadah haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap. Secara lahiriah ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya.”

“Sementara secara batiniah pula, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi perdagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas. Namun tujuan sebenar ke Mekkah bukan untuk berdagang.” (Tafsir al- Maraghi jil. 1, hlm. 393)

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas