Menu

 

A+ A A-

MEMBINA TABIAT KERJA CEMERLANG

Ada sesetengah pekerja yang rasa cukup tertekan dan meluat dengan pekerjaannya sekarang.

Majikan yang pemarah, gaji yang statik, rakan pejabat yang “tikam belakang”, tugasan yang bertambun, dan banyak lagi. Semuanya salah dan semuanya bersalah.

Tunggu dulu! Daripada kita asyik menyalahkan orang lain, apa kata kalau kita luangkan sejenak untuk melihat ke dalam diri kita. Kata pepatah; jika kita inginkan perubahan, kita yang perlu berubah! Jika kita mahukan kerjaya yang cemerlang, kita berusaha terlebih dahulu untuk menjadi pekerja yang cemerlang.

Kali ini ada beberapa tips bagaimana untuk membina tabiat kerja yang cemerlang. Mungkin serba sedikit ia boleh membantu “kemurungan kerja” yang sedang dihadapi:

1. Baca peraturan dan panduan kerja terlebih dahulu

Jangan tersilap langkah melanggar peraturan yang anda tidak tahu. Tidak tahu bukan alasan untuk membuat salah. Dengan mengetahui perkara-perkara ini, anda akan lebih selesa dan ‘tenteram’ bekerja di tempat anda. Lebih daripada itu, anda juga akan dihormati oleh orang lain kerana anda menjaga kredibiliti anda sebagai seorang yang berdisiplin.

2. Datang awal ke pejabat

Jangan lewat. Ini adalah peraturan asas di mana-mana tempat kerja. Dengan datang awal ke pejabat, anda akan dapat memulakan tugasan dengan lebih tenang dan tersusun. Datang lambat hanya menyebabkan kekalutan dan rasa bersalah; yang akhirnya mengganggu prestasi kita. Rancanglah masa perjalanan yangdiperlukan. Ambil kira faktor jarak, kenderaan, keadaan jalan, dan kesesakan lalu lintas. Jika anda betul-betul merancang perjalanan, tiada lagi masalah untuk sampai ke pejabat tepat pada waktunya.

SOLUSI 8 -973. Jangan curi tulang

Ia adalah untuk keselesaan jangka pendek sahaja. Bayangkan apakah harga yang terpaksa anda bayar hanya untuk tidur dan lepak beberapa minit? Harganya ialah kredibiliti dan integriti yang merosot. Jagalah maruah anda. Elakkan daripada curi tulang.

Hiduplah sebagai seorang yang cergas dan bersemangat! Apa yang lebih penting ialah; para malaikat pasti akan mencatatkan ‘pencurian’ yang dilakukan itu. Kita dibayar oleh organisasi untuk menyiapkan tugasan dan melaporkannya kepada majikan. Selagi mana anda tidak menyempurnakan tugasan tersebut, maka kita perlulah mengisi masa dengan tugasan yang sebaiknya!

4. Jangan bazirkan harta pejabat

Saban hari kita menggunakan harta pejabat; elektrik, air, pendingin hawa,komputer, minuman, dan banyak lagi. Berjimatlah dengan menggunakan sekadar yang perlu sahaja. Jangan berboros kerana ituadalah amalan syaitan. Memang benar bahawaanda tidak perlu membayarnya, namun membazir itu tetap membazir; tidak kira anda perlu membayar ataupun tidak. Bahkan ketika berwuduk di sungai pun kita perlu menggunakan air secara berhemat.

5. Jangan gunakan harta pejabat untuk kegunaan peribadi

Ada orang yang menggunakan peralatanpejabat untuk urusan peribadi. Jika anda terpaksa melakukannya, mintalah kebenaran daripada individu yang sepatutnya. Ingat prinsip keberkatan, setiap apa yang anda lakukan mempunyai nilai berkat; semakin berkat perbuatan anda, semakin bahagia hidup anda! Dalam masa yang sama, perbelanjaan organisasi adalah amanah; orang yang tidak menggunakan dengan sebaiknya mungkin boleh dianggap sebagai tidak amanah. Apa pandangan anda?

adab kerja6. Duduk di hadapan

Ini adalah tabiat ketika sesi pembentangan dan mesyuarat. Menjadi budaya di Negara kita ramai orang gemar duduk di bahagian tengah atau belakang. Dengan memilihtempat hadapan, tumpuan anda akan dapat dioptimumkan. Dalam masa yang sama,lebih mudah untuk anda berinteraksi dengan pembentang di hadapan. Selain itu, ia membuktikan kesungguhan dan komitmen anda pada agenda yang telah ditetapkan.

7. Simpan fail-fail kejayaan

Jangan mengharapkan kerani semata-mata. Kadangkala kerani tidak cukup tanganuntuk mengendalikan semua perkara. Oleh itu, setiap kali anda telah berjaya mengendalikan projek yang penting, failkan data-data urusan projek itu dengan sistem pemfailan yang baik. Tidak lama lagi, anda perlu untuk merujuk kepadanya lagi.

8. Mintalah bantuan orang lain sebelum melakukannya sendiri

Mintalah bantuan rakan-rakan anda.

Termenung seorang diri jika tidak tahu untuk melakukan sesuatu tugasan. Mungkin ianya terlalu sukar untuk anda, tetapi mungkin juga ianya sangat enteng bagi rakan di sebelah anda. Tiada salahnya untuk bertanya. Mintalah pertolongan daripadanya.

9. Lakukannya sendiri sebelum meminta bantuan orang lain

Kadangkala anda tidak punya banyak masa untuk menyiapkannya. Lebih-lebih lagi, anda tahu semua orang sedang bertungkus  lumus untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Dalam situasi ini, jangan terkebil-kebil memandang orang di sekeliling anda.Buatlah tugasan anda segera. Ia mungkin sukar pada mulanya, tetapi mungkin akan menjadi semakin senang sebaik sahaja anda memulakannya.

10. Keluar pejabat hanya selepas habis waktu pejabat

Jangan curi-curi waktu tamat kerja. Mungkin anda mempunyai rakan setia yang sudi ‘mencucuk’ kad tekan anda, tetapi jangan terkejut suatu masa nanti ianya akan menjadi isu besar di pejabat anda. Jika takut kesesakan jalan, bukankah lebih baik anda bekerja lebih masa (overtime) sehingga jalan tidak sesak lagi?

11. Kerja sebagai Ibadah

Jika anda faham Prinsip kerja sebagai ibadah, anda tidak akan berasa rugi untuk bekerja secara bersungguh-sungguh. Bagaimana untuk menjadikan karier sebagai ibadah? Bersihkan niat anda, dan lakukan mengikut syarak. Elakkan niat buruk dan jauhkan amalan-amalan penyelewengan. Walaupun gaji anda tidak meningkat, tetapi dengan izin Allah, anda akan diganjari oleh Tuhan. Yakinlah.

Ingatlah bahawa suatu hari nanti kita akan mati dan menemui Allah. Kita tidak tahu bilakah ajal akan tiba. Alangkah ruginya jika seseorang itu mati dalam keadaan tidak memberikan yang terbaik semasa hidup.

Alangkah beruntungnya jika seseorang itu mati dalam keadaan memberikan yang terbaik dalam kehidupannya. Tetapkan azam, miliki tabiat kerja yang cemerlang. Semoga kita berbahagia tatkala malaikat maut datang menjemput.

 

 

 

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas