Menu

 

A+ A A-

MENINGKATKAN TUMPUAN

Untuk mendapat hasil kerja yang berkualiti dalam sesuatu perkara, tumpuan yang sepenuhnya amatlah penting. Tidak kira sama ada dalam ibadah, urusan kerjaya, kekeluargaan, mahupun kemasyarakatan. Apabila kita melakukan sesuatu dengan tumpuan yang tajam, biasanya kita akan mendapat hasil yang sungguh mengkagumkan.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk membina tumpuan minda terhadap sesuatu yang sedang kita lakukan? Bagaimana untuk ‘khusyuk’ dalam sesuatu perkara? Di sini saya kongsikan dengan anda beberapa tip mudah untuk meningkatkan tahap kosentrasi dalam perkara yang kita lakukan:

Berfikiran positif

Pertimbangkan elemen-elemen yang indah dalam perkara yang anda ingin lakukan itu. Jika anda hendak bersolat, fikirkan faedah dan manfaat kepada diri dan minda anda. Fikirkan pahala dan fadhilat yang terkandung dalamnya. Cara ini akan menimbulkan rasa tidak sabar untuk melakukannya.

Sebaliknya, apabila anda asyik memfokuskan fikiran pada kesukaran dan kepayahan, otak anda akan menjadi penat sebelum anda bermula lagi. Keadaan ini sudah pasti akan menyukarkan tumpuan kepada sesuatu perkara.

Lupakan yang lain

Penuhkan otak anda dengan apa yang anda ingin lakukan. Buat satu senarai soalan-soalan dalam kepala anda mengenai apa yang anda ingin belajar kali ini. Timbulkan pertanyaan yang mendesak akal supaya berfikir. Dengan ini, otak akan sentiasa ‘melompat-lompat’ daripada satu idea ke satu idea yang lain. Jika sekiranya otak anda telah penuh dengan persoalan tentang kerja yang bakal dilakukan, insya-Allah, minda kita akan bersedia untuk memberikan yang sepenuhnya semasa melakukannya nanti.

Buat persiapan yang lengkap

tumpuan1Pastikan bahawa semua peralatan yang diperlukan sudah tersedia sebelum anda memulakan sesuatu kerja. Usah biarkan konsentrasi anda terganggu hanya semata-mata terlupa membawa kertas ataupun tetikus. Setiap kali kita bangkit untuk mendapatkan peralatan, ia bukan sahaja memakan masa, bahkan ianya juga merugikan ‘kuasa tumpuan’ untuk melakukan sesuatu.

Baca doa sebelum bermula

Mulakan setiap urusan anda dengan bacaan-bacaan doa. Mulakan dengan ucapan syukur kepada Allah, dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Selepas itu, lafazkan doa dengan jelas, sehingga boleh didengari oleh telinga sendiri, dan boleh dihayati sebelum memulakan kerja tersebut.

Jangan pedulikan kebisingan sekeliling

Anda tidak boleh elakkan kebisingan. Hanya pada tempat dan waktu tertentu sahaja anda boleh mendapatkannya, tetapi ia bukannya mudah. Jangan cerewet. Belajarlah untuk berprestasi di tempat yang ‘agak’ bising. Gunakan kaedah ‘Jangan jaga tepi kain orang’ sekiranya anda ingin ‘mengasingkan diri’ daripada segala kebisingan itu.

Gunakan kaedah labah-labah

Apabila anda membaling segumpal kertas ke sarang labah-labah, ia akan mengesan satu bentuk gegaran lantas bergegas ke tempat itu. Apabila ia dapati hanya segumpal kertas, ia akan berpatah balik. Jika anda membaling kertas untuk kali kedua, labah-labah itu tidak akan bergegas lagi, kerana dia tahu jenis gegaran kertas yang tidak boleh dimakan itu. Begitu juga dengan anda. Sekiranya anda sedang melakukan sesuatu dengan penuh kosentrasi, mungkin nanti ada orang lalu lalang membuka pintu, mengetuk-ngetuk meja ataupun berbisik-bisik. Cukuplah hanya sekali anda memandang ke arah mereka. Selepas itu, abaikan mereka. Jadilah seperti labah-labah yang tidak ‘tertipu’ pada kali kedua.

Jangan tahan lapar

Lapar boleh menghilangkan tumpuan anda tidak kira apa jua keadaan anda. Organ tubuh manusia memerlukan kalori, dan kalori dihasilkan daripada makanan yang kita ambil. Usah diseksa perut anda yang sedang menyanyi itu. Luangkan sedikit masa mengisi sehingga hilang kelaparan itu. Makanlah secara bersederhana, kerana terlebih makan juga boleh menyebabkan hilang daya tumpuan untuk melakukan sesuatu.

Buat senarai semakan hilang tumpuan

Bunyinya agak menggelikan hati, tetapi ia penting bagi mengingatkan anda, berapa kali anda sudah hilang tumpuan. Bawalah satu kertas kecil, ditulis dengan tarikh dan masa. Setiap kali anda hilang tumpuan, tandakan (√) pada senarai semakan itu. Buat secara tetap dan berterusan sehingga anda benar-benar menyedari betapa banyak kali diri anda ‘tergelincir daripada landasan yang tepat.

tumpuan

Elakkan bersama orang yang tidak berdaya saing

Biasanya mereka yang mempunyai daya saing yang rendah mempunyai kecenderungan untuk hilang tumpuan dalam urusan mereka. Jika anda seringkali dikelilingi oleh orang sebegini, besar kemungkinan tumpuan kerja anda akan terganggu. Bersolat dengan para solehin sudah tentu lebih indah dan mendamaikan, berbanding dengan bersolat dengan orang-orang yang fasik, bukankah begitu?

Mungkin proses untuk meningkatkan tahap tumpuan minda terhadap sesuatu itu agak sukar di peringkat awal. Anggaplah sebagai satu proses pembelajaran. Lakukan perlahanlahan, dan iktiraf kejayaan diri melakukan pembaikan. Konsisten dengan perubahan positif, dan insya-Allah, kejayaan pasti akan menjadi milik anda.

 

 

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas