HUKUM TANPA SYARAT?
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Hukum
- Read 5497 times
Apa hukum kita berdemonstrasi, ustaz? Apa hukum sambutan hari jadi? Apa hukum Forex tanpa leverage? Apa hukum jual barang ini? Menyertai skim perniagaan MLM boleh tak?
Saya nak jamak solat kerana tersekat kesesakan di jalan raya, boleh ke? Bagaimana kalau saya solat fardu dalam kereta sahaja kerana di United Kingdom ni mungkin bahaya solat kat tempat awam, nanti dituduh terrorist?
Saya masih pelajar tapi saya mesti berdakwah, wajibkah? Saya terpaksa berkongsi rumah dengan pelajar wanita di sini kerana kos hidup di UK terlalu tinggi. Ia darurat, boleh tak ustaz? Saya masih berada di tahun tiga university tetapi nak berkahwin. Okey ke nak kahwin semasa belajar? Ustaz, saya nak berpoligami dan ada kemampuan, kira ok le kan ustaz?
Saya nak pergi haji walaupun ada hutang, boleh tak?
Bolehkah kita makan ayam McD dan KFC? Imam Ghazali kata semua alat muzik dibolehkan, saya nak masuk kelas gitar boleh ustaz?
Bolehkah tayamum guna batu? Dan seribu satu macam soalan lagi yang kita sering dengar...
PERSOALAN DAN PUNCA
Bagaimana sebenarnya jawapan yang penyoal ingin dengar dan apa sebenarnya kandungan jawapan yang ingin pemberi jawapan beri faham, ia sering kali tersasar.
Salah siapa? Penyoal yang hanya memikirkan jawapan yang ingin didengari atau pemberi yang kurang cekap dan berhati-hati?
Lebih elok tidak menuding jari, namun perlu mencari beberapa punca kefahaman jawapan tersasar.
Daripada senarai panjang sebab musababnya, ada yang timbul daripada pemberi jawapan dan ada yang datang daripada penyoal. Namun bagi tidak menulis panjang lebar, ingin saya pilih satu sahaja sebab dan diulas secara ringkas
MASALAH DAN PENYOAL
Satu trend kurang sihat yang kita lihat sejak dahulu hingga sekarang ialah desakan dan keinginan penyoal kepada jawapan ringkas dan mudah seperti:
Jawapan kepada soalan saudara hukumnya adalah:
Haram dan full stop!
Atau harus dan full stop!
Atau sunat dan full stop!
Atau wajib dan full stop!
Atau makruh dan full stop!
Sedangkan, soalan yang diberikan mungkin bersifat umum, tidak jelas, ayat tergantung dan pelbagai lagi. Justeru, sekiranya soalan yang diutarakan tidak termasuk dalam kategori umum, masih timbul masalah iaitu cara berfikir dan minda penyoal semasa membaca dan menerima jawapan.
Saya dan beberapa orang rakan yang kerap membantu merungkaikan permasalahan agama daripada orang ramai sentiasa berusaha memberikan sesuatu yang baru kepada minda umat Islam serta memberi jawapan yang spesifik sesuai dengan keadaan dan latar belakang soalan. Kami cuba mengelak daripada memberi jawapan ringkas tanpa huraian dan syarat.
Huraian dan pemberitahuan berkenaan syarat-syarat bagi sesuatu hukum amat penting agar kefahaman penyoal jelas bukan setakat kepada soalan yang ditanya sahaja, tetapi melangkaui pelbagai persoalan lain dalam situasi yang berbeza. Ia penting bagi menambah kemampuan masyarakat untuk mengerti status hukum pada masa akan datang tanpa perlu merujuk semula kepada pemberi jawapan.
Bagi mencapai objektif ini, sudah tentu kami ingin mulakan daripada individu yang masih mempunyai keinginan untuk bertanya pandangan Islam dalam kehidupannya. Iaitu mereka yang masih yakin dengan halal dan haram, dosa dan pahala.
Kami akui, sebahagian besar daripada kumpulan yang mempunyai benih iman ini mempunyai minda yang lebih cenderung inginkan jawapan ringkas seperti salah satu daripada lima hokum yang disebut di atas.
Minda sebegini perlu diubah. Ini minda yang sefesyen dengan minda ingin cepat kaya, cepat faham, cepat lulus, cepat segala-galanya. Ia bukan daripada kaedah yang tepat dalam memahami dan mempelajari ilmu. Ia lebih mudah membawa kesilapan faham.
SYARIAT DILUPAKAN
Jawapan daripada ilmuwan syariah yang baik biasanya akan disertakan dengan ulasan dan syarat-syaratnya. Perlu diingat hokum dengan mudah boleh berubah apabila sesuatu syarat tidak dipenuhi atau situasi berbeza.
Hampir semua suruhan dan larangan dalam Islam mempunyai syaratnya. Ia fenomena lumrah dalam hukum-hakam agama. Maka tidak lengkap pengajian tanpa mempelajari dan meneliti syarat. Sesuatu perbuatan baik seperti solat mungkin sahaja ditolak tanpa ditunaikan syaratnya.
Firman Allah berkenaan arahan-Nya kepada Nabi Adam a.s. yang bermaksud: “Dan Kami berfirman: ‘Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah 2: 35)
Lihat, kebenaran yang diberikan oleh Allah untuk menginap di syurga, namun masih ada syarat dan larangannya. Tanpa penelitian kepadanya akan jatuhlah dalam larangan. Juga sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku menunaikan solat.” (Riwayat al-Bukhari)
Perkataan “sebagaimana kamu melihat aku solat” ialah syarat dan tuntutan untuk setiap individu Muslim mempelajari dengan hamper hadis-hadis berkenaan cara Nabi solat, jika tidak mampu memahami secara terus, melalui fatwa ulama Syafi‘i atau lainnya.
Apa yang penting, kalau solat secara semberono tanpa ilmu, tanpa memahami syarat dan tuntutannya. Ia bukanlah solat seperti yang didirikan oleh Baginda Nabi s.a.w dan diarahnya.
NAMA TANPA ISI
Satu kontrak halal dalam perniagaan seperti jual beli secara murabahah boleh dengan mudah menjadi murabahah yang haram apabila syaratnya dilanggar.
Demikian juga kontrak pelaburan Islam seperti mudarabah yang cukup popular, kerap kali disalahgunakan kerana penganjur dan pelaburnya tidak membaca syarat sah bagi kontrak mudarabah.
Akhirnya tinggal nama tanpa roh.
Demikian orang Islam tanpa meneliti syarat sebagai seorang Muslim, mereka hanya akan menjadi beban kepada Islam. Merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain. Mengapa?! Kerana tidak meneliti dan memahami syarat seorang Muslim.
Namun masalahnya, senarai syarat ini kerap kali dilupakan, ditinggalkan dan tidak diendahkan, sehingga seseorang boleh beramal dengan salah kerana tidak meneliliti syarat dalam jawapan yang diberikan.
Fatwa hebat daripada dua tokoh ilmuwan seperti Imam Abu Hamid al-Ghazali dan Syeikh Yusuf al-Qaradawi berkenaan muzik turut menjadi mangsa salah faham dan sikap malas membaca syarat bagi hukum.
Benar, memang benar kedua-dua mereka memberi fatwa harus menggunakan alatan muzik daripada jenis apa pun. Namun terlalu ramai yang membaca fatwa dan pandangan ini mengutip 10% daripada fatwanya lalu meninggalkan bakinya. Mereka hanya mengambil hukum harus, tanpa membaca dengan teliti bilakah yang dikatakan harus itu, dan bila pula ia bertukar menjadi haram.
Malangnya, dengan kelemahan itu, mereka mengambil dan menyebarkan fatwa hokum muzik itu harus, sambil melupakan bahawa kedua-dua tokoh tadi meletakkan syarat-syarat yang mesti diambil kira bagi sesiapa sahaja yang ingin beramal dengan fatwa mereka.
Tanpa melihat syarat, seseorang sebenarnya telah salah dalam mengambil fatwa daripada kedua-dua tokoh terbabit, lebih salah lagi apabila menyebarkannya.
Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ni. Ramai yang ingin fatwa “mee segera” dan melupakan syarat. Mereka hanya ingin membaca apa yang mereka ingin baca, bukan mefahami apa yang pemberi jawapan inginkan mereka faham.
Baru-baru ini, saya menulis pandangan berkenaan hukum membeli dan menjual melalui web e-bay. Kesimpulan harus dengan syarat-syarat. Namun pastinya sudah ada yang mula menyatakan harus dengan melupakan syarat.
Saya nyatakan sistem perniagaan yang diamalkan oleh Jainetwork sebahagiannya mengikuti kaedah bai inah, namun begitu syarat-syaratnya dan perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah... panjang huraian saya. Tiba-tiba diuar-uarkan saya mengatakan Jainetwork halal dan full stop!
Demikian juga bagi mereka yang membaca hukum onani yang difatwakan oleh Syeikh al- Qaradawi tetapi melupakan syarat-syaratnya.
Perkara yang sama berlaku dalam hal MLM, apabila saya katakan ia syubhat atau haram, mereka lupa bahawa saya sertakan beberapa sebab dan bentuk yang membawa kepada haram atau syubhat. Dipukul rata semuanya haram dan disandarkan kepada nama saya. Demikian juga halnya dalam isu Forex, hokum solat dalam kenderaan, jamak solat bukan kerana musafir, makan makanan ahli kitab dan macam-macam lagi.
MAKIN ROSAK
Habis... Akibatnya ramai yang sesuka hati mencedok fatwa dan pandangan ilmuwan separuh-separuh. Mereka menyangka mereka telah berbuat baik tetapi kejahilan akhirnya menyebabkan lebih banyak kerosakan.
Apabila fenomena ini berkembang, ia menjangkiti ilmuwan syariah yang baru terjun dalam bidang konsultasi hukum kepada orang awam. Akibat kecenderungan khalayak awam yang ingin ringkas dan pendek, maka jawapan hukum turut menjadi pendek dan ringkas. Kononnya bagi memudahkan, tetapi hakikatnya mengelirukan dan menjauhi proses pendidikan sebenar.
Ilmuwan menjadi semakin malas sehingga hukum turut dibentangkan tanpa huraian. Malas untuk digariskan syarat-syarat itu ini. Kononnya agar tidak mengelirukan orang awam dan tidak memeningkan mereka.
Ya, ia mungkin boleh memberikan kemudahan jangka pendek tetapi kemudaratan jangka panjang!
Buku hukum dan fatwa pula jadi pendek dan ringkas, tanpa syarat. Ditanya satu baris, jawapan pun satu baris. Memudahkan? Tidak semua yang pendek dan ringkas itu mudah. Ia pasti membawa pelbagai takwilan dan tafsiran sendiri oleh pembaca.
Ilmuwan tidak wajar terikut-ikut dengan kehendak orang ramai. Sepatutnya mereka yang mencorakkan pemikiran orang ramai agar lebih rajin dan teliti. Bayangkan betapa telitinya Imam al-Syafi‘i, Imam Abu Hamid al-Ghazali, Imam al-Nawawi dan ramai lagi dengan buku mereka yang berpuluh malah beratus jilid. Ilmuwan berlumba-lumba mengarang kitab yang terperinci dan ada pula yang ringkas tetapi padat dengan syarat dan nasnya. Kemahiran penulisan, pemilihan syarat dan nas serta persembahan itu yang diutamakan.
ISLAM AJAR TELITI DAN RAJIN
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Ketahuilah (pelajarilah ilmu dengan jelas), sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan kemudian pintalah ampun bagi dosamu, dan bagi (dosa) orang Mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.” (Surah Muhammad 47: 19)
Ini satu nilai yang mesti kita faham. Bagi sesiapa jua yang ingin melaksanakan Islam dalam dirinya dengan berkesan, mereka tidak boleh malas membaca dan berfikir, seterusnya menghayati.
Saya bimbang jika trend “ambil ringkas” atau “pukul rata” ini diguna pakai, akhirnya umat Islam semakin lembik, lembab dan hanya memberikan penelitian dalam hal keduniaan, sebaliknya penelitian dalam hal akhirat dianggap membebankan lalu ditinggalkan. Lebih teruk apabila kedua-duanya tidak langsung diteliti.
Selain itu, ia juga boleh mencetuskan salah faham antara ilmuwan A dengan ilmuwan B atau C, D dan lainnya. Salah faham akibat seseorang atau sekumpulan orang awam yang menyampaikan kepada ilmuwan B, C dan D, bahawa ilmuwan A berkata hukum ini halal, itu haram dan meninggalkan huraian serta syarat-syaratnya. Ilmuwan B, C dan D pula merasakan sebaliknya, lalu tanpa fikir panjang dicemuh ilmuwan A dengan kata-kata nista dan penghinaan.
Orang awam terus keliru atau berpecah dan menyampaikan cemuhan daripada seorang ke seorang yang lain. Akhirnya ilmuwan bertempur sesama sendiri akibat miscommunication sesama mereka.
Saya kerap membaca dan melihat “pertempuran” antara beberapa individu berkenaan hukum Islam, sedangkan sebenarnya mereka sependapat. Cuma akibat keegoan masing-masing serta tidak ingin merujuk kepada sumber asal dan tidak membaca dengan hati yang bersih daripada bersangka buruk, mereka bertempur sehingga pastinya dihasut syaitan untuk menunjuk “aku lebih alim”, bukan untuk mencari kebenaran.
Antara puncanya, tidak membaca syarat-syarat yang diletakkan masing-masing, sehingga A bercakap berkenaan “tasik”, ilmuwan B bercakap tentang “sungai”. Mereka berdua menyangka sedang berdebat berkenaan topik masing-masing. Ia mungkin berpunca akibat pembaca yang malas merujuk kepada syarat dan huraian.
Saya menyeru diri saya dan rakan-rakan pendakwah yang berkecimpung dalam bidang memberi nasihat dan jawapan dalam hal ehwal agama kepada masyarakat agar mengasah kemahiran memberi jawapan.
Saya menyeru pembaca jawapan keagamaan agar lebih rajin dan meneliti syarat yang disertakan bersama sesuatu hukum. Moga kita berjaya berhijrah daripada yang kurang baik kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Solusi 6
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.