Menu

 

A+ A A-

ISLAM AGAMA MUDAH

ISLAM agama yang mudah dan indah. Masuk Islam dan menjalani kehidupan sebagai Muslim hakikatnya tidak susah. Jika terdapat bayangan susah dan berat dalam hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam, itu bukanlah kerana Islam itu yang berat. Akan tetapi gambaran itu disebabkan sama ada kerana salah faham tentang hukum Islam, atau nafsu yang enggan tunduk kepada ketentuan Islam. Walau bagaimanapun kedua-duanya boleh diatasi dengan menuntut ilmu tentang agama Islam daripada sumber-sumber yang muktamad.

Boleh Pelajari Islam

Soalan : Saya berkawan dengan seseorang lelaki berbangsa Cina yang berminat mempelajari tentang Islam. Adakah beliau perlu memeluk Islam dahulu untuk mempelajari Islam?

Jawapan : Dia tidak perlu memeluk Islam terlebih dahulu untuk mempelajari Islam. Seseorang itu boleh mempelajari Islam menerusi blog-blog di internet, buku, brosur, majalah dan lain-lain.

Berikan al-Quran

Soalan : Dia meminta saya meminjamkannya al-Quran terjemahan untuk dibaca. Bolehkah saya berbuat demikian. Sekarang ini saya agak keberatan.

Jawapan : Saudara boleh memberikan al-Quran terjemahan kepadanya untuk dibaca. Adapun memberikan mashaf al-Quran tanpa terjemahan, maka ramai ulama yang melarangnya.

Tanpa Izin Ibu Bapa

agama mudahSoalan : Saya sudah meminati Islam dari zaman persekolahan lagi. Cuma saya masih dalam dilema disebabkan keluarga. Ibu bapa saya melarang saya berkawan dengan orang Muslim, apalagi masuk Islam. Bolehkah saya memeluk Islam tanpa keizinan ibu bapa?       

Jawapan : Ya. Saudari boleh masuk Islam meskipun tanpa keizinan ibu bapa. Jika kedua duanya menghalang sekalipun, saudari tidak wajib mentaati mereka. Demikian hukum asal dalam perkara ini.

Namun jika saudari ingin mendaftarkan keislaman di Jabatan Agama Islam, maka undang-undang di negara kita mensyaratkan kebenaran ibu bapa sekiranya usia saudari kurang daripada 18 tahun. Jika usia anda telah melebihi 18 tahun, kebenaran tersebut tidak lagi diperlukan.

Tidak Berdaftar

Soalan : Sekiranya saya memeluk Islam tapi tidak mendaftarkan keislaman saya, sahkah saya sebagai Muslim?

Jawapan: Ya. Sebaik sahaja saudari mengucapkan kalimat syahadah maka saudari telah menjadi seorang Muslim di sisi Allah. Mendaftarkan keislaman bukan satu kewajipan agama tetapi keperluan semasa. Banyak masalah dapat dielakkan dengan mendaftarkan keislaman.

Katakanlah saudari tidak mendaftarkan keislaman lalu meninggal dunia, maka kemungkinan besar jenazah saudari tidak diuruskan secara Islam disebabkan tiada apa yang membuktikan saudari seorang Muslim. Seperkara lagi, jika anda masih bujang, maka anda tidak boleh menikah dengan pasangan Islam melainkan jika anda mendaftarkan keislaman anda.

Mengucap Pelat

agama mudah 1Soalan : Untuk menjadi Muslim, saya mesti mengucapkan lafaz syahadah. Masalahnya saya tidak dapat menyebutnya dengan betul. Saya banyak kali memperdengarkan syahadah kepada kawan sekerja saya yang Islam. Memang mereka mengatakan bahawa sebutan saya itu sangat ketara pelatnya. Bagaimana saya hendak masuk Islam?

Jawapan : Keislaman saudara dikira sah apabila saudara bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Bahasa apa-apa pun yang digunakan, saudara telah sah menjadi Muslim. Saudara perlu faham bahawa tujuan syahadah itu adalah untuk mengisytiharkan tentang kepercayaan yang menjadi pegangan diri saudara. Maka apa-apa sahaja bahasa tidak mengapa.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘: “Jika seorang kafir hendak masuk Islam, jika ia tidak mampu mengucapkan syahadah dengan bahasa Arab, maka ia boleh menggunakan bahasanya sendiri. Dengan begitu, ia telah menjadi Muslim tanpa khilaf.”

Tuntutan Syahadah

Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan makna yang terkandung dalam kalimat syahadah yang saya ucapkan semasa pengislaman?

Jawapan : Kalimat syahadat itu berbunyi: “Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna muhammadan rasulullah.” Maksudnya: Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad ialah utusan Allah.

Dengan mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah, maka saudara tidak boleh lagi menyembah dan meminta bantuan daripada tuhan-tuhan, dewa-dewa, atau kuasa-kuasa ghaib yang lain. Bahkan saudara tidak boleh lagi mempercayai kewujudan mereka.

Setelah mengakui Nabi Muhammad sebagai rasul dan utusan Allah, saudara mesti mematuhi tunjuk ajar Baginda. Saudara mesti menjadikannya sebagai ikutan dalam kehidupan. Baginda penunjuk jalan kita menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

Gelaran Mualaf

Soalan : Saya sudah masuk Islam sejak tahun lepas. Orang kampung masih menyebut saya mualaf, padahal saya tidak terima zakat?

Jawapan: Sebutan mualaf ini sering kali disalah faham oleh umat Islam. Mereka menyangka mualaf adalah setiap orang yang baru sahaja masuk Islam. Lebih parah, ada juga yang menyangka bahawa mualaf itu orang Cina yang masuk Islam!

Ini jelas satu kekeliruan. Kitab-kitab fiqah menggunakan istilah mualaf untuk merujuk kepada dua kumpulan manusia. Jika tidak termasuk dalam mana-mana satu daripada kumpulan ini, maka seseorang itu tidak disebut sebagai mualaf walaupun baru semalam masuk Islam:

1.      Seseorang yang masuk Islam namun niatnya lemah. Jika tidak mendapat sokongan kewangan daripada masyarakat Muslim, dikhuatiri ia tidak dapat mempertahankan keislamannya.

2.       Seseorang yang masuk Islam dengan niat yang kukuh dan memiliki kedudukan tinggi dalam kalangan kaumnya. Jika dia mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan Islam, ia diharapkan dapat menarik seluruh kaumnya ke dalam agama Islam.

Kedua orang ini berhak mendapat zakat. Sebenarnya tidak ada penetapan had tempoh tertentu gelaran mualaf melekat pada diri seseorang. Walau bagaimapun, beberapa negeri menetapkan orang yang baru memeluk Islam itu berhak mendapat zakat sehingga lima tahun sahaja.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

         

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas