Menu

 

A+ A A-

MALU MUNCUL DARI IMAN

ANTARA sebab yang membantu menyuburkan perkara dosa dan maksiat ialah kurangnya rasa malu pada diri seseorang itu. Sifat malu menghalang seorang Muslim daripada melakukan dosa, malah dalam masa yang sama menjadi pendorong untuk dirinya memperbaiki amalan dengan menambah ketaatan.

Malu yang dimaksudkan adalah malu untuk melakukan perkara dosa atau perkara yang menjatuhkan maruah. Sifat malu ini bukan sahaja sifat yang disuruh oleh Islam, malah ia adalah sifat tabii manusia yang waras dan sempurna pemikirannya. Namun begitu pada zaman kita ini orang yang malu terkadang dianggap orang yang tidak maju atau tidak moden! Begitulah terbaliknya neraca pertimbangan bagi sebahagian manusia yang kurang berilmu.

Apabila kita melihat kitab Riyadh al-Salihin, Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab bertajuk “Malu, kelebihannya dan anjuran untuk berakhlak dengannya” (bab no. 80). Dalam bab ini beliau telah menyebutkan empat hadis yang utama berkaitan sifat malu dan kelebihannya. Malah Imam al-Nawawi telah membuat kesimpulan yang amat baik pada hujung bab ini dengan katanya: “Berkata para ulama: ‘Hakikat malu itu ialah satu akhlak yang membawa kepada sikap meninggalkan yang buruk dan menghalang diri daripada mengabaikan hak kepada yang sepatutnya.’”

Hadis pertama:

Daripada Ibn Umar r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. melewati seorang sahabat Ansar yang sedang menasihati saudaranya kerana pemalu, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Biarkanlah ia begitu, sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengisahkan satu keadaan yang berlaku antara dua orang sahabat Nabi. Salah seorang daripada mereka sedang menasihati rakannya yang kelihatan mempunyai sifat malu yang agak lebih daripada yang sepatutnya. Maka Rasulullah s.a.w. yang mendengar perbualan mereka bersabda kepada mereka berdua: “Biarkanlah dia begitu, sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman!”

Betapa tegas dan ringkas pesanan Rasulullah s.a.w.! Walaupun kelihatannya sahabat yang menasihati itu mungkin sekadar ingin melihat saudaranya “mengurangkan” sifat malu, Rasulullah s.a.w. telah menghalangnya dengan memberikan satu pesanan ringkas – malu itu sebahagian daripada iman. Ini menunjukkan betapa sifat malu itu adalah sifat “asasi” bagi seorang Muslim dan jika difahami dengan baik, ia akan membawa kepada pengukuhan dan penambahan iman.

Hadis kedua:

Daripada ‘Imran bin Hushain r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Malu itu mendatangkan kebaikan semata-mata.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Muslim dikatakan: “Semua malu itu adalah baik.”

Hadis kedua ini memberikan satu lagi bentuk penegasan yang amat kuat. “Malu itu tidak akan mendatangkan kecuali perkara yang baik.” Malu yang berasaskan keimanan pasti akan membawa kebaikan kepada diri orang yang memilikinya. Terlalu banyak kebaikan daripada sifat malu dan terlalu besar faedahnya sehinggakan Rasulullah s.a.w. mengeluarkan satu penjelasan pendek yang padat dan tepat: Malu itu membawa kebaikan semata-mata.

Tidak perlu diperjelaskan dengan terperinci kerana terlalu banyak yang bersangkut paut dengan sifat malu ini. Malu kepada Allah s.w.t. pasti akan menjadikan diri seorang Muslim berusaha memperbaiki amalan dan meninggalkan dosa. Malu pada manusia juga pasti akan memelihara akhlaknya daripada melakukan perkara yang menyakiti mereka atau menjatuhkan maruah dirinya. Amat benarlah sabda Nabi s.a.w.: “Malu itu pasti akan mendatangkan yang baik-baik sahaja!”

Hadis ketiga:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Iman itu mempunyai enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah ucapan “La ilaha illallah” dan yang paling rendah adalah membuang sesuatu gangguan dari jalan. Dan malu adalah sebahagian daripada iman.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ketiga membawa suatu penjelasan lain bagi sifat malu. Rasulullah s.a.w. telah membuat satu kenyataan yang lebih mendalam dengan menyifatkan “iman” itu mempunyai banyak cabangnya dan salah satunya ialah sifat “malu”. Ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa malu itu sendiri ialah satu amalan yang membawa kepada iman yang kuat. Ia bukan semata-mata sifat yang membawa kepada amalan, malah ia sendiri ialah amalan yang berdiri dengan sendirinya!

Hadis keempat:

Daripada Abu Said al-Khudri, beliau berkata, “Rasulullah s.a.w. adalah orang yang sangat pemalu melebihi pemalunya seorang gadis pingitan. Apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya maka kami dapat mengetahui melalui wajahnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis keempat pula memberikan satu gambaran yang amat indah terhadap diri dan peribadi Rasulullah s.a.w. Salah seorang sahabat Baginda yang bernama Abu Said al-Khudri telah menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. lebih pemalu dibandingkan dengan anak dara yang malu ketika pertama kali bersendirian bersua suaminya. Abu Said al-Khudri juga menyatakan bahawa ketika Baginda melihat sesuatu yang tidak disukai, para sahabat akan dapat memahaminya daripada riak wajah Baginda.

Lihatlah betapa Rasulullah s.a.w. menghiasi dirinya dengan sifat malu yang tinggi sehingga begitu sekali perumpamaan yang dibuat oleh salah seorang sahabat Baginda. Inilah pengajaran yang dilaksanakan dengan amalan dan bukan sekadar cakap kosong yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Siapa lagi yang selayaknya memiliki sifat malu ini jika bukan penghulu segala manusia dan kekasih Tuhan yang Esa – Rasulullah s.a.w.!

Semoga kita dikurniakan sifat malu yang membawa kepada keimanan – meninggalkan maksiat dan menambahkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Itulah yang akan membantu di akhirat nanti ketika tiada pembantu kecuali amalan dan keikhlasan. ¤

 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

_______________________________________________________________________

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas