Menu

 

A+ A A-

MENYEMAI BENIH MABRUR SEJAK DI TANAH AIR

Kalau benar kita seorang Muslim, pasti berputik di hati niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Namun bukan semua orang berpeluang mengerjakan haji. Maka sesiapa yang diberikan peluang, rencanakanlah supaya ibadat yang dilaksanakan itu benar-benar mabrur. Haji menjadi mabrur tidak semata-mata berdasarkan keikhlasan dan ketekunan sepanjang beribadah di sana. Sebenarnya putiknya lebih awal daripada itu iaitu sejak di tanah air lagi atau dengan kata lain sebelum menunaikan ibadah haji.

Haji mabrur hanya menjadi hadiah buat orang yang pergi ke sana dengan membawa jiwa yang suci. Ini kerana tidak ke mana ibadah yang dilakukan dengan mengabaikan perintah-Nya yang lain. Ada orang pergi haji, tetapi hutang rakan liat dibayar. Cacatlah nilai usaha kita menjunjung hak Allah itu tetapi dilakukan dengan memijak hak manusia. Ruangan ini melengkapkan lagi kupasan isu kali ini dari sudut keutamaan dalam membuat keputusan dan bertindak. Berikut ialah beberapa kemusykilan masyarakat yang benar-benar berlaku. Mungkin situasinya tidak berlaku kepada kita. Namun dengan mengambil perhatian tentangnya, mudah-mudahan kita ada sedikit panduan sekiranya ia berlaku kepada kita kelak.

Nafkah Anak Tidak Diberi, Tahun Depan Tunai Haji

Apa hukum seseorang ayah yang menunaikan haji, tetapi dia tidak memberikan nafkah kepada anak-anaknya? Saya mengenali satu pasangan suami isteri yang telah bercerai. Tiga orang anaknya yang masih bersekolah dijaga oleh si ibu. Si ayah amat jarang sekali menghantar duit nafkah untuk anak-anaknya. Dia bukannya tidak berduit. Jika diberi, itu pun setelah beberapa kali didesak oleh si ibu. Dengar khabar, namanya naik untuk mengerjakan haji pada tahun depan. Adakah ibadah hajinya nanti itu sah?

Jawapan:

RINGKASNYA: Jika dia sengaja mengabaikan anak-anaknya, maka dia telah berdosa besar. Walau bagaimanapun, sekiranya dia menunaikan haji juga, ibadahnya itu sah. Namun ibadahnya itu mungkin kurang bernilai di sisi Allah.

HURAIAN: Hajinya tetap sah kerana kesahan ibadah haji tidak berkaitan dosanya yang lain. Asalkan sempurna rukun dan wajib haji, sahlah hajinya. Tidak kiralah dia seorang penjahat, penipu besar dan sebagainya. Namun tidak semestinya ibadah yang sah itu berpahala. Contohnya orang yang berpuasa tetapi menipu orang atau peniaga di bazaar Ramadan yang menjual juadah yang hampir basi, puasa mereka tetap sah. Tidak dikira batal dan tidak perlu mengqadanya. Namun malangnya ibadah puasa mereka sia-sia, bahkan berdosa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan tabiat berbohong dan menipu orang, maka Allah tidak endahkan usahanya meninggalkan makan minumnya!” (Riwayat al- Bukhari) Bukan sekadar tiada pahala, berdosa pula! Begitulah juga besar dosanya sengaja mengabaikan nafkah anak-anak. Ada satu kisah. Bekas hamba Abdullah bin Amru berkata: “Aku merancang untuk menetap selama sebulan ini di sini, Baitul Maqdis.” Abdullah bin Amru bertanya: “Adakah engkau sudah tinggalkan stok makanan ruji mereka untuk sebulan ini?” “Belum.” “Pulanglah kepada keluarga kamu. Sediakan makan minum mereka! Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah bersabda, mafhumnya: ‘Seseorang itu sudah cukup berdosa dengan dia mengabaikan orang yang berada di bawah tanggungannya’” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Sebagaimana besar dosa mengabaikan tanggungan, besarlah juga pahala berusaha menanggung keluarga. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Antara dinar yang engkau sumbangkan ke jalan Allah, dinar yang engkau gunakan untuk membebaskan hamba, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin dan dinar yang engkau nafkahkan buat keluargamu, ganjaran yang paling besar ialah dinar yang engkau nafkahkan buat keluargamu.” (Riwayat Muslim) Jadi sama-sama kita memahami ibadah dalam Islam secara tepat dan sempurna.

Kenduri Haji Itu Sunat, Bukan Sunnah

Adakah amalan mengadakan kenduri kesyukuran sebelum berangkat menunaikan haji sunnah Rasulullah? Ayah dan ibu saya akan pergi menunaikan haji pada tahun ini. Ada daripada kalangan ahli keluarga yang menyarankan supaya diadakan kenduri kesyukuran sebelum berangkat. Kami adik-beradik pula agak keberatan kerana kesemua kos haji mereka daripada usaha dan sumbangan kami adik-beradik. Kami merasakan duit yang ada, lebih baik digunakan untuk perbelanjaan di sana. Mohon nasihat ustaz.

Jawapan:

RINGKASNYA: Tidak didapati sunnah Rasulullah yang khusus berkenaan hal ini. Tetapi sekiranya dilakukan dengan ikhlas, insya-Allah ada kebaikannya. Saudara adik-beradik lebih berhak menentukan keputusan dalam hal ini. Walau bagaimanapun bawalah berbincang. Menjaga hati ayah ibu itu wajib.

HURAIAN: Rasulullah tidak pernah melakukannya. Tiada juga hadis khas yang menganjurkan supaya dibuat demikian. Begitu juga tiada juga sahabat yang melakukannya, apatah lagi menggalakkannya. Justeru ia bukannya sunnah Rasulullah yang khusus. Namun ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan. Kenduri itu sebagai tanda kesyukuran. Boleh jadi peluang buat saudara-mara dan sahabat handai bertemu mata. Ambillah peluang tersebut dengan meminta maaf dan mohon mereka doakan. Allah berfirman yang bermaksud: “Adapun dengan nikmat Tuhanmu, maka ceritakanlah.” (Surah al-Duha 93: 11)

Masalah mula timbul apabila masyarakat tidak lagi memahami hakikat ini. Kenduri mula menjadi sebagai adat yang mesti dilakukan. Natijahnya, diluahkan mati emak, ditelan mati bapak. Jika dilakukan, diri terseksa, jika tidak dilakukan, orang mengata. Justeru ingat kembali niat. Tiada guna amal kebaikan tanpa keikhlasan.

Dahulukan Diri atau Ibu Bapa?

Kemusykilan ini agak mengganggu fikiran saya. Saya dan isteri merancang untuk menunaikan haji dalam dua tahun lagi melalui pakej swasta. Kami memang sudah merancang dan menyimpan duit sejak lapan tahun yang lalu. Masalahnya, baik ibu bapa saya atau isteri, semuanya belum menunaikan haji. Terdengar juga ada saudara-mara yang mengata dibelakang. "Bawalah ibu ayah pergi haji dulu". Adakah anakanak bertanggungjawab menyediakan perbelanjaan haji untuk ibu bapanya terlebih dahulu sebelum diri sendiri?

Jawapan :

RINGKASNYA: Tahniah atas kesungguhan tuan. Tuan dan isteri wajib menunaikan haji terlebih dahulu. Kemudian itu bolehlah berusaha membantu ibu bapa menunaikan haji pula. Hal ini kerana tidak wajib ke atas anak-anak untuk menanggung kos ibu bapanya menunaikan haji. Begitu juga tidak disyaratkan untuk pergi haji mesti memastikan ibu bapa telah menunaikan haji terlebih dahulu.

HURAIAN: Syarat diwajibkan haji ialah kemampuan. Syarat itu dikenakan secara individual. Justeru tia da orang yang menanggung syarat kemampuan orang lain walaupun ibu bapa, anak-anak mahupun sesiapa sahaja. Jadi kemampuan tidak boleh datang daripada orang lain. Dalam kes ini, pihak yang telah mencapai hukum wajib ialah tuan dan isteri kerana telah wujud kemampuan. Sedangkan ayah dan ibu yang dihormati masih lagi tidak.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.” (Surah al-Talaq 65: 7) Jadi tiada dosa dan tiada aib sekiranya belum lagi menunaikan haji kerana tidak mampu.

Dahulukan Ibu Bapa, Diri Jangan Lupa

Apa hukumnya saya membiayai ibu bapa pergi haji dahulu sedangkan saya sendiri belum? Saya masih tidak bersedia kerana perlu mengekalkan komitmen dan prestasi kerjaya terlebih dahulu dalam beberapa tahun ini.

Jawapan:

RINGKASNYA: Boleh. Mudah-mudahan perbuatan saudara itu mendapat ganjaran yang besar. Namun ada tindakan yang lebih patut untuk saudara lakukan iaitu mengerjakan haji untuk diri sendiri.

LANJUTAN: Berdasarkan situasi yang diberikan, saudara sudah memenuhi syarat menunaikan haji iaitu berkemampuan. Jadi saudara sebenarnya sudah diwajibkan

menunaikan haji. Sengaja bertangguh-tangguh haji tanpa sebab syari‘i, berdosa. Mengapa tidak saudara turut pergi bersama-sama mereka? Dirasakan bakti saudara akan lebih sempurna. Saya pasti mereka amat memerlukan bantuan orang muda sepanjang menunaikan ibadah di sana. Kalau ada anak sendiri di sana, saya membayangkan betapa berbunganya hati mereka.

HARAPAN: Didoakan saudara bukan sekadar anak yang soleh kepada ibu bapa, bahkan hamba yang soleh kepada Allah. Saya juga mendoakan agar terbuka hati saudara untuk bertamu ke rumah Allah secepat mungkin.

Badal Haji Si Ayah atau Nafkah Hidup Si Anak

Bapa saudara saya meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang semuanya masih bersekolah. Mereka keluarga miskin. Arwah hanya bekerja sebagai buruh kampung. Masalahnya berlaku perselisihan berkaitan sedikit wang ringgit yang berbaki. Sekitar RM3000 sahaja. Seorang saudara menyarankan kepada isteri arwah supaya wang tersebut digunakan untuk melakukan upah haji. Dia akan uruskan. Namun saya pula menahan emak saudara saya. Pada saya, wang peninggalan yang tidak seberapa itu lebih diperlukan oleh anak-anaknya yang yatim. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

Jawapan:

Kami bersetuju dengan pandangan saudara dalam hal tersebut. Sekiranya semasa hidup, si arwah sememangnya orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan haji, maka tidak wajib dibuatkan haji untuknya selepas kematiannya. Bagaimanapun, jika waris melakukannya juga, maka perkara itu diharuskan. Berkata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Idah: “Wajib menggantikan (badal) haji bagi si mati jika ia berkemampuan untuk haji ketika hidupnya, tetapi tidak sempat melakukannya. Itu pun jika ia meninggalkan harta warisan. Jika tidak, maka bukan kewajiban waris untuk melakukan haji badal baginya.”

Pada masa yang sama, membela anak yatim itu wajib. Memakan harta anak yatim pula haram. Dalam kes ini, duit yang tinggal itu sepatutnya digunakan untuk kelangsungan hidup anak-anak arwah. Kami doakan supaya anak-anak tersebut membesar sebagai orang yang soleh. Kemudiannya mereka sendiri yang akan melakukan badal haji untuk bapa mereka kelak.

Umrah Diri atau Badal Haji

Ayah saya meninggal dunia tanpa sempat mengerjakan haji sejak empat tahun yang lalu. Ketika itu kami tidak berkemampuan. Kini setelah tiga tahun bekerja, saya sudah mengumpul duit. Jadi saya merancang untuk mengerjakan umrah pada

tahun depan. Cuma saya terfikir sama ada saya perlu memperuntukkan kos upah haji untuk arwah dahulu atau saya pergi menunaikan umrah dahulu? Jika saya mendahulukan upah haji, saya kenalah menunggu lagi sementara waktu. Apa nasihat ustaz?

Jawapan:

Mana satu tindakan yang akan saudara lakukan, semuanya baik. Cumanya kami berpandangan adalah lebih baik jika saudara pergi melakukan umrah dahulu. Ini kerana umrah telah menjadi kewajiban atas diri saudara setelah memiliki kemampuan. Kewajiban ini memang boleh ditunda, namun lebih baik jika dipercepat. Kita tidak tahu apa yang akan menimpa kita di kemudian hari. Berkata Syeikh Khatib al-Syarbini: “Disunatkan bagi orang yang telah berkewajiban menunaikan haji atau umrah untuk tidak menunda pelaksanaannya dari tahun itu, agar cepat terlepas daripada kewajiban dan bersegera melaksanakan ketaatan.

Allah berfirman yang bermaksud: ‘Bersegeralah dalam kebaikan.’” (Surah al-Baqarah 2: 148) Apabila saudara merasakan keasyikan beribadah di Tanah Suci, saudara akan lebih bersemangat untuk menyegerakan haji saudara sendiri. Begitu juga untuk upah haji ayah saudara. Semasa menunaikan umrah nanti, saudara boleh buat umrah badal terdahulu buat si bapa. Tidak mengapa ditangguhkan dahulu upah haji. Sebab ia bukan suatu kewajiban bagi orang yang tidak berkemampuan semasa hidupnya. Jika saudara mendahulukan upah haji pun, bukan kecil ganjaran kebajikan tersebut. Sekiranya ibu saudara masih hidup, kami melihat adalah lebih baik jika diusahakan dahulu untuk membawa beliau menunaikan haji. Biarkan beliau merasai sendiri kenikmatan menjadi tetamu Allah.

Semoga Allah memberikan kemudahan untuk saudara lakukan kesemua ibadah tersebut.

Kaabah Melambai, Hutang Belum Langsai

Apa hukum seseorang yang akan pergi menunaikan haji sedangkan dia masih berhutang? Ada seorang yang berhutang sebanyak RM2000 dengan kawannya sejak dua tahun yang lepas lagi. Semenjak itu dia tidak pernah cuba membayarnya

walaupun secara ansuran. Pada asalnya si kawan yang memberi hutang, tidaklah begitu kisah. Namun timbul rasa tidak puas hati apabila dia diberitahu yang kawannya yang berhutang itu akan ke Makkah tahun depan. Adakah sah hajinya nanti?

Jawapan:

Kemusykilan ini telah dibincangkan oleh ulama sejak dahulu lagi. Ringkasnya, hajinya tetap sah. Ini kerana kesahan haji tidak berkaitan dengan perkara luaran seperti terlangsai hutang dan lain-lain. Ulama ada mensyaratkan bahawa orang yang berhutang masih boleh menunaikan haji hanya setelah diizinkan oleh pemiutang. Pemiutang pula ada hak dan tidak berdosa jika menghalang dia daripada menunaikan fardu haji. Ini kerana hakikatnya dia masih belum memenuhi syarat berkemampuan tersebut. Maka haji belum lagi wajib ke atasnya. Namun hajinya tetap sah sekiranya dilakukan juga. Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Muhammad Luqman Makhtar

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928

 

Kembali ke atas