Menu

 

A+ A A-

AKU SEKETUL BATU

RAMBUT sama hitam tapi hati lain-lain. Mungkin inilah yang membawa kepada perbezaan pendapat dan fahaman politik. Lagikan ulama yang berijtihad berdasarkan ayat al-Quran dan sunah berkhilaf sesama mereka, inikan pula kita yang semakin jauh daripada dua panduan asasi tersebut. Hayatilah luahan rasa diriku.

Aku seketul batu. Mungkin anda boleh lihat batu ada di mana-mana, dalam bentuk yang bervariasi, dengan tekstur yang berlainan dan datang dengan warna yang berbeza. Tetapi aku berbeza daripada semua batu yang ada di dunia ini. Akulah seketul batu yang berasal dari syurga dan berwarna putih bagaikan susu namun aku menjadi hitam kerana dosa-dosa anak cucu Adam. Aku lebih dikenali dengan Hajarul Aswad. Kini aku menetap di penjuru Kaabah, di tanah suci yang aman. Aku tidak perlu sertakan alamat penuh kediamanku ini kerana pasti kalian sedia maklum lokasinya.

Setiap tahun, aku melihat berjuta-juta umat Islam mengunjungi Kaabah untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Pelbagai bangsa dan negara, tanpa mengira warna kulit dan budaya, mereka bersatu hati mengerjakan ibadah haji, hingga melemahkan orang kafir yang melihat jumlah mereka yang begitu ramai. Betapa indahnya Islam apabila bersatu. Sebut perkataan bersatu, ia mengingatkan aku kepada satu kisah silam.

Kisah yang telah membuka mataku tentang azimat bersatu. Pernah satu ketika dulu, kabilah-kabilah Arab sekitar Kaabah bergotong-royong membersihkan Kaabah selepas dilanda bah. Aku pula mesti dialihkan dari kedudukan waktu itu, kepada kedudukan asal selepas beranjak sedikit akibat banjir. Demi mengejar kemuliaan, setiap kabilah bertelagah, berebut untuk meletakkanku kembali ke tempat asalku. Aku sangat takut waktu itu. Takut andai peperangan antara mereka tercetus. Takut andai jurang yang wujud antara mereka akan semakin besar. Akhirnya, seorang lelaki mencadangkan supaya mereka meminta bantuan orang yang terawal sekali yang akan tiba di Kaabah bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seketika kemudian, aku terdengar mereka menyebut tentang kedatangan seorang pemuda.

aku-seketul-batu-1

Kulihat wajah pemuda tersebut ibarat purnama. Langkahnya sarat dengan zuhud.

Kudengar mereka yang berada di sekitarnya memanggilnya dengan panggilan al-Amin.

Ya, aku kenal siapa gerangannya pemuda ini. Dialah Muhammad yang berperibadi terpuji. Sungguh aku sangat menyayangi dirinya. Itulah manusia pembawa rahmat kepada seluruh alam, bukan sahaja kepada manusia,malah termasuk juga aku seketul batu.

Semua kabilah Arab bersetuju menyerahkan kepada Muhammad untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka. Aku berasa sedikit lega. Melodi perