Menu

 

A+ A A-

MELAMIN DALAM SUSU BAYI

SOALAN :Apakah pandangan ustaz berkenaan isu kandungan melamin dalam produk-produk susu untuk kanak-kanak?

JAWAPAN :

Saya bukanlah pakar dalam bidang teknologi pemakanan. Namun berdasarkan pembacaan saya, melamin bukanlah suatu bahan yang asing dalam bahan-bahan makanan dan keperluan harian kita. Menurut pegawai Farmasi Pusat Racun Negara USM, Sazaroni Md Rashid, melamin ialah sejenis bahan yang digunakan untuk membuat plastik. Namun ia bukan sejenis plastik.

Dalam produk susu kanak-kanak memang dimasukkan melamin untuk meningkatkan protein yang tinggi dengan kos yang rendah. Namun isunya, dunia digemparkan dengan kes produk susu di China yang didapati kandungan melaminnya melebihi had sukatan yang dibenarkan sehingga memberikan kesan ke atas buah pinggang bayi dan kanak-kanak.

Secara umumnya, Malaysia mengimport susu dari New Zealand, Australia, Belanda dan Amerika Syarikat serta China. Nasihat saya, carilah produk susu yang halal (Halal Malaysia lebih baik) yang telah mendapat pengesahan Jabatan Veterinar agar apa yang diberikan kepada anak-anak dan keluarga kita selamat daripada sebarang bahan yang memudaratkan.

Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia.”(Surah al-Rum:41)

Susu Tepung Halal

SOALAN :

Saya tidak mampu menyusukan anak selama dua tahun seperti yang digalakkan dalam Islam. Justeru, saya memberikan susu tepung kepada anak saya. Namun saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan produk-produk makanan bayi yang halal. Apa komen ustaz?

JAWAPAN :

Saya bersetuju dengan apa yang berlaku kini iaitu kesukaran mendapatkan produk-produk makanan bayi yang halal terutamanya yang mendapat logo halal JAKIM. Hal ini kerana kebanyakan produk yang terdapat di pasaran dikuasai oleh syarikat-syarikat multinasional yang majoritinya bukan Islam. Walaupun begitu masih terdapat beberapa cara untuk mengatasi perkara ini.

Saya mencadangkan agar saudari mendapatkan susu-susu tepung yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana tempatan yang mendapat pengesahan halal daripada JAKIM. Saudari boleh membelinya melalui dalam talian atau pergi kepada stokes-stokis yang berhampiran dengan kediaman anda. Sebaik-baiknya, beli dalam kuantiti yang banyak sekaligus.

Sekiranya saudari berasa sukar untuk mendapatkan produk seperti di atas, saudari boleh mendapatkan apa-apa produk yang mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM seperti dari Singapura, Thailand, Indonesia, New Zealand, Australia dan beberapa negara lain.

Perlu diingat, tidak semestinya susu-susu yang mahal sahaja mempunyai logo halal yang diiktiraf. Anda pergilah ke pasar raya-pasar raya besar dan telitilah logo-logo halal yang terdapat pada bungkusan makanan bayi anda.

Namun saya masih tetap menyarankan agar kita sedaya upaya melakukan penyusuan anak dengan susu badan selama dua tahun. Tiada yang terbaik untuk bayi kecuali susu ibu. Ibu-ibu juga perlulah menjaga pemakanan dan kesihatan agar anak yang masih menyusu itu juga mendapat susu daripada tubuh badan yang baik dan sihat.

1MDSB

 Akibat Tidak Halal

SOALAN :

Apakah akibat sekiranya kita tidak mengambil makanan yang  halal lagi baik (halalan tayyiban)?

JAWAPAN :

Ibn Kathir meriwayat daripada Ibn Abbas: “Ketika dibacakan ayat 168 hingga 169 dari surah al-Baqarah, Saad Bin Abi Waqqas bertanya: ‘Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku bagaimana caranya agar doaku diperkenankan Allah?’

Rasulullah menjawab, ‘Wahai Saad, perbaikanlah pemakanan kamu (carilah makanan yang halal lagi baik) maka doa kamu akan diperkenankan. Demi Yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, seseorang yang menelan sesuatu yang haram ke dalam perutnya, maka Allah tidak akan menerima daripadanya selama 40 hari.  Sesiapa yang dagingnya membesar daripada makanan haram dan riba, maka neraka adalah lebih utama bagi dirinya!”

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir Munir, makanan yang halal lagi baik itu ialah sesuatu yang tiada unsur syubhah dan dosa, bukan hak orang lain atau didapati secara yang tidak mengikut syariat.

Begitu juga apabila seseorang yang selalu hidup dengan makanan yang haram dan perkara-perkara haram, maka sebenarnya ia telah mengikut jejak langkah syaitan. Syaitan merupakan musuh nyata yang menyuruh manusia ke arah kesesatan, keraguan, tipu daya dan pendustaan.

Daripada makanan haram dan tidak baik inilah lahirnya manusia-manusia yang hilang rahmat dan petunjuk Allah lantaran Dirinya dipenuhi dengan bintik-bintik hitam dosa. 

Ustaz Fahrul Irfan Ishak 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Kembali ke atas