Menu

 

A+ A A-

TIP MENANGANI MASALAH GURU SEKSI

YANG dimaksudkan di sini ialah guru yang tidak menutup aurat secara keseluruhannya. Kementerian Pelajaran sudah tentu menggariskan etika pemakaian bagi seorang pendidik ketika mengajar dengan pakaian yang sopan dan tidaklah sehingga dikatakan seksi.

Bagi permasalahan ini, sememangnya diakui, kita sukar untuk menghadapinya kerana ia melibatkan masalah sikap, pegangan, ideologi dan nilai agama orang lain.

Tanggungjawab kita sebagai pelajar terhadap guru wanita Muslim yang tidak menutup aurat, hendaklah menegurnya dengan cara yang paling berhikmah dan beradab.

Sekiranya kita tidak mampu untuk melakukannya, maka carilah seseorang yang boleh menyebabkan guru kita itu menerima nasihat daripadanya contohnya pengetua, penolong kanan atau guru yang rapat dengan guru tersebut.

Sekiranya kita sudah berusaha dan masih tidak berhasil, maka kita sudah melakukan tanggungjawab kita. Sebaiknya, tundukkanlah pandangan dalam keadaan- keadaan yang tidak memerlukan kita melihatnya.

Namun, sekiranya keadaan memaksa kita memandang ke arahnya di dalam kelas, hendaklah kita sentiasa beristighfar dan memohon ampun daripada Allah atas perkara yang kita tidak relakan. Allah s.w.t. Maha Pengampun dan Maha Mengetahui setiap sesuatu.

Namun perlu diingat, hubungan baik antara pelajar dan guru hendaklah dijaga. Janganlah kerana perkara tersebut, boleh mengeruhkan hubungan antara guru dan pelajar. Sekiranya kita yang mengeruhkan hubungan tersebut, kita yang tidak cerdik di dalam berdakwah. Contohi sifat Rasulullah s.a.w. yang sentiasa berakhlak mulia di dalam berdakwah walaupun kepada orang-orang kafir.

 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 3

 


 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas