Menu

 

A+ A A-

CINTA MAIN-MAIN

Assalamualaikum adik abang,

ABANG Long harap adik abang semua sihat walafiat dan dapat menjalani segala ibadah dengan tenang dan penuh keberkatan. Untuk memulakan bicara ini, Abang Long ingin membacakan doa agar kita sentiasa berada dalam naungan Islam yang tidak berbelah bagi dan terus istiqamah.

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah, berikanlah ketakwaan kepada kami dan sucikanlah ia, kerana Engkau-lah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, kami memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak makbul.” Amin ya Robbal alamin.

Wahai adik abang,

Di sini Abang Long nak sentuh sikit tentang sayang-menyayangi, rindu-merindui dan cinta-mencintai. Sebenarnya dari dulu lagi Abang Long hendak beritahu atau sampaikan sesuatu tentang perasaan dan perasan ini tetapi baru kali ini Abang Long berani meluahkannya. Bukan apa, Abang Long nampak adik abang pun sudah mencapai tahap ‘young-adult’, jadi Abang Long fikir inilah masa yang sesuai untuk Abang Long mencurahkan pengalaman dan nasihat, walaupun Abang Long tahu adik abang akan berasa bosan apabila mendengar perkataan nasihat. Abang Long peduli apa, sebab tugas Abang Long ialah menyampai dan menceritakan sesuatu untuk diambil manfaatnya.

Wahai adik abang,

Begini. Abang Long tahu, belajar di sekolah akan menjadi bosan dan menjemukan jika kita hanya belajar-belajar-belajar tanpa membuat atau menyertai aktiviti lain yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan ‘tension’. Betul?

Juga, pemandangan dalam kelas akan menjadi kelam jika setiap hari kita melihat wajah yang sama – hari-hari tengok muka kawan sebelah – seperti tiada wajah lain yang boleh menjadi penyeri mata (gurau saja…harap tidak ada yang menganggap rakan itu sebagai orang yang membosankan). Kemudian kita terfikir, alangkah baiknya jika di sekolah ini ada sesuatu atau seseorang yang boleh menjadi sumber inspirasi dan menaikkan semangat untuk belajar. Maka mulalah nanti kita mencari sumber inspirasi itu.

Abang Long masih ingat lagi, dulu di sekolah, seorang kawan Abang Long menjadikan sebuah pasu bunga yang diletakkan di sebelah kelas sebagai sumber inspirasi (Abang Long tidak tahu kenapa pasu bunga yang dipilih). Menurut katanya bentuk dan warna pasu bunga itu boleh merangsang minda untuk berfikiran kreatif!

Entah bagaimana, satu hari, apabila kawan Abang Long hadir ke sekolah, pasu bunga itu sudah tiada. Setelah ditanya kepada pak cik tukang kebun, katanya pasu bunga itu telah pecah dan dibuang.

Sejak hari itu, hidup kawan Abang Long seperti tiada panduan. Apa yang dibuat semuanya salah dan seperti tiada semangat lagi untuk hadir ke sekolah. Akhirnya, seorang ustaz menghadiahkannya sebuah tafsir al-Quran dan alhamdulillah, menjadi kesan yang baik untuk dirinya.

cintamainmain-1

 

cintamainmain-2

cintamainmain-3

cintamainmain-4

Wahai adik abang,

Begitulah, jika kita telah meletakkan sepenuhnya ‘soul’ kita kepada sesuatu itu sebagai sumber inspirasi, dan apabila berlaku sesuatu yang buruk kepadanya maka hampalah jiwa kita nanti dibuatnya. Samalah juga bagi sesiapa yang menganggap seseorang itu sebagai sumber inspirasi untuk menjadi semangat hadir ke sekolah. Lama kelamaan, sudah pasti sumber inspirasi itu akan menjadi abang, atau kakak, atau adik angkat yang seterusnya bercambah melahirkan rasa cinta sesama pelajar. Betul?

Satu saja pesanan Abang Long untuk ‘pencinta muda’ – supaya sentiasa ingat akan amanah kita sebagai seorang pelajar, amanah kita sebagai anak kepada ibu dan ayah, amanah kita sebagai murid kepada guru. Sememangnya perasaan cinta itu sukar untuk dikawal tetapi percayalah, dengan berdoa kepada Maha Pencipta dan tekad yang ada dalam diri, insya-Allah, dengan izin-Nya ia bukanlah sesukar mana.

Lihatlah harapan yang diletakkan ke bahu kita oleh ibu dan ayah yang telah membesarkan kita.

Wahai adik abang,

Cukuplah untuk kali ini. Semoga adik abang mengambil manfaat daripada apa yang Abang Long katakan di sini. Sampai ketemu lagi di lain kali. Wassalam.


Nik Wafdi & Azzam Supardi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas