TOLERANSI BERAGAMA SERLAH PESONA ISLAM
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Ibadah
- Read 5811 times
Saya memerhatikan masyarakat Islam di Malaysia tidak berusaha untuk menjelaskan Islam kepada anggota masyarakat bukan Islam di sekeliling mereka. Alasan mereka: “Tiada paksaan dalam Islam.” Apa pendapat ustaz tentang hal ini?
Jawapan :Semua manusia diseru agar mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Inilah landasan fitrah yang Allah ciptakan. Maka kita berkeyakinan jitu bahawa Islam satu-satunya agama yang benar. Maka Islam tidak boleh sama sekali disamakan dengan agama lain.
Namun mereka yang enggan dan tidak mahu beriman, berhak dan bebas untuk beragama lain. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk memasuki agama kita. Allah telah berfirman mafhumnya: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat.
“Maka sesiapa yang ingkar kepada taghut (syaitan dan jalannya) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 256)
Walaupun kita tidak boleh memaksa orang, namun kita dituntut untuk menerangkan kepada orang bukan Islam tentang keindahan ajaran Islam. Bahkan dalam situasisituasi tertentu, kita mesti bercakap tentang Islam. Lebih-lebih lagi dalam situasi mendesak yang memerlukan kita untuk menjelaskan salah faham atau salah tanggapan yang mengelirukan tentang Islam.
Allah berfirman mafhumnya: “Dan serulah mereka ke (jalan) Tuhanmu, dan janganlah sekali-kali kamu termasuk dalam kalangan orang yang mempersekutukan Tuhan.” (Surah al-Qasas: 87)
Rasulullah s.a.w. turut bersabda dengan maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Riwayat al-Bukhari)
Tidak Memaksa Biarpun Berkuasa
Soalan : Saya pelajar jurusan sejarah di IPTA. Daripada pembacaan saya, apabila satu agama selain Islam menjadi pegangan rasmi, maka kerajaan itu pasti memaksa penduduk bawah penguasaannya untuk menganut agama tersebut. Namun Islam tidak begitu. Seteruk mana kerajaan Islam di satu wilayah, mereka tidak sekali-kali berbuat demikian. Mohon pandangan ustaz
Islam agama yang menekankan kasih sayang, keamanan serta sikap toleransi dan bertolak ansur. Islam mengamalkan toleransi selagi hadhad tertentu dalam soal-soal asas agama difahami dan tidak dicabuli atau dilanggar.
Ini bermakna tiada toleransi atau kompromi dalam masalah akidah atau iman. Namun kita dinasihatkan untuk bertoleransi dan bertolak ansur dari segi pergaulan yang tidak bertentangan dengan akidah. Ini kerana toleransi dan kasih sayang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan dan keamanan masyarakat.
Kasih sayang adalah antara sifat yang dituntut oleh Islam. Jika masyarakat kita kurang mengamalkan sikap penyayang bererti mereka tidak mengamalkan Islam secara keseluruhannya. Hal ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah, maksudnya: “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dinamakan beriman sehingga kamu berkasih sayang.” (Riwayat Ibn Majah).
Rasulullah telah menunjukkan qudwah hasanah dalam mengamalkan sifat toleransi kepada semua orang termasuk masyarakat bukan Islam. Baginda sendiri semasa di Madinah telah mengikat perjanjian damai dengan pihak Yahudi dan golongan bukan Islam yang lain untuk sama-sama hidup secara aman dan damai dan bergandingan mempertahankan negara.
Maka prinsip toleransi Islam ini memberikan kesempatan dan peluang yang luas kepada setiap individu dan masyarakat untuk menikmati hak masing-masing. Natijahnya mereka melihat sendiri keindahan dan kebaikan Islam lalu memilihnya dengan kesedaran dan kerelaan.
Masuk ke Kuil dan Gereja
Mohon penjelasan tentang hukum orang Islam masuk ke kuil atau gereja. Satu pendapat yang saya dengar, orang Islam dilarang berbuat demikian.
Jawapan : Memasuki tempat ibadah agama lain dibenarkan jika tujuannya untuk mencari maklumat dan berdakwah dan bukan untuk menyertai upacara agama atau majlis yang akan menimbulkan fitnah atau salah faham.
Sayidina Umar telah memasuki gereja di Baitulmuqaddis ketika orang Islam merasmikannya. Beliau telah bertemu dengan paderinya dan menunaikan solat di dalam gereja tersebut. Solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja melainkan di tandas dan tempat yang ada najis.
Begitu juga orang yang bukan Islam dibenarkan memasuki masjid jika dengan tujuan baik. Orang Islam sepatutnya sedia maklum berdasarkan pengajian sirah Nabi, Rasulullah telah menyambut kunjungan delegasi orang bukan Islam di dalam masjid Baginda.
Walau bagaimanapun, pakaian mereka haruslah dijaga agar nampak kemas dan sesuai dengan keadaan.
Wallahu a‘lam.
Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.