Menu

 

A+ A A-

BUKAN URUSAN SAYA

Pada abad ke-11 Hijrah, kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menyaksikan kehebatan seorang ulama besar yang bernama Syeikh Muhammad Sa’dudin bin Hasan Khan al-Tabrizi (wafat 1008H). Ketinggian ilmu dan kekuatan hafalan beliau menjadi sumber kekaguman semua ulama pada masa itu.

Diceritakan bahawa beliau pernah menjawab ratusan permasalahan hukum dan fatwa melalui hafalannya tanpa merujuk kitab terlebih dahulu. Kelebihan ini dikukuhkan lagi dengan kesolehan dan kecerdikan beliau yang luar biasa membuatkan beliau diberi kepercayaan memangku jawatan Syeikhul Islam (Mufti Negara) yang ke-22 dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada suatu hari, khalifah Usmaniah yang bernama Sultan Ahmad I mengirim sepucuk surat rasmi kepada Syeikh Sa’dudin untuk bertanya, “Apa kekurangan yang terdapat di negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam?”

Syeikh yang bijaksana ini menulis jawapannya dengan ringkas: “Bukan urusan saya.”

Sultan Ahmad spontan agak marah sejurus membaca jawapan tersebut. Ia menyangka bahawa Syeikh Sa’dudin telah mengabaikan soalan penting itu.

Baginda memerintahkan Syeikh Sa’dudin menghadap segera, lalu memarahinya dengan sangat keras. Ia berkata, “Mengapa tuan mengabaikan pertanyaanku? Beraninya tuan berkata ‘bukan urusan saya’ untuk suatu masalah yang sangat penting ini?”

Dengan tenang, sang mufti menjelaskan:

“Saya tidak mengabaikan pertanyaan tuanku. Sebaliknya, saya menjawab pertanyaan tersebut dengan sangat teliti dengan kalimat ‘Bukan urusan saya’. Kalimat inilah penyebab utama kemunduran umat Islam. Jika setiap individu – daripada pemerintah hinggalah rakyat bersikap mementingkan diri sendiri, dan berkata ‘bukan urusan saya’ apabila berhadapan masalah umat, maka kemunduran demi kemunduran dan kekalahan demi kekalahan akan terus-menerus menimpa umat Islam.”

Memahami penjelasan Syeikh yang penuh bermakna, Sultan Ahmad menjadi malu. Beliau segera meminta maaf kepada Syeikh Sa’dudin dan memberinya banyak hadiah

Ekspresi Ketidakpedulian

urusanJawapan Syeikh Sa’dudin sungguh tepat menusuk jantung. Kalimat “bukan urusan saya” merupakan ekspresi ketidakpedulian terhadap masalah yang melanda masyarakat. Kalimat ini juga menandakan matinya hati budi, sehingga tidak lagi mampu merasa sedih atas kesulitan yang menimpa umat. Jika sikap ini terus tumbuh dan tersebar dalam jiwa sebuah bangsa, maka hal ini menjadi pertanda keruntuhan bangsa tersebut.

Sikap mementingkan diri sendiri (ego, selfish) dan tidak peduli kepada orang lain dan umat secara keseluruhannya, tidak pernah wujud pada masa Nabi s.a.w. Sebaliknya, Baginda mengajar agar setiap individu dalam kalangan sesama umat Islam, bersimpati kepada individu lainnya dan aktif memainkan peranan dalam membangun umat.

Baginda bersabdam maksudnya: “Perumpamaan kaum Mukminin dalam bersaudara adalah ibarat satu tubuh badan. Jika sakit salah satu anggota, seluruh tubuh akan berasa sakit dan tidak dapat tidur.” (Riwayat al-Bukhari danMuslim)

Rasulullah s.a.w. merealisasikan hal itu dengan mengikat tali persaudaraan antara sesama penduduk Madinah sehingga setiap Muslim merupakan saudara bagi Muslim yang lain dan saling bantu-membantu menghadapi cabaran hidup yang menghalang. Hasilnya, umat Islam di bawah pimpinan Nabi s.a.w. merupakan umat yang mampu berkongsi suka dan duka bersama. Dan kondisi ini terus terjaga walaupun Baginda Rasulullah s.a.w. telah wafat.

Pada masa Umar bin al-Khattab menjadi Khalifah, penduduk Madinah pernah mengalami waktu kekeringan yang membinasakan semua tumbuhan. Selama berbulan-bulan semua penduduk hidup dalam kelaparan. Selama itu juga Umar tidak dapat tidur mahupun beristirahat. Dia sering bersusah hati sehingga jatuh sakit dan tubuhnya semakin kurus. Setiap orang yang melihatnya berkata, “Andainya kekeringan ini berlangsung beberapa bulan lagi, Umar pasti mati.”

Beberapa waktu kemudian, sebuah kafilah yang membawa bahan makanan yang terdiri daripada daging, mentega dan roti tiba dari Mesir. Tanpa berfikir panjang, Umar segera membahagi-bahagikan semuanya kepada masyarakat tanpa mengambil sedikit pun daripadanya.

Kemudian dia berkata kepada ketua kafilah itu, “Kamu nanti makan bersamaku di rumah.” Orang itu segera membayangkan berbagai-bagai hidangan lazat yang bakal disantap di rumah khalifah. Hidangan khalifah tentunya lebih lazat daripada makanan rakyat biasa, fikirnya.

Tengah hari itu, Umar bersama ketua kafilah itu pulang ke rumah dengan sangat lapar dan lelah. Umar segera meminta makanan tengah hari dihidangkan. Tidak lama kemudian makanan pun tersedia. Namun agak terkejutnya sang tetamu itu apabila melihat hidangan di hadapannya hanya beberapa potong roti kasar dengan sepinggan minyak zaitun. Tiada daging, tiada mentega.

Dia lantas bertanya: “Mengapa tuan memberiku makanan seperti ini?” Umar menjawab: “Aku memberimu makanan yang aku makan.”

Ia bertanya lagi: “Mengapa tuan tidak mengambil sebahagian daripada daging dan makanan tadi?” Umar menjawab: “Aku bersumpah tidak akan mengecapi daging dan mentega sebelum semua rakyatku kenyang memakannya.”

Sikap penuh empati ini bersama sikap-sikap positif lainnya yang terdapat pada diri para sahabat Nabi s.a.w. – menjunjung mereka menjadi pemimpin yang sangat dihormati. Sehingga berabad-abad kemudian, generasi kaum Muslim menikmati kemakmuran dan kemajuan peradaban hasil daripada kelanjutan usaha para pemimpin agung ini.

Seorang pakar sosiologi, Abu Zaid Abdul Rahman Ibn Khaldun (w. 808H), menjelaskan hasil penemuannya bahawa setiap bangsa yang setiap individunya berlumba-lumba dalam akhlak mulia seperti dermawan, pemurah, memaafkan kesalahan, menepati janji, membantu yang lemah, menjamu tetamu, menghormati cerdik pandai, menghargai orang yang lebih tua dan nilai-nilai positif lainnya, maka bangsa itu berpotensi untuk menjadi penguasa dunia. (AlMuqaddimah hlm. 146)

Dan ucapan ini terbukti kebenarannya pada masyarakat awal Islam. Mereka menjadi bangsa yang maju dan terhormat di dunia selama berabad-abad lamanya, hasil daripada kesungguhan mereka berpegang kepada nilai-nilai positif ini.

Suatu ketika Khalifah Harun al-Rasyid menghadiahkan King Charlemange, raja Perancis, sebuah jam automatik yang boleh berbunyi, reka cipta kaum Muslimin. Khabarnya jam tersebut membuat raja Perancis dan para anggota istana kehairanan, sehingga mereka menyangka bahawa jam itu berfungsi kerana digerakkan oleh syaitan atau jin. Fragmen ini cukup untuk menunjukkan betapa kontrasnya peradaban Islam berbanding peradaban Eropah pada waktu itu.

Bidaah Egoisme

urusan 1Ibn Khaldun berkata, “Sebaliknya, jika Allah hendak meruntuhkan suatu bangsa, maka Allah akan membiarkan penduduk bangsa itu melakukan perbuatan-perbuatan tercela dan menelusuri jalan-jalan keburukan, sehingga hilanglah keutamaan politik daripada mereka sama sekali. Mereka akan terus mundur sehingga hilang kekuasaan daripada tangan mereka dan beralih ke bangsa lain. Kajilah bangsa-bangsa besar dalam sejarah, anda akan membuktikan kebenaran ucapan kami ini.”

Ucapan ini terbukti kebenarannya dalam masyarakat Islam. Tempat terhormat yang dinikmati kaum Muslimin selama berabad-abad itu sudah hilang dan berpindah ke bangsa lain, sejak lahirnya bidaah “egoisme” dalam generasi baru umat Islam.

Fenomena itu dijelaskan oleh sahabat Nabi s.a.w. bernama Abdullah bin Umar, yang berkata: “Pernah datang kepada kami suatu masa di mana setiap orang tidak berasa lebih berhak terhadap wang dinar dan dirhamnya daripada saudara seislamnya. Namun pada masa ini, dinar dan dirham lebih dicintai seseorang daripada saudaranya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Sejak itu, umat Islam terus mengalami kemunduran dalam berbagai-bagai bidang sebagaimana ancaman Allah s.w.t.:

“Katakanlah jika bapa-bapa kamu, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq." (Surah al-Taubah 9: 24)

Perintah “tunggulah” dalam ayat di atas mengandungi makna ancaman (tahdid). Dan ketidakjelasan (ibham) azab yang akan Allah turunkan, membuat hati semakin kecut dan fikiran bertanya-tanya; azab apakah yang akan diturunkan? Ancaman atau janji yang tidak dijelaskan hakikatnya dalam retorik Arab (balaghah) mensiratkan “sesuatu yang sangat besar” (tahwil).

Sebuah hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Ibn Umar menjelaskan “jenis azab” tersebut meskipun sanadnya agak lemah; bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu berjual beli dengan cara ‘inah, dan mengambil ekor lembu, dan gemar bercucuk tanam sehingga meninggalkan jihad, maka Allah akan menimpakan kamu kehinaan yang tidak akan dicabut lagi hingga kamu kembali kepada agama kamu.” Maksudnya: Jika kita terlalai dengan perniagaan, penternakan atau pertanian sehingga mengabaikan ke wajipan berjuang (jihad) demi agama dan umat, maka akan segera ditimpakan kehinaan kepada umat Islam seluruhnya.

Satu-satunya cara untuk mengembalikan kehormatan tersebut adalah dengan kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menjunjung tinggi kebersamaan dan meninggalkan egoisme.

Sikap Peduli Umat

Dengan demikian, kita harus sedar– juga menyebarkannya kepada umum – bahawa sikap tidak peduli ini adalah penyakit yang akan menghancurkan diri kita sendiri. Setiap orang harus menyedari sepenuh hati bahawa dirinya tidak akan selamat jika masyarakat disekitarnya telah rosak malah hancur. Jadi, kita harus menjaga masyarakat demi untuk menyelamatkan diri kita sendiri. Mulailah membuka mata terhadap setiap masalah yang dihadapi masyarakat kita dan bersama-sama memikirkan jalan penyelesaiannya.

Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk meluaskan fikiran dan meninggikan perhatian sehingga melampaui diri, masa dan tempat kita berada – bahkan melampaui semua benda yang ada di dunia ini. Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq meriwayatkan daripada Imam Sa’id bin Abdul Aziz al-Tanukhi:

“Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum Muslimin, maka ia bukan sebahagian daripada mereka.” Ucapan ini juga diriwayat kan dari Nabi s.a.w. namun dengan sanad-sanad yang tidak sahih, bahkan Ibn al-Jawzi dan al-Zahabi menilainya palsu.

Sayidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata,

“Orang yang hanya berfikir untuk sesuatu yang masuk ke dalam perutnya (makanan dan minuman), maka nilai orang itu tidak lebih daripada sesuatu yang keluar dari perut (najis).”

Syeikh Ali al-Khawwas (seorang wali Allah abad ke-10 Hijrah) berkata, “Sesiapa yang mampu tertawa, bergurau-senda dengan isterinya, berpakaian mewah atau pergi bercuti dan melancong, sementara kaum Muslimin ditimpa musibah, maka ia dan haiwan sama saja.”

Setiap orang yang mengkaji perkembangan dunia Islam sama ada di negerinya mahupun di negeri-negeri lain, pasti menyedari bahawa umat Islam kini sedang menghadapi saat-saat yang amat menyedihkan. Kerosakan moral di kalangan generasi muda, kejahilan umat, kesengsaraan dan kemiskinan bertimpa-timpa menghimpit dan mengancam kelangsungan kewujudan umat. Kaum Muslimin benar-benar sedang memerlukan bantuan dan tindakan segera kita.

Maka inilah waktunya untuk kita mula menghulurkan tangan dan berhenti daripada berkata, “Bukan urusan aku!”

Sikap Empati Para Sahabat Rasulullah

Tiga orang sahabat Nabi s.a.w., Ikrimah bin Abi Jahl, Suhail bin ‘Amr dan al-Harith bin Hisyam, ditemui luka parah seusai Peperangan Yarmuk.

Ikrimah berasa kehausan, lalu seseorang membawakannya segelas air untuknya. Ketika dia mengangkat gelas itu ke mulutnya, ia melihat Suhail bin ‘Amr yang juga merintih kehausan. Lalu dia berkata, “Berikan air ini untuk Suhail.” Air itu lalu dibawa kepada Suhail. Ketika ia hendak meminumnya, ia melihat al-Harith bin Hisyam juga cedera dan sedang kehausan. Ia lalu berkata, “Berikan air ini untuk al-Harith.” Ketika air itu dibawa kepada al-Harith, ternyata sahabat Nabi ini telah meninggal dunia. Orang yang membawa air itu segera berlari kepada Suhail. Ternyata ia pun sudah wafat.

Ketika ia berlari semula ke tempat Ikrimah, sahabat ini juga baru saja menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas