Menu

 

A+ A A-

SUBURKAN MINDA ANAK ANAK DENGAN KISAH BENAR

Kanak-kanak sememangnya tidak lari daripada meminati dunia fantasi dan imaginasi. Berjam-jam duduk menghadap TV dengan kartun, animasi mahupun dongeng; tidak kira cerita Barat, Jepun, hinggalah kepada kartun dan animasi tempatan.

Ketaksuban Watak Hero
Kanak-kanak juga akan menjadi begitu “taksub” kepada hero-hero mereka ini. Sehinggakan beg sekolah, bekas kotak pensel pun mesti ada Ben 10, Ultraman, Spiderman, dan kalau yang perempuannya anak patung Barbie dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, ada yang berusaha mengumpul koleksi gambar, patung replika, games atau mainan karektor hero-hero mereka. Malah sehingga ada yang ketika menyambut hari jadi pun, hiasan kek menggunakan karektor super hero mereka.

Persoalannya, apakah kisah-kisah tersebut dapat mengembang daya pemikiran anak-anak kita kelak? Apakah pada masa hadapan, mereka boleh memecah pelbagai masalah kehidupan di dunia yang banyak cabaran ini? Bolehkah dengan keadaan itu mereka beroleh pengalaman yang banyak supaya matang dalam bertindak?

Kurang Bijak
Kita sering mendengar bagaimana ramai remaja kini tidak mampu mengawal kemarahan apabila ditegur atau dinasihati. Mereka cepat melenting dan bertindak melulu tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Misalnya seorang pelajar yang dimarahi guru disiplin, sanggup mencelorengkan kereta guru tersebut dengan duit syiling. Baru-baru ini jika kita terbaca di dada akhbar bagaimana seorang murid meletupkan tayar kereta gurunya dengan bom buatan sendiri. Sebenarnya mereka ini agresif dan boleh berfikir, cuma hala fikiran mereka tidak dipandu. Siapakah yang bersalah dalam hal-hal sebegini?

Benarlah apa yang disabdakan Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau Nasrani.” (Riwayat Bukhari)

Kesalahan anak-anak tetap kesalahan kita. Oleh sebab itu mereka yang meningkat dewasa dan mempunyai pandangan sendiri, marilah kita bersama-sama membentuk daya pemikiran mereka supaya menjadi matang sebagaimana kanak-kanak di zaman Rasulullah s.a.w. Kanak-kanak yang berumur sembilan tahun ke atas sudah boleh berfikir bagai orang dewasa. Mereka juga boleh menghafaz al-Quran misalnya Imam al-Syafie. Malah jika memberi sesuatu pandangan atas sesuatu perkara juga ada kebernasannya.

Bagaimana kita hendak bermula
Bagi membantu mengembang pemikiran anak-anak sejak kecil, kita boleh membawa kisah-kisah para Nabi dan sahabat yang memang kita pasti benar, bukan dongengan. Ini bermakna kita juga perlu ada ilmu dalam bercerita. Tidak cukup dengan hanya membelikan buku-buku cerita Nabi dan kemudian serahkan bulat-bulat kepada anak-anak untuk membaca.

Kita boleh meniru pendekatan bercerita kepada anak-anak sebelum masa tidur mereka, menggantikan kebiasaaan kisah-kisah haiwan, cerita-cerita dongeng dan sebagainya.
Apa yang hendak kita bawakan dalam cerita-carita itu? Antaranya ialah:

a. Kisah-kisah terdahulu yang benar-benar berlaku

Para ulama ada berkata: “Kisah silam merupakan salah satu tentera Allah s.w.t. yang dihembuskan oleh Allah ke dalam hati para kekasih-Nya.”

Kita amati bagaimana pendekatan yang dibuat oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Baginda sering menceritakan kisah-kisah benar kepada para Sahabat, sama ada yang muda atau tua, ketika menyampaikan ilmu. Para sahabat pula memberi sepenuh perhatian terhadap setiap apa yang disampaikan oleh Baginda. Mengapa? Hal ini demikian kerana setiap kisah tersebut bersandar pada hakikat, bukannya cerita dongeng yang direka-reka. Kisah tersebut banyak memberi pengajaran dan ilmu yang kemudian akan “diperpanjangkan” kepada kaum kerabat dan masyarakat setempat.

Firman Allah s.w.t.: “Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu.” (Surah Hud 11: 120)

Kisah-kisah para Nabi dan para sahabat sangat menarik dan sarat dengan pengajaran tentang akhlak dan hikmah yang mengagumkan. Tambahan pula, kisah-kisah itu juga tidak membosankan walau diulang-ulang.

b. Kisah yang tiada unsur khurafat
Kisah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tiada unsur-unsur khurafat dan mitos. Sebaliknya setiap kehebatan yang dimiliki para Nabi dan Rasul adalah anugerah Allah s.w.t. Ketika berdakwah, mereka tetap menghadapi dugaan berat dengan sabar. Namun mereka banyak mendapat pertolongan Allah.

