Menu

 

A+ A A-

HARTA ITU AMANAH ALLAH

PERNAH satu ketika Rasulullah telah pergi ke pasar. Baginda terpandang bekas berisi makanan yang hendak dijual. Baginda pun memasukkan jarinya ke dalam makanan tadi. Terasa pada jari baginda bahagian yang basah. “Mengapa dengan makanan ini, wahai penjual?” tanya baginda.

“Makanan itu terkena hujan, wahai Rasulullah.” “Mengapa tidak engkau letakkan bahagian yang basah ini di atas supaya dilihat orang? Barangsiapa yang menipu, maka dia tidak termasuk golongan kami.”

harta-itu-amanah-allah-1

Begitulah baginda Rasulullah s.a.w. mendidik supaya bersifat amanah. Lantaran sifat ini perlu pada setiap manusia. Sifat inilah antara yang menentukan seseorang itu terus dihormati dan disegani masyarakat ataupun tidak.

harta-itu-amanah-allah-1

Tidak salah sekiranya mencari harta kekayaan berlipat ganda. Namun perlu kita ingat pemilik mutlaknya adalah Allah s.w.t. Dan kita pula adalah sekadar pemegang amanah (harta benda), bukan pemilik. Hal ini demikian kerana kita asalnya tidak mampu mengadakan sesuatu yang daripada tiada kepada ada.

Jadi apabila disebutkan sebagai pemegang amanah, tugas ini adalah berat. Namun Allah s.w.t. telah memberi panduan dalam al-Quran dan hadis, bagaimana menguruskan harta benda dengan cara yang amat baik. Tinggal kita sahaja hendak memilih untuk mengikut atau tidak.

Persoalan harta ditanya

harta-itu-amanah-allah-2

Sebagai seorang yang beriman, kita mesti meyakini apa yang bakal berlaku kelak. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang di akhirat nanti pasti akan ditanya tentang empat hal: Usianya untuk apa dihabiskan, jasmaninya untuk apa dipergunakan, hartanya dari mana didapatkan dan untuk apa dipergunakan, dan umurnya untuk apa dia pergunakan.” (Riwayat al-Darimi)

Daripada mana punca harta

Apakah kita mendapat harta dari sumber rezeki yang halal atau tidak. Perlu kita ingat Allah s.w.t. mencipta kita untuk membangunkan kehidupan, memakmurkan dunia selain beribadah kepada-Nya. Tidak kira kita bekerja sebagai tukang sapu, nelayan, majikan, pemimpin dan sebagainya. Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

harta-itu-amanah-allah-3

“Sesungguhnya Allah mencintai hamba-Nya yang bekerja. Barang siapa yang bekerja keras mencari nafkah yang halal untuk keluarganya, maka sama seperti mujahid di jalan Allah.” (Riwayat Imam Ahmad)

Walaupun sumber itu halal, perlaksanaannya juga mestilah halal dan perlu mengikut peraturan Islam. Ini adalah cara kita beribadah kepada Allah s.w.t. Kita bekerja dengan penuh ikhlas, istiqamah, cekap, amanah dan telus. Allah s.w.t. menyayangi orang-orang yang bekerja dengan tekun dan sebaik mungkin.

Oleh sebab itu, daripada awal perlu ada kesedaran bahawa setiap harta adalah amanah Allah kepada kita. Jika menyalahgunakan amanah Allah ini, kita akan dicampak ke dalam api neraka, wal ‘iyazubillah.

Rashidah Mustafa
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.1


Kembali ke atas