Menu

 

A+ A A-

HAJI DAN UMRAH BERKALI-KALI

Kewajipan Haji

Ramai orang yang sedia tahu dalil wajib haji daripada al-Quran. Bolehkah ustaz berikan pula dalilnya daripada sunnah Rasulullah s.a.w.?

Jawapan:

Ada beberapa hadis antaranya:

1. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, Allah telah mewajibkan haji ke atas kamu, maka tunaikanlah haji.”  Seorang lelaki bertanya: “Adakah ia wajib setiap tahun, wahai Rasulullah?” Rasulullah hanya diam sehingga lelaki itu mengulangi soalannya sebanyak tiga kali. Baginda lalu bersabda: “Jika aku mengatakan: ‘Ya’, ia akan menjadi wajib ke atas kamu (untuk melakukannya setiap tahun) dan kamu tidak akan mampu melakukannya.

Biarkan aku dengan apa yang aku tinggalkan untuk kamu. “Sesungguhnya kaum terdahulu sebelum kamu telah musnah kerana melampau pertanyaan mereka dan menentang rasul-rasul. Jadi jika aku menyuruh kamu membuat sesuatu, lakukannya setakat yang kamu mampu dan apabila aku melarang kamu daripada melakukan sesuatu, maka tinggalkannya.” (Riwayat Muslim)

2. “Hadis Jibrail” yang merakamkan soal jawab antara beliau dan Rasulullah tentang iman, Islam dan ihsan.

“Wahai Rasulullah, apakah Islam?”

“Islam adalah menyembah Allah Yang Esa dan tidak menyekutukan- Nya dengan sesuatu, mendirikan solat yang wajib, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah bagi mereka yang mampu.” (Riwayat Muslim)

Berpandukan nas al-Quran dan hadis-hadis yang jelas tersebut, para ulama juga telah ijmak (sepakat) bahawa haji adalah fardu yang wajib ke atas setiap Muslim yang berakal, cukup umur dan berkemampuan untuk sekali dalam seumur hidupnya.

Haji Berkali-kali Tidak Menepati Sunnah

Jadi haji diwajibkan ke atas kita sekali sahaja seumur hidup. Apa pandangan ustaz tentang orang yang pergi haji berkali-kali atas dasar dia berkemampuan? Walhal kita tahu bahawa urusan haji berkaitan dengan kuota jemaah yang terhad.

haji dan umrah berkali

Jawapan:

Sekiranya ia benar-benar menjejaskan kepentingan bersama masyarakat, maka ia sama sekali tidak sepatutnya dilakukan. Selain masalah ini, saya juga ingin menyentuh berkenaan amalan mengulangi umrah berkali-kali di Tanah Suci.

Sebahagian jemaah umrah kita ada yang melakukan umrah sunat sebanyak dua tiga kali pada hari yang sama. Sebaik selesai melakukan umrah yang pertama, mereka bergegas menaiki bas atau teksi ke Tan‘im, miqat terdekat untuk mengulangi umrah yang berikutnya. Kesannya, ia menyusahkan jemaah yang baru pertama kali tiba di Tanah Suci. Selain itu, mereka juga menyusahkan diri sendiri.

Tidak ada satu riwayat pun yang menyebut bahawa Nabi berulang kali melakukan umrah. Semasa Haji Wada‘ iaitu, selepas melakukan umrah atau tawaf qudum, Baginda dan para sahabat keluar pergi ke tempat bernama Abtah. Kemungkinannya mereka ingin mengelak daripada kesesakan berlaku di Bandar Makkah. Tambahan pula tiada sebarang riwayat yang merakamkan bahawa para sahabat berulang kali melakukan umrah.

Walau bagaimanapun amalan ini ada kelonggarannya apabila Rasulullah membenarkan Aisyah r.a. melakukannya selepas menunaikan haji pada tahun tersebut. Ini kerana beliau tidak sempat mengerjakan umrah yang berasingan sebelum haji.

Amalan yang Lebih Menepati Sunnah Berbanding Haji Berkali-kali

Apakah nasihat ustaz kepada mereka yang cenderung menunaikan haji berkali-kali?

Jawapan:

Kepada mereka yang telah menunaikan haji lebih daripada sekali, cubalah dengan ikhlas bermuhasabah. Adakah pemergian itu benar-benar kerana hati yang ikhlas untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah? Atau hanya sekadar suka-suka, mengikut trend atau hobi semata-mata? Atau yang lebih buruk lagi untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah sesama manusia?!

Fikirkanlah tentang mereka yang tidak berpeluang menunaikan haji sedangkan kita telah merasainya berulang kali. Duit yang ada, eloklah kita bersedekah sama ada:

1. Sedekahkan kuota pemergian haji kepada mereka yang tidak pernah pergi dengan kita menarik diri pada tahun itu. Jadi kita membuka peluang dan tempat kepada seorang hamba Allah yang lain.

2. Memberi sedekah kepada yang memerlukannya, sama ada fakir-miskin, membina masjid, madrasah atau lain-lain yang membawa kepada amal jariah dan keredaan Allah.

Semangat ini selari dengan nasihat Rasulullah kepada Sayidina Umar al-Khattab ketika beliau ingin mengucup Hajarul aswad, mafhumnya: “Wahai Umar, kamu seorang yang kuat. Janganlah sampai menyakiti orang lain. Jika ada kesempatan untuk mengucupnya, lakukanlah. Jika tidak ada, cukup sekadar engkau menghadap ke arah kiblat dan bertakbir sahaja.” (Riwayat Ahmad)

Ini menunjukkan bahawa menjaga maslahat orang ramai dengan tidak menyusahkan mereka adalah lebih penting daripada mengucup Hajarulaswad walaupun ia sunnah.

Namun bagi sesiapa yang berkemampuan, tidak mengapa untuk dia menunaikan haji atau umrah selang lima tahun sekali. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: ‘Seorang hamba yang aku beri kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan rezeki kehidupannya, lalu berlalu lima tahun dan dia tidak pergi kepada (rumah)Ku, maka dia adalah seorang yang terhalang daripada kebaikan.” (Riwayat Ibn Hibban)

Kemampuan itu termasuk juga soal kekosongan tempat dan kuota.

Wallahu a‘lam.

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu no.6


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas