Menu

 

A+ A A-

ANDA TIDAK DILAHIRKAN UNTUK MALAS

TIDAK cerdik andai kita reda dan menerima hakikat bahawa kita dilahirkan untuk malas. Ini kerana anda sebenarnya tidak malas! Ya, anda sebenarnya tidak malas, cuma… Cuma apa? Cuma anda tidak fokus!

Ya,, kerana anda tidak fokus ketika belajar di dalam kelas, tidak fokus mengulang kaji dan menelaah pelajaran! Tetapi Abang Badr tahu masih ramai yang kabur tentang hal ini. Apa kena mengena tidak fokus dengan malas? Bukankah ia masalah yang berbeza?

Kuncinya Adalah Fokus

Mari Abang Badr bukakan minda anda semua. Apabila anda tidak fokus ketika belajar di dalam kelas, semestinya anda tidak akan faham dengan jelas apa yang dipelajari. Apabila tidak faham, mana mungkin anda dapat menyiapkan tugasan yang diberikan guru atau pensyarah. Dan bermulalah episod tiru jawapan kawan. Kalau ‘hebat’ meniru, mungkin tidak dapat dikesan oleh guru. Tetapi sehebat mana pun anda meniru, segalanya akan tumbang apabila peperiksaan mendatang.

Anda tidak dapat menjawab dengan baik dan ini mengundang keputusan yang teruk. Guru marah, pensyarah menyampah. Hati ibu remuk, ayah mula mengamuk. Maka minda anda mula tertekan. Anda mula bencikan subjek tersebut. Seterusnya anda pun malas untuk belajar! Dan yang paling malang, sesudah malas belajar, anda mulakan ‘pengajian’ perkara-perkara songsang dan merapu, yang mengheret anda terlibat dengan gejala sosial yang parah.

Hah! Nampak bukan, betapa pelbagai masalah timbul hanya dengan satu sebab iaitu tidak fokus. Maka secara kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah ini, kuncinya adalah fokus! Dan persoalannya, bagaimana kita mahu fokus di dalam kelas atau bilik kuliah? Jom kita lihat tip dan rahsia untuk memberikan konsentrasi unggul!

malas

1.Gunakan 3 Deria Utama

  • MATA:Pandang tepat ke arah guru dan apa yang ditunjukkan olehnya. Jangan sesekali memandang ke arah lain kerana ia akan ‘membuka cerita baru’ di minda dan mengganggu perhatian. Elak melihat ke luar tingkap kelas, memandang ke bawah atau membaca sesuatu yang langsung tidak ada kena mengena dengan apa yang diajar. Tumpukan perhatian betul-betul pada sesi pembelajaran.
  • TELINGA:Pasang telinga anda sehebat yang boleh. Dengar apa yang dibicarakan guru seolah-olah sedang mendengar butir bicara seorang pesakit yang sedang nazak berwasiat kepada anak-anak.
  • TANGAN:Sambil melihat dan mendengar, tuliskan isi-isi penting. Catatkan di dalam satu buku nota khas apa yang anda tidak faham untuk dibincangkan bersamasama rakan ataupun bertanya kepada guru. Pergerakan tangan menyebabkan anda mengaktifkan anggota badan, seterusnya menghilangkan mengantuk dan bosan!

 

2. Timbulkan Minat Belajar

  • Sebelum kelas bermula, lihat semula apa yang sudah anda pelajari dalam subjek tersebut. Kemudian kenal pasti perkarayang anda tidak faham. Kumpulkan perkaraperkara tersebut dan rancang sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut di dalam kelas dengan bertanya kepada guru.
  • Sebelum kelas bermula juga, baca sekali lalu apa yang bakal diajar oleh guru. Jika ada perkara yang anda tidak faham, itu perkara biasa. Tetapi yang luar biasanya, ini membuatkan anda menjadi lebih bersemangat untuk mendengar apa yang guru akan bicarakan di dalam kelas! Ia akan menjadi sebuah pengembaraan yang menarik. Pengembaraan mencari kefahaman dan memburu jawapan!

 

3. Wujudkan Suasana Belajar

  • Duduk di barisan hadapan kerana ini menyebabkan anda terpaksa menumpukan perhatian bersungguh-sungguh dan mengelakkan perhatian anda terganggu dengan perkara lain. Jika tidak dapat tempat yang paling hadapan, pastikan pandangan dari tempat duduk anda tidak terganggu dengan perkara yang merosakkan fokus anda.
  • Pastikan pakaian bersih, kemas dan selesa dipakai. Ini akan menimbulkan suasana belajar secara profesional. Usah memakai baju yang sudah seminggu tidak berbasuh. Ketidakselesaan akan menyebabkan anda tidak mampu fokus dengan baik! Dan pastikan juga bau anda dan rakan sebelah anda menyenangkan. Jika tidak, idea yang ‘wangi’ akan turut sama menjadi ‘busuk’!

 

Abang Badr doakan kita semua dapat mengatasi masalah pelajaran dengan menguasai kemahiran menumpukan perhatian ini. Ingat, inilah kunci untuk menyelesaikan banyak masalah. Andai anda tumpu, anda lebih mampu. Andai anda leka dan alpa, nescaya anda tidak faham dan mudah lupa! 

 

 

 

         Ahmad Badrul Sani Naharudin

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

 

Ahmad Badrul Sani Baharudin

Master Trainer Az-Zahrah - Multi Intelligence Academy

Kembali ke atas