Menu

 

A+ A A-

PAKAIKAN TAKWA KEPADA ANAK

SEJAK kecil lagi kanak-kanak hendaklah dilatih supaya biasa berpakaian menutup aurat dan yang melambangkan syiar Islam. Jangan menanti tahap akil baligh. Justeru, perlulah ada asuhan dan latihan berterusan daripada ibu bapa sejak mumaiyiz lagi. Alah bisa tegal biasa.

Penjelasan dan galakan perlu diberi selalu kepada anak-anak mengenai batasbatas aurat yang perlu ditutup, sehingga timbul sendiri dalam diri mereka rasa malu mendedahkan aurat sejak awal usia. Pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan perlulah berbeza. Jangan dibiarkan anak-anak lelaki suka memakai pakaian perempuan dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud, “Allah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” Contohnya, kanak-kanak lelaki tidak memakai pakaian yang terlalu berwarna warni, berbunga (yakni yang ada persamaan dengan pakaian wanita), dan hendaklah dilarang memakai sutera, kerana pakaian yang sedemikian adalah khusus untuk perempuan. sabda Rasulullah s.a.w. yang ber mak sud, “Haram memakai sutera dan emas kepada umatku, tetapi dibolehkan untuk perempuan.” Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda, ”Jangan kamu memakai sutera. Jika kamu memakainya di dunia, kamu tidak akan dapat memakainya di akhirat.” Anak-anak juga hendaklah dididik agar tidak gemar kepada perhiasan dan pakaian yang melambangkan kemewahan dan kemegahan yang melampau.

Dikhuatiri apabila mereka dewasa nanti, kemewahan itu akan menjadi matlamat dengan tujuan bermegah-megah dengannya. Itu juga boleh menyuburkan rasa sombong (ego) dan meninggi diri. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa meninggalkan pakaian mewah kerana tawaduk kepada Allah, sedang ia mampu membelinya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian manusia pada hari Kiamat untuk disuruh memilih pakaian mana yang dikehendakinya untuk dipakai.” Ibu bapa perlu peka dengan pergaulan anak-anak. Pembawaan dan peribadi anak-anak sering mengikut kawan-kawannya, terutama kawannya yang rapat. Bukan bermakna kita menyekat pergaulan anakanak, tetapi biar kita jelaskan batas-batas yang mana anak kita perlu ikut.

Aurat anak perempuan

Anak-anak perempuan hendaklah dijelaskan bahawa batas aurat mereka iaitu daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki, kecuali telapak tangan dan muka. Biasakan mereka memakai pakaian yang lengkap menutup aurat apabila keluar rumah iaitu bertudung dan berkain labuhmenutupi buku lali. Tanamkan rasa malu dalam jiwa mereka jika keluar rumah tanpa menutup aurat. Selain daripada berpakaian menutup aurat, anak-anak juga perlu dilatih dan dibiasakan dengan pakaian yang melambangkan syiar Islam, terutamanya pakaian orang soleh.

Mudah-mudahan dengan melazimi tradisi orang soleh, termasuk juga dalam berpakaian, mereka akan menjadi orang soleh. sabda Rasulullah yang bermaksud, “sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, nescaya digolongkan mereka dalam kaum itu.” Tambahan pula membesarkan syiar Allah, termasuk di bidang pakaian, mendapat nilaian taqwa daripada Allah. Firman Allah yang bermaksud, “sesiapa membesarbesarkan syiar Allah, maka itulah daripada hati yang bertaqwa.” Ini penting lebih-lebih lagi kerana pada akhir zaman pakaian orang Islam sudah susah untuk dibezakan dengan pakaian orang bukan Islam.

Ajar anak-anak membaca doa ketika memakai pakaian. Mulakan menyarung pakaian dengan mendahulukan sebelah yang kanan. Baca: Maksudnya, “Ya Allah, aku mohon kepada-Mu kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang dibuat untuknya. Dan aku berlindung diri kepada-Mu daripada kejahatan pakaian inidan kejahatan sesuatu yang dibuat untuknya.” Dan apabila membuka pakaian, dahulukan sebelah yang kiri dengan membaca: Maksudnya, “Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.” Pakaian melambangkan peribadi. Islam menitikberatkan tanda-tanda lahir pada diri seseorang untuk mencerminkan yang batin. Ini sesuai dengan defi nisi iman — mengakudengan hati, mengucap dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan. Pakaian sebaik-baiknya adalah taqwa sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “sebaik-baik pakaian adalah taqwa.”

Jadi pakaikanlah anak-anak dengan pakaian Islam, agar terpelihara maruahnya di dunia dan tinggi darjatnya di akhirat. Pakaian-pakaian mewah (terlalu mahal) elok dijauhkan, lantaran ia membawa kepada sikap suka membazir, dan membazir itu adalah sahabat kepada syaitan.

 

 

Rashidah Mustafa

Sumber artikel daripada majalah solusi isu no 2


 

Related items

Kembali ke atas