Tetapi apa yang berlaku kini, anak-anak kita lebih ditonjolkan kuasa Power Rangers, Ultraman, Naruto dan sebagainya. Akhirnya anak-anak kita lebih mengenali Naruto berbanding Sayidina Umar. Anak-anak lebih mengenali Puteri Barbie berbanding Sayidatina Fatimah dan sebagainya. Sedangkan orang yang bernama Naruto atau Barbie tidak pernah wujud pada realitinya.

Jika begini, bagaimanakah fikiran atau minda anak-anak hendak berkembang walaupun setelah meningkat remaja. Jika terus dibiarkan, jiwa mereka mudah goyah dan tidak akan mampu menghadapi cabaran dunia yang lebih besar.

c. Kisah fiksyen dan benar
Perlu diingat bahawa selain kisah-kisah nyata, anak-anak juga memerlukan kisah fiksyen demi mengembangkan daya imaginasi mereka seluas mungkin. Misalnya pengetahuan tentang perjalanan planet-planet termasuk bumi yang akur dengan peraturan Allah s.w.t. Mereka juga perlu belajar dari alam misalnya tentang sifat-sifat dan kandungan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kemudian mengaitkannya dengan kehebatan Allah s.w.t. sebagai Maha Pencipta.

Zd. Kisah ajaib dan fantastik
Banyak perkara ajaib yang berlaku kepada para nabi dan rasul. Begitu juga kepada para sahabat yang kuat keyakinannya kepada Allah. Nabi dan rasul dikurniakan mukjizat yang banyak, yang digunakan apabila perlu untuk tujuan dakwah.

Nabi Isa sebagai contoh, mempunyai mukjizat yang boleh menyembuhkan orang buta, menghidupkan orang mati dan sebagainya. Nabi Muhammad s.a.w. pula boleh membelah bulan setelah dicabar oleh kaum Quraisy. Sedangkan secara logiknya hendak ke bulan memerlukan persediaan bertahun-tahun. Malangnya kisah-kisah kehebatan Nabi ini jarang diperdengarkan kepada anak-anak atas kesibukan ibu bapa dalam urusan duniawi.

Terdapat ibu bapa yang menganggap kisah silam atau motivasi keagamaan ini boleh didapati di sekolah-sekolah agama, lalu diserahkan kepada guru. Sebenarnya sekadar itu tidak mencukupi. Apatah lagi cara penyampaiannya kebanyakan lebih formal, sekadar pengetahuan bukan kepada tahap penghayatan. Hasilnya anak-anak tidak akrab dengan kisah-kisah para Nabi. Malah mereka sekadar membaca untuk lulus periksa sahaja.

Rasulullah bersabda, “Didiklah anak-anakmu tentang tiga perkara, (antaranya) cinta kepada Nabi mereka…” (Riwayat al-Thabrani)

Seorang sahabat, Sa’ad bin Abi Waqqas menerangkan: “Kami mengajar anak-anak kami sejarah hidup Rasulullah s.a.w., seperti kami mengajarkan mereka mengenai surah-surah al-Quran.”

Sebaiknya dalam keasyikan anak-anak kita bermain-main ala perang, kita juga mahu lidahnya meneriak, “Allahu Akbar!” Jika bermain sebagai ibu, mereka menjiwai seperti Sayidatina Fatimah. Setiap mereka harus ada ikon rujukannya sendiri. Mereka sepatutnya sudah mengetahui siapa Sayidina Umar yang gagah berani, mengetahui siapa Sayidina Hamzah yang dikenali “Singa Allah” dan Khalid al-Walid sebagai “Pedang Allah”. Sekurang-kurang mereka mengetahui sejarah nama tokoh yang menjadi nama mereka sejak dilahirkan. Jika anak-anak lelaki kebanyakan bermula dengan nama Muhammad seperti Muhammad Ali, Muhammad Azam dan sebagainya, siapakah mereka?

Barangkali jika anak-anak itu diuji dengan kesusahan dalam hidup, mereka akan teringat kisah Nabi Ayub a.s menghadapi ujian. Jika mendapat nikmat atau keuntungan, mereka akan bersyukur sebagaimana Nabi Sulaiman a.s. dan sebagainya.

Untuk menyampaikan cerita boleh dilakukan dengan pelbagai kemahiran iaitu dengan gaya bicara dan mimik wajah supaya anak-anak tertarik dan terhibur. Jika setiap malam, satu kisah Nabi dan Rasul kita bacakan kepada anak-anak, bayangkan setahun mereka telah mendapat banyak input. Hasilnya, pemikiran anak-anak kita akan semakin dewasa. Mereka tidak akan bertindak melulu, sebaliknya banyak bersabar dan mengambil langkah secara bijaksana.

Abdul ‘Ala Maududi mengatakan dalam syairnya: “Anak-anak kita akan tumbuh menurut apa yang dibiasakan oleh orang tuanya, anak tidaklah menjadi tercela oleh akalnya namun orang dekatnya yang membuatnya hina.”

Oleh Rashidah Mustaffa

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

Kembali ke atas