Menu

 

A+ A A-

KENAPA TAUHID GAGAL MEMERANGI DOSA

Merawat Pendosa dengan Akidah dan Tauhid

Bila isu memerangi dosa diketengahkan, selalunya orang bercakap tentang penguatkuasaan undang-undang. Seolah-olah sebab atau mengapa manusia melakukan dosa hanya melibatkan soal jinayat (undang-undang jenayah). Padahal ia sangat berkait rapat dengan soal pendidikan.

Dosa ibarat buah “busuk” di hujung dahan yang berpunca daripada “akar” sebatang pokok. Pendosa hakikatnya adalah produk proses pendidikan yang tidak selesai. Kenapa?

Ini kerana dosa ialah perlakuan yang lahir daripada soal kejiwaan, perasaan dan pemikiran.

Memadam Api Dosa dengan Tauhid

Tegasnya, dosa adalah akibat langsung daripada sifat-sifat negatif dalam diri. Zina, arak, riba, judi dan dosa lain lahir daripada sifat tamak, buas, marah, hasad dengki, rakus dan sifat-sifat mazmumah lain. Ironinya, tidak ada undang-undang yang boleh menghukum orang yang tamak, marah, hasad dengki dan sebagainya, bukan?

Justeru, kita boleh bayangkan mengapa dosa sukar diperangi? Kita tidak memerangi sifat-sifat mazmumah yang melahirkannya terlebih dahulu!

Misalnya, seorang hanya dihukum apabila dia melaksanakan sifat tamak melalui perbuatan rompak, curi atau rasuah. Begitu juga dengan sifat hasad dengki, seorang tidak dianggap bersalah kerananya. Hanya setelah orang yang hasad dengki itu mencederakan atau membunuh orang yang menjadi sasaran kedengkiannya, barulah ia dianggap bersalah. Perogol yang mempunyai nafsu seks buas hanya dihukum apabila dia merogol atau berzina.

Tegasnya, sifat-sifat buruk yang menjadi punca dosa tidak dapat diatasi oleh penguatkuasaan undang-undang, justeru undang-undang hanya boleh dikenakan kepada perlakuan-perlakuan lahiriah sahaja. Sedangkan sifat-sifat buruk yang bersifat batiniah, tidak boleh dihukum sebelum ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Ini menjelaskan mengapa undang-undang tidak dapat mengatasi apalagi mencegah dosa sekeras dan seketat mana pun undang-undang tersebut.

Usaha memerangi dosa umpama cuba memadamkan kebakaran. Melalui latihan menghadapi kebakaran, kita diberitahu seorang tidak dapat memadamkan api sekiranya semburan alat air atau buih daripada alat pemadam api (fire extinguisher) ditujukan kepada api di bahagian atas api. Sebaliknya, semburan itu hendaklah dihalakan kepada punca api, yakni berada di bahagian bawah. Ini kerana pada bahagian bawahlah letaknya “punca” kebakaran itu, sedangkan di bahagian atas adalah “akibat” kebakaran itu.

Nilai Rasa Mengatasi Nilai Fikir

Sayangnya, usaha memerangi dosa kini terlalu bergantung kepada langkah-langkah yang bersifat luaran, sedangkan dosa-dosa walaupun impaknya bersifat luaran tetapi punca atau sebabnya adalah dari dalam. Tegasnya, mekanisme perlakuan dosa adalah dari dalam ke luar (inside-out) bukan dari luar ke dalam (outside-in).

Sepatutnya, dosa ditangani berasaskan bagaimana ia berlaku. Maksudnya, cara menangani dosa mestilah bersifat inside-out bukan outside-in.

Langkah pertama dan utama untuk memerangi dosa bermula dengan mencari jawapan yang tepat mengapa sifat-sifat mazmumah boleh terbina dalam diri manusia. Apa yang menimbulkan rasa marah, hasad, rakus, tamak dan lain-lain sifat negatif dalam diri seseorang? Setelah diketahui puncanya barulah boleh kita fikirkan cara paling tepat untuk mengubati sifat-sifat buruk ini.

Maksudnya, tidak payah menunggu sehingga seorang melaksanakan kemarahannya, barulah hendak dihalang dengan undang-undang, baru di peringkat memiliki sifat marah itu sahaja sudah kita atasi.

Kita perlu tahu apakah yang menentukan atau mengawal sifat baik atau buruk manusia. Menurut pakar psikologi perlakuan manusia ditentukan oleh sistem keyakinan peribadi (personal belief system) yang berada dalam jiwanya. Sistem keyakinan ini pada asasnya mengandungi prinsip-prinsip tentang ketuhanan, kebenaran, kebaikan atau apa sahaja bentuk kepercayaan sama ada yang bersumberkan fitrah tabiinya semata-mata atau apa yang diperolehnya daripada ajaran agama.

Keyakinan ini kemudiannya membentuk pandangan alamnya (world view) tentang hidup dan kehidupan atau dinamakan paradigma, persepsi (tanggapan) atau set minda (mind-set) yang berpusat pada akal. Keyakinan tentang adanya Tuhan (iman) membentuk pandangan alam, yang menyebabkan seorang individu melihat kehidupan ini dengan rasa “consciousness of the Creator” – merasakan ada Tuhan Maha Pencipta. Individu ini akan berfikir, menilai, menyaring serta membuat tanggapan berdasarkan apa yang diyakininya berdasarkan prinsip keyakinan dan set mindanya.

Pandangan alam ini kemudiannya membentuk asas nilai dalam diri seseorang. Ia akan meletakkan “nilai” satu perkara, benda, peristiwa, kejadian, seorang individu lain, pada neraca timbangan asas nilaiannya itu. Apa yang bernilai, akan cuba diperoleh, disokong, disayangi atau dilaksanakan.

Manakala apa yang dirasakan tidak bernilai akan dijauhi, dibantahi, dibenci dan ditinggalkannya. Daripada asas nilai inilah seseorang merasai apa itu baik, benar dan betul.

Nilai ialah “soal rasa” bukan fikiran semata-mata. Mungkin ada orang yang berfikir sesuatu itu baik, benar dan betul tetapi jika dia belum “merasainya”, dia tidak akan bertindak selaras dengan fikirannya.

Berapa ramai si pengotor yang percaya kebersihan itu benar, baik dan betul? Tanyalah kepada kaki judi sekalipun, apakah judi itu baik? Nescaya jawapannya tidak. Itulah hakikatnya, apa yang difikirkan baik, belum tentu dirasai baik. Manusia bertindak atas apa yang dirasainya bukan atas apa yang difikirkannya! Apabila sesuatu telah dirasai, barulah ia menjadi nilai pada seseorang.

Cegah Jenayah dengan Tauhid

tauhidgagalmemerangidosa1Sistem nilai ini melahirkan siri perbuatan yang dilazimkan dari semasa ke semasa. Ketika inilah lahirnya perbuatan, sama ada yang berdosa atau berpahala. Maknanya, sesuatu perlakuan dosa adalah dihasilkan oleh sistem keyakinan yang salah atau rapuh, yang menyebabkan terbentuknya paradigma atau “pandangan alam” yang serong, dan ini menghasilkan asas nilai yang salah, yang akhirnya terbentuklah sikap negatif yang melahirkan perlakuan dosa.

Jelas, satu perlakuan dosa perlu melalui beberapa “proses” atau tahap sebelum ia terlaksana. Banyak peluang dan kesempatan untuk mencegahnya sebelum ia beralih ke tahap yang sukar diatasi. Oleh itu, memerangi dosa perlu bermula daripada usaha menanamkan keyakinan (iman), pandangan alam (fikrah Islamiah), asas nilai dan pembentukan sikap. Dan semua ini melibatkan proses pendidikan sama ada secara formal atau informal.

Pada zahirnya sahaja perlakuan dosa berkisar pada persoalan jinayat, namun akar masalah itu berpunca daripada soal tauhid.

Sayangnya, pendekatan memerangi dosa masa kini kurang atau gagal melihat hakikat ini. Berdepan dengan perlakuan dosa ramai yang hanya melihat hal-hal yang bersifat tersurat. Jarang kita mahu mencari hakikat atau “the real problem” yang bersifat dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal “kulit” yang bersifat ritual dan slogan, bukan lagi kepada soal isi atau “substance”.

Fenomena mengintip, membongkar dan menghukum pelaku dan perlakuan dosa seperti yang kerap berlaku sekarang, tidak menyelesaikan masalah bahkan membesarkan masalah yang sedia ada. Ini menjelaskan mengapa setelah sekian banyak undang-undang dikenakan, namun masalah sosial, sumbang mahram, dadah, keruntuhan moral masih tidak dapat dibendung, malah semakin menjadi-jadi?

Di mana salahnya? Kita tidak nafikan, undang-undang perlu dan pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja, BPR, Majlis Agama Islam Negeri dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan memainkan peranan yang penting, namun masih banyak ruang lopong untuk diatasi oleh pihak-pihak lain – yang kebanyakannya terfokus pada tindakan-tindakan yang bersifat proaktif.

Langkah pertama dan utama kita seharusnya bermula dengan usaha menanamkan jiwa tauhid dalam diri, keluarga dan masyarakat. Usaha ini mesti dibuat secara serius di semua peringkat

– keluarga, masyarakat, organisasi, negeri dan negara. Semua pihak – ibu bapa, ketua masyarakat, ketua jabatan, wakil rakyat sehinggalah ke peringkat menteri-menteri kabinet.

tauhid

Penguatkuasaan Perlu Selaras dengan Tarbiah

Untuk melihat bagaimana proses menanam dan menyuburkan tauhid dilaksanakan dalam usaha memerangi dosa, mari kita singkap kembali perjuangan Rasulullah s.a.w.

Proses itu bermula dengan turunnya wahyu-wahyu di peringkat Makkiyyah yang menekankan soal tauhid (keimanan). Wahyu ini dijadikan input bagi melaksanakan dua kaedah; pertama berdakwah (menyeru). Kedua mentarbiah (mendidik). Dengan dua kaedah ini Baginda mula membentuk sistem keyakinan diri yang berasaskan tauhid.

Diajaknya manusia berfikir tentang alam; pasti ada yang menjadikannya, yakni Allah yang menjadikannya. Kemudian dimantapkan lagi sifat-sifat kesempurnaan Allah, juga tentang adanya pembalasan selepas mati, syurga dan neraka. Pada tahap ini, Rasulullah fokus sepenuhnya kepada soal “akar” dalam diri manusia. Sistem “pendawaian hati” yang terputus daripada Tuhan oleh pintasan syirik disambung semula. Dengan itu hati manusia bercahaya semula walaupun keadaan luaran (masyarakat jahiliah) masih gelap gelita.

Selepas itu bermulalah tahap kedua dalam perjuangan Rasulullah yakni dengan turunnya ayat al-Quran yang mengandungi arahan dan larangan. Perintah ini membentuk sistem nilai dalam kehidupan sehari-hari. Misalnya, turun perintah pelaksanaan rukun Islam bagi menterjemahkan sistem keyakinan, dalam bentuk perbuatan – solat, zakat, puasa dan lain-lain.

Disusuli kemudiannya dengan peraturan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, sosial, perundangan dan lain-lain. Bersumberkan keyakinan (tauhid) dan berpandukan sistem peraturan (syariat) tertegaklah sistem-sistem hidup Islam di bidang ekonomi, pendidikan, sosial, perhubungan, politik dan lain-lain yang adil. Lihatlah bagaimana Rasul menyusun tertib perjuangannya berasaskan kebijaksanaan Baginda memahami benar-benar tentang psikologi perlakuan manusia.

Gagal Menjadi Perisai

Mari kita bertanya diri masing-masing… sejauh manakah usaha kita menanamkan soal tauhid dalam diri anak-anak, dalam diri pekerja, pengikut atau rakyat kita? Bukan sekadar tauhid hafalan atau pengetahuan tetapi tauhid penghayatan dan amalan.

Ini menjelaskan mengapa mata pelajaran tauhid yang diajar di kelas Tadika, sekolah rendah dan menengah hatta di pusat pengajian tinggi sekalipun, gagal menjadi perisai untuk tidak terlibat dengan dosa. Apabila “tauhid” tidak mampu memerangi dosa, tentu ada yang silap mengenainya.

Soalnya, apakah pakar-pakar dalam bidang pendidikan dunia Islam bersedia melihat perkara ini dengan lebih kritis, terbuka dan profesional?

Apakah mampu para pemimpin dan pendidik membentuk satu kurikulum pelajaran dan pendidikan yang meletakkan input tauhid dan sains misalnya, dalam satu wadah yang sama?

Hingga dengan itu para ustaz mampu mengajar tauhid dengan contoh-contoh sains dan guru sains pula boleh mengajar sains dengan input-input tauhid?

Hingga dengan itu mata pelajaran agama tidak “kering” atau “beku” nilai-nilai akliahnya justeru disiram oleh fakta dan hujah saintifik. Manakala subjek sains tidak dibiarkan “bebas” daripada nilai rohani, apabila diikat oleh roh tauhid?

Ya, mungkin inilah antara cabaran utama kita untuk memerangi dosa. Masalah yang selalu menghantui umat Islam adalah apabila kita sendiri sama ada tidak faham ataupun salah faham terhadap Islam. Kemelut kali ini tidak boleh hanya diselesaikan dengan slogan yang kerap didengar – marilah kembali kepada Islam, tanpa memperincikan proses, mekanismenya dan modus operandinya! ¤

Oleh Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No 3

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas