Menu

 

A+ A A-

SIAPA KAWAN ANAK-ANAK KITA

SI IBU sudah tidak tahu bagaimana hendak menasihati kedua-dua anak lelakinya. Selalu keluar rumah ketika dia dan suaminya bekerja. Balik dari sekolah, berbasikal berjumpa kawan-kawan. Sudah dipesan supaya jangan keluar rumah kecuali waktu petang, mereka langgar arahan.

Denda dan hukuman rotan seperti sudah tidak berkesan. Pantang datang kawan-kawan yang mengajak, segala kesakitan boleh terlupa. Buku dan kerja sekolah diabaikan. Pelajaran sekolah semakin merosot. Pernah ditanya kepada si ibu, apakah tindakan dia selanjutnya? “Saya harap anak-anak saya akan berubah.” Itulah harapan si ibu. Hendak dimarahi dan dipukul, anak-anak sudah meningkat remaja. Inilah antara gejala-gejala buruk yang berlaku kepada anak-anak remaja kini. Situasi begini kerap berlaku terutama dalam kalangan ibu bapa yang bekerja.

Ketika ibu bapa sibuk mencari nafkah, anak-anak di rumah banyak terlepas pandang. Apalah yang boleh diharapkan daripada seorang pembantu rumah. Kebanyakannya bersekolah tidak tinggi, khidmat mereka hanyalah menyediakan makanan dan membersihkan rumah majikannya.

Pengaruh Rakan

Mengapa anak-anak membelakangi nasihat ibu dan ayahnya? Kita perlu akui bahawa kawan-kawan memberi pengaruh amat besar dalam kehidupan anak-anak kita. Saban hari anak-anak kita berjumpa, bermain, berkongsi pandangan dengan kawan-kawan mereka. Sekiranya anak-anak kita berkawan dengan orang yang baik budi pekerti, mereka akan terdorong untuk menjadi baik. Jika jahat kawan itu, anak-anak kita juga boleh mengikut jejaknya. Kadang-kadang kita terkejut apabila menyedari mereka lebih banyak tahu tentang sesuatu perkara yang tidak sesuai pada tahap umur mereka.

Justeru, Islam menitikberatkan supaya anak-anak berkawan atau bersahabat dengan orang-orang yang baik, beradab dan berakhlak mulia. Kita perlu terus membimbing sekalipun mereka mempunyai IQ tinggi. Mereka masih seorang “anak” yang memerlukan didikan dan tunjuk ajar daripada kita.

Sebelum kita meninjau siapakah kawan-kawan anak-anak kita, tanyalah diri apakah kita sudah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai yang baik? Apakah kita sudah memberi input bagaimana menerapkan nilai-nilai yang baik itu? Anak-anak lebih memerlukan contoh atau role model supaya nilai-nilai baik benar-benar dihayati. Jangan harap anak-anak solat jika kita sendiri abaikan solat. Mereka juga akan merokok sekiranya si ayah sendiri ketagih merokok.

Jadi Kawan Kepada Kawan Anak-Anak Kita

Satu lagi yang perlu dilakukan oleh ibu bapa iaitu mengenali kawan-kawan anak-anak kita. Untuk itu, tidak salah kalau kita terlebih dahulu “menjadi kawan” kepada kawan anak-anak kita. Berdampinglah selalu dengan mereka, ajak mereka ke rumah. Berbual-bual untuk memecahkan tembok yang memisahkan antara kita dan mereka. Insya-Allah dengan menjadi kawan kepada kawan-kawan anak-anak kita, kita akan lebih mengenali dan memahami anak-anak kita.

Inilah yang dimaksudkan “get to understand than to be understood”. Tugas mendidik perlu dibuat terus-menerus. Tidak cukup hanya dengan belajar di sekolah agama, atau mendapat ilmu melalui pembacaan sahaja. Mereka perlu didedahkan kepada watak-watak manusia yang pelbagai. Kelak mereka akan tahu bagaimana hendak menghadapi atau mengelolakan emosi sendiri apabila berlaku pertembungan nilai-nilai baik dengan yang tidak baik. Ibu bapa mungkin selalu mengingatkan supaya anak-anak memilih kawan yang baik.

Timbul persoalan, baik yang bagaimana dimaksudkan? Anak-anak mungkin menyangka mereka sudah berkawan dengan orang yang baik-baik, tidak mencuri, bukan kaki buli, tidak pernah marah, tetapi malas belajar atau kawan-kawan yang suka membantu masalah wang tetapi bila waktu habis sekolah suka lepak di tepi jalan. Atau mereka berkawan dengan orang yang cerdik pandai, tetapi tinggal solat. Jadi, baik yang bagaimana sebenarnya? rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain.” ¤

          

Rashidah Mustafa

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4


 


 

Artikel berkaitan: MEMBENTUK SIKAP POSITIF ANAK »
Kembali ke atas