Menu

 

A+ A A-

PERSAHABATAN DI ATAS NAMA ALLAH

Lumrah bagi manusia berkawan dan bersahabat namun dalam diri mereka terselit pelbagai tujuan dan untuk mencapainya dilakukan pula dengan pelbagai cara. Cuma hubungan itu kadangkala terbina atas ikatan dan landasan yang tiada kaitan dengan agama. Manakala cara bersahabat pula tidak dihiasi dengan adab-adab Islam.

Mungkin pada sesetengah orang berkawan dan bersahabat sebegini, tiada salahnya. Tetapi adakah mereka berfikir, bolehkah faedah persahabatan itu berkekalan dan berterusan hingga ke akhirat nanti?

Imam al-Nawawi dalam Riyadhussolihin menyebut dalam satu bab khusus “Kelebihan berkasih kerana Allah”, yang merujuk kepada persahabatan yang terjalin bagi mencari keredaan Allah s.w.t. Dan turut dijelaskan tentang persahabatan yang diredai Allah s.w.t.

Beliau memulakan bab ini dengan dua ayat al-Quran iaitu ayat 29 surah al-Fath yang bermaksud: Muhammad iaitu Rasulullah dan orang yang bersamanya bersikap keras tegas terhadap orang kafir yang memusuhi mereka dan bersikap penyayang dalam kalangan sesama mereka (orang Islam).

Satu lagi ayat yang disebutnya ialah ayat 9 Surah al-Hasyr yang bermaksud: Dan orang Ansar yang mendiami Madinah dan memiliki keimanan sebelum (berlaku penghijrahan) itu, mereka mengasihi orang Muhajirin yang datang berhijrah kepada mereka (Madinah).

Selain itu Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan 11 hadis yang berkaitan dengan tajuk ini. Namun dalam ruang yang terbatas ini akan disebutkan beberapa hadis sahaja untuk sama-sama kita tatapi dan hayati maksudnya.

Antaranya ialah sebuah hadis popular yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim iaitu tentang tiga sifat yang memungkinkan kita menikmati kemanisan iman. Pertama, tiada yang dicintai melebihi Allah dan Rasulullah. Kedua, mengasihi sahabat kerana Allah dan ketiga, membenci kekufuran seperti dia membenci seksaan neraka. Begitu sekali tingginya kedudukan persahabatan yang terjalin hasil keikhlasan mencari keredaan Allah s.w.t.

12

Bersahabat Kerana Allah

Sebuah hadis lagi yang masyhur dibawa oleh Imam al-Nawawi ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang tujuh golongan yang akan dinaungi ‘Arasy di akhirat nanti. Antara tujuh golongan itu suka ditekankan di sini sabdanya: “Dua orang sahabat yang bersahabat kerana Allah, mereka bertemu kerana Allah dan mereka berpisah juga kerana Allah.”

Walaupun ungkapan Rasulullah s.a.w. di atas tidak menjelaskan dengan terperinci apakah bentuk persahabatan itu tetapi cukup dengan memberikan kiasan terindah iaitu “bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah”. Dua sahabat ini bertemu demi keredaan Allah dan berpisah juga demi mencari keredaan Allah s.w.t. Persahabatan mereka tidak dicemari langsung apa-apa niat tidak baik atau kepentingan diri atau prasangka dan perbuatan buruk. Semoga kita dikurniakan persahabatan sebegini!

Dalam hadis seterusnya Baginda memberikan gambaran yang mendalam bagi mengukuhkan maksud hadis di atas. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ini antara lain menceritakan tentang seruan Allah s.w.t. di akhirat nanti:

“Manakah orang yang berkasih sayang dengan sebab kemuliaan-Ku? Kerana hari ini Aku akan naungi mereka dengan naungan-Ku pada hari yang tiada naungan lagi selain naungan-Ku.” Allahu Akbar! Begitu sekali seruan Allah s.w.t. dalam memberikan ganjaran kepada mereka yang berkasih sayang dan bersahabat demi mencari keredaan Allah s.w.t.!

Imam al-Nawawi juga membawa hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang Rasulullah s.a.w. telah menceritakan kepada sahabat tentang satu kisah yang pernah berlaku suatu masa dahulu. Kisah tersebut menceritakan tentang persahabatan dua orang sahabat kerana Allah untuk mencari keredaan Allah s.w.t. Kisah tersebut ialah kisah seorang sahabat ingin menziarahi seorang sahabatnya yang tinggal dalam sebuah kampung yang lain. Lalu Allah s.w.t. telah mengutuskan malaikat untuk bertemu dengan lelaki itu.

Malaikat yang menyamar sebagai manusia itu lalu bertanya kepada lelaki itu, “Ke mana engkau ingin pergi?” Lelaki itu menjawab: “Aku ingin pergi bertemu sahabatku di kampung ini.” Lalu disoal lagi lelaki itu tentang tujuannya menziarahi sahabatnya itu. Lelaki itu menjawab dengan jawapan yang amat indah mengenai sebab utama dia ingin menziarahi sahabatnya, iaitu: “Aku mengasihi sahabatku kerana Allah s.w.t.”

12-1Maka malaikat itupun terus memberitahunya bahawa dirinya adalah malaikat yang disuruh untuk memberitahu lelaki itu bahawa Allah s.w.t. mengasihinya sebagaimana dia mengasihi saudaranya kerana Allah.

Kisah ini cukup besar erti bagi memberikan maksud sejauh mana nilai dan harga persahabatan yang berlandaskan keredaan Allah s.w.t. Persahabatan yang membawa kepada cinta Allah s.w.t.!

Kasih Rasulullah

Sebagai akhirnya, saya ingin berkongsi sebuah lagi hadis yang dibawa oleh Imam al-Nawawi iaitu tentang anjuran serta galakan untuk kita memberitahu sahabat bahawa kita mengasihinya kerana Allah s.w.t.

Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’ie, Baginda berkata kepada salah seorang Sahabat bernama Mu’az bin Jabal: “Ya Mu’az, demi Allah, sesungguhnya aku mengasihimu. Kemudian aku ingin berpesan kepadamu, jangan engkau lupa untuk membaca selepas solat doa berikut (yang bermaksud): ‘Wahai Tuhanku, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan mengelokkan ibadah untuk-Mu.’”

Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri memberitahu Mu’az tentang kasih Baginda sebagai seorang sahabat. Kemudian setelah itu Baginda menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat dengan memberi pesanan berkaitan doa yang amat baik dibaca selepas solat. Itulah sikap seorang sahabat – ikhlas dan inginkan kebaikan dunia dan akhirat bagi sahabatnya!

Ya Allah, kurniakanlah kami sahabat yang mengasihi kami kerana-Mu, kurniakan juga untuk kami kekuatan untuk mengasihi mereka dalam mencari keredaan-Mu dan bantulah kami untuk bersama

 

Ustaz Adlan Abd Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

 

 

 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas