Menu

 

A+ A A-

MANJAKAN ANAK CARA POSITIF

Ditulis oleh 
Rate this item
(4 votes)

Seorang ibu mengeluh menceritakan kisah tiga orang anaknya. Anak perempuan sulung sudah bekerja sebagai pegawai pemasaran. Apa yang membimbangkan dia kerap balik lewat malam. Katanya kerja terlalu banyak.

Namun hubungan si anak dengan ibu kini sudah semakin renggang. Wang gaji entah ke mana, tiada sedikit pun pemberian untuk si ibu. Sebaliknya si anak pula hendak meminjam daripada si ibu.

“Anak lelaki kedua saya di sekolah menengah pula suka ponteng sekolah. Jika balik dari sekolah, terus menukar pakaian dan menghilang ke rumah kawan-kawannya. Kerja-kerja sekolah yang banyak tidak diendahkannya. Sekiranya dinasihati, anak saya memberontak dan suka menjawab.” Si ibu tadi mula bergenang air matanya.

“Anak ketiga pula suka keluar rumah dan melepak di cyber café. Mendesak minta handset baru macam kawannya. Sudah dibeli, hilang pula di sekolah. Dia juga pandai berbohong dan mencuri. Dia pernah mengambil wang ayah yang disimpan di dompet.” Itulah antara keluhan para ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Baru seorang dua anak, tetapi masalah bagaikan sepuluh anak.

Persoalannya, mengapa anak-anak seolah-olah tidak menghargai atau merasai susah payah ibu bapa untuk membesarkan mereka?

Di manakah silapnya apabila anak-anak yang ditatang penuh kasih sayang yang tidak berbelah bagi, akhirnya menyusahkan ibu bapa sendiri? Rasa belas kasihan, prihatin kepada kedua orang tua bagaikan sudah tiada dan begitu mudah dilupai. Perkara sebegini sudah tentu mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. kepada si anak.

Namun ibu ayah tidak tega melihat kesusahan anak-anak sebaliknya selalu mendoakan kebaikan mereka.

Walau apapun puncanya, seeloknya ibu bapa melihat dan mengkaji semula bagaimana anak-anak kita itu dibesarkan dan dididik sejak mereka kecil lagi.

Jangan Berlebihan Memanjakan Anak-Anak

Anak dikurniakan Allah sebagai penambat kasih. Anak-anak membesar dan dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh. Diberi sepenuh kasing sayang, sehingga kekadang tanpa sedar dimanjakan berlebihan. Anak-anak tak mahu makan, dibelikan makanan segera, ikut selera mereka.

Jika anak-anak bosan, dibelikan alat permainan komputer dan sebagainya. “Pokoknya, anak-anak aku hidup selesa.” Mungkin ibu bapa tidak tega melihat anak-anak hidup susah. Jika anak-anak membuat kesalahan, ibu bapa hanya membiarkan. “Ah, dia kecil lagi. Bukan faham apa-apa...” Biasanya itulah alasan yang diberi. Berpada-pada memanjakan anak-anak, agar mereka merasa kasih sayang ibu ayah itu perlu dihargai, bukannya disalah ertikan.

Jangan setiap keinginan dan kehendak anak-anak kita tunaikan. Apa yang mereka tidak dapati, kita jelaskan sebab-sebab mengapa mereka tidak patut mendapatkannya. Dengan cara ini, anak-anak akan faham bahawa ibu bapanya mahukan yang terbaik untuk mereka.

Jangan Terlalu Percayakan Anak-anak

Apabila anak-anak sudah pandai bergaul dengan kawan-kawannya, mereka akan menampilkan perilaku yang pelbagai. Misalnya sikap pemarah, pentingkan diri sendiri, sombong dan tidak sabar. Jika bermain, ada yang suka bergaduh dan tidak menghormati rakan. Jika marah, ada yang mengeluarkan kata-kata kesat. Jika dikalahkan, mereka mudah marah dan berdendam. Jika berlaku pergaduhan, mereka mengadu cerita bohong kepada ibu ayah untuk menagih simpati.

Sebagai ibu ayah jangan terus percaya kepada cerita-cerita anak-anak. Dan jangan bertindak atas laporan anak-anak, tanpa usul periksa. Tindakan silap kita sebenarnya menjadikan si anak semakin liar dan kuat menipu.

GHJ

Pastikan anak-anak dilengkapi ilmu fardu ain secukupnya

Tuntutan fardu ain akan terletak pada tanggungjawab anak-anak apabila mereka baligh. Antaranya, yang mencakupi soal tauhid, fiqah dan akhlak. Pastikan anak-anak kita lengkap diisi dengan ilmu fardu ain, tidak kira secara formal di sekolah agama, misalnya, atau pun belajar tidak formal di rumah atau di madrasah, surau dan sebagainya.

Tahap seterusnya, mereka mungkin sudah lulus pengetahuan fardu ain, pastikan pula di sudut penghayatannya. Soal yang wajib seperti solat, menutup aurat, puasa dan sebagainya, jangan diabaikan, yang haram dan makruh  dijauhi.

Soal tauhid contohnya, beri peringatan atau pasakkan dalam hati anak-anak: “Allah bersama kita, Allah melihat kita dan Allah menyaksikan kita.” Moga anak-anak sentiasa merasai kewujudan Allah dalam hidup mereka.

Ibu bapa Menjadi Role Model

Nabi Muhammad s.a.w. adalah role model terunggul yang patut dicontohi dalam hidup kita. Sebagai ibu bapa mesti ada sifat sabar, pemurah, berlapang dada, bijaksana dan penyayang sebagaimana Rasulullah s.a.w.? Sifat-sifat seumpamanya perlu kita pamerkan kepada anak-anak supaya mereka memahami dan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Bagaimana anak hendak menjadi penyantun sekiranya ibu bapanya sering bergaduh atau bertelagah?

Bagaimana anak hendak menjadi pemurah jika si ayah kedekut beramal sedekah? Bagaimana anak perempuan hendak menutup aurat sedangkan ibu sendiri mendedah aurat? Anak-anak lebih mudah mengikuti contoh yang ada dekat di hadapan mata. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Antara hak orang tua terhadap anaknya adalah mendidiknya dengan budi pekerti yang baik dan memberinya nama yang baik.” (Riwayat Al-Baihaqi).

Berbuat Kesalahan Patut Dihukum

Tersilap sekali boleh dimaafkan. Jika tersilap kali kedua, ia merupakan kesalahan. Berilah amaran kepada anak-anak jika berbuat silap,ia sepatutnya tidak diulangi lagi. Jika berlaku kesalahan, lebih-lebih lagi yang disengajakan, ibu bapa perlu memberi hukuman atau denda.

Sayidina Umar yang hebat budi pekertinya itu pun pernah merotan anaknya untuk memperbaiki akhlak si anak.

Tugas mendidik anak-anak supaya berakhlak mulia adalah satu tugas mencabar dan  berterusan. Tidak salah menyayangi atau mencintai anak-anak, asalkan kecintaan itu jangan melebihi kecintaan kepada Allah s.w.t.

Berilah perhatian terhadap tingkah laku anak-anak dari kecil sehingga mereka meningkat remaja. Hal ini kerana pada usia demikian, mereka sangat memerlukan perhatian dan didikan yang betul.

 

 

Rashidah Mustaffa

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Read 10438 times