Menu

 

A+ A A-

DITANGGUNG BERES!

AMANAH adalah satu tanggungjawab yang digalas oleh seseorang dan wajib dilaksanakan kerana setiap amanah akan dipersoalkan Allah s.w.t. kelak. Ingatlah, antara ciri orang yang berjaya adalah orang yang menunaikan amanahnya dengan sempurna, seperti digambarkan di dalam surah al-Mukminun ayat 8 yang bermaksud: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

Mari kita melihat amanah ini daripada tiga perspektif besar yang berlegar dalam kehidupan kita:

Pertama

Amanah terhadap Allah untuk ditunaikan di dunia yang sementara ini sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya.

Sebagai hamba Allah – sentiasa memastikan halal-haram atau dosa pahala yang menjadi keutamaan dalam apa jua perbuatan yang dilakukan. Manakala sebagai khalifah Allah pula – membuat kerja dengan usaha yang terbaik dan sesempurna mungkin dalam ruang lingkup mengikut syariat. Ini bermakna isu halal-haram mesti disertai dengan gerak kerja yang terbaik dan bukan culas atau sambil lewa. Itulah amanah kita terhadap Maha Pencipta selama berada di dunia ini.

ditanggung-beres-1

Kedua

Amanah terhadap ayah dan ibu yang menjadi penyebab kita lahir ke dunia dan dapat melihat bulan serta matahari.

Setiap bayi yang lahir di dunia adalah daripada hasil perkongsian hidup oleh insan yang disebut ayah dan ibu. Mahu-tidak-mahu, tanggungjawab tetap perlu digalas oleh mereka terhadap anaknya itu. Sesungguhnya ayah dan ibu yang normal hanya mendambakan dua perkara atau dua amanah daripada anaknya:

1 Menjadi anak yang cemerlang dan berjaya mengurus kehidupannya.
2 Menjadi anak yang soleh atau solehah.

Ayah dan ibu bersusah payah mencari nafkah, membesarkan dan menjaga kita daripada tapak kaki sebesar dua jari kelingking kepada tapak kaki sebesar saiz 10. Sudah tentunya penat lelah dan usaha mereka akan terubat jika melihat prestasi pelajaran anaknya amat cemerlang. Seolah-olah segala penat lelah dan keringatnya itu hilang apabila anaknya pulang membawa kejayaan.

Sebaliknya apabila kad laporan prestasi menunjukkan warna merah, ayah yang mencari nafkah terasa segala usahanya untuk melihat kejayaan anaknya sia-sia, tidak kurang juga ibu yang lebih sensitive jiwanya akan menitiskan air mata kesedihan kerana kegagalan kita. Justeru air mata yang berderai kerana kesengsaraan mereka disebabkan oleh kegagalan kita memikul tanggungjawab yang dianggap sebagai sebahagiaan daripada penderhakaan. Sepatutnya, biarlah mereka menangis kerana kejayaan dan kecemerlangan kita dalam dunia pelajaran – maka tangisan itu adalah tangisan kegembiraan dan kesenangan yang disukai oleh Allah s.w.t.

Keduanya ialah dambaan ayah dan ibu untuk melihat anaknya menjadi soleh dan solehah. Sudah maklum, kita merancang tetapi Allah yang menentukan, jadi ada kalanya kita sudah fokus dan berusaha tetapi kegagalan jua yang diterima.

ditanggung-beres-2

Jika begitu, ibu dan ayah tidak kecewa kerana melihat anaknya telah berusaha sedaya upaya, cuma ini mungkin bukan masa dan ketikanya Allah hendak memberi kejayaan. Tetapi apa yang lebih penting di sini, ayah dan ibu bukan mahukan kemewahan emas atau intan permata, atau menyalutinya dengan harta kekayaan dengan rumah dan kereta yang besar, akan tetapi cukuplah anaknya itu menjadi seorang manusia yang menghormati ibu bapa dan boleh menjaganya ketika mana mereka tua.

Yang pentingnya, berusahalah menjadi anak soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa. Ini sudah cukup untuk membahagiakan mereka.

Ketiga

Amanah terhadap guru yang mengajar dan mencurahkan ilmunya tanpa jemu.

Mereka umpama pelita yang menerangi kegelapan, tanpa mereka jahillah kita. Amanah terhadap mereka yang berjasa ini ialah dengan mendampingi, menghormati dan menjalankan apa yang diperintah selagi mana arahan itu tidak menyalahi tuntutan Ilahi.

ditanggung-beres-3

Justeru, sebagaimana terhadap ibu dan ayah, para guru juga kita perlu menjaga amanah mereka dengan sebaiknya. Pohonlah doa daripada mereka kerana sesungguhnya doa mereka makbul dan tiada hijab di antara doa mereka dengan Allah.

Akhir kalam untuk kali ini, sesungguhnya amanah dan tanggungjawab itu terlalu banyak berbanding waktu yang sedia ada. Pilihan berada di tangan kita untuk menyusun yang mana utama dalam kehidupan ini. Maka beruntunglah sesiapa yang memilih jalan yang benar dan merugilah bagi yang memilih jalan yang batil. Erti hidup pada membuat pilihan itulah amanahmu.  

Ustaz Zamri Zainuldin
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Penceramah Personaliti TV

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas