Menu

 

A+ A A-

TETAPKAN NIATMU

“Bukankah tujuan kita keluar untuk mencari buku rujukan? Kenapa kau singgah ke pusat Internet ini? Ini dah dikira menipu ibu dan ayah dan secara tidak langsung sudah lari daripada tujuan asal kita.” Seorang rakan mengingatkan rakan baiknya apabila tersedar kesalahan yang mereka lakukan.

Tahniah, jika seseorang telah menyedari bahawa dia tersasar daripada tujuan asalnya untuk melakukan sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi apabila tujuan utamanya untuk melakukan kebaikan, namun ketika dirinya menghampiri persimpangan untuk melakukan perkara yang tidak baik, dia segera beringat dan berpatah kembali. 

Mendahulukan Niat 

Niat merupakan penghulu bagi setiap perkara yang ingin dilaksanakan. Benarlah pemilihan Imam al-Nawawi dengan meletakkan hadis tentang niat dalam susunan ‘al-Arba‘in al Nawawiyyah’. Niat bertindak sebagai ketua segala perbuatan dan gerak laku seseorang sebelum bertindak. 

Hadis masyhur yang menyarankan agar setiap perbuatan itu disertakan dengan niat memberi ruang agar diberi pilihan dalam setiap perkara yang ingin dilakukan sama ada ia dibuat untuk dunia, orang tertentu atau sesuatu yang diingini. Niat juga akan merealisasikan keinginan seseorang. Oleh sebab itu, tetapkan niat dalam diri untuk setiap perkara yang ingin dilakukan. Biarpun niat dilihat sebagai perkara remeh  kerana ia tidak perlu dizahirkan kepada orang ramai, tetapi kekuatannya melebihi perkara yang terzahir. Seorang yang tidak meletakkan tujuan untuk perkara yang akan dilakukan pada hari esok, akan bangun pagi dalam keadaan malas. 

Manakala seseorang yang telah menetapkan niat untuk melakukan beberapa tugasan akan memulakan paginya dengan cergas kerana dia tahu ada sesuatu yang ingin diselesaikan. Begitu juga dengan niat seorang pelajar yang menjadikan belajar sebagai perkara paling utama dalam kehidupannya. Belajar bukan semata-mata hadir ke kelas, malah seorang pelajar yang kreatif dan inovatif dalam merealisasikan matlamatnya akan menjadikan belajar itu satu perkara yangmampu memajukan dirinya sendiri. Bermula daripada niat baiknya untuk belajar, dia berusaha untuk lulus dalam peperiksaan, aktif menyertai aktiviti persatuan, membinahubungan baik sesama guru dan rakan-rakan dan seterusnya ingin mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang dipelajarinya. 

Meraih Keuntungan 

Sesungguhnya, orang yang mengetahui hakikat terhadap perkara yang ingin dicarinya akan berasa ringan terhadap segala perkara yang dilakukannya. Orang yang merasakan manisnya sesuatu dan mencintainya dengan bersungguh-sungguh pasti tidak kalah apabila menanggung kesukaran dan tidak peduli dengan apa yang perlu dilakukannya. 

Jiwa kental mereka sedar bahawa hidup tanpa matlamat dan tujuan akan merugikan diri sendiri. Matlamat seorang yang positif menggariskan keuntungan yang diperoleh bukan hanya untuk memuaskan dirisendiri semata-mata, tetapi mengambil kira kegembiraan keluarga dan orang di sekeliling. Yang paling penting, dia tidak mahu rugi dalam meraih keberkatan Allah s.w.t. dalam setiap perbuatannya. Menarik bukan?  Orang yang memiliki tempat tinggal disyurga Firdaus tidak berasa rugi dengan beban yang ditanggungnya seperti kesengsaraan dan kekurangan harta. (Sufyan al-Thawri) 

Jujur dengan Ibu Bapa 

Ketahuilah, ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak-anaknya. Mereka memahami bukan sahaja perkataan dan tingkah laku anak-anak yang berada di hadapan mata mereka sahaja, bahkan memahami perasaan dan hati mereka atas perkara yang berlaku terhadap anak-anaknya 

Apabila berbohong kepada ibu bapa, contohnya ingin keluar membeli buku atau menghadiri kelas tambahan, tetapi menyimpang ke arah lain seperti pusat Internet atau padang permainan, mereka sebagai ibubapa dapat merasakan anak-anaknya telah melakukan sesuatu yang salah. Seseorang yang mematuhi setiap suruhan dan larangan Allah pasti akan berusaha untuk mengenal pasti perkara yang dilarang dan disuruh oleh kedua-dua ibu bapa. Melakukansegala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya tanda pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Begitu juga seorang anak yang ingin menjadi anak yang taat dan soleh akan memberi yang terbaik buat ibu bapanya termasuklah berlaku jujur kepada mereka. 

Ingatlah, biarpun ibu bapa tidak mengetahui persimpangan tujuan terhadap anak-anak mereka, Allah Maha Mengetahui tentang segala yang ada dalam hati dan perkara yang terzahir daripada manusia.

jujur

 

KHADIJAH KHALILAH ABDUL RASHID

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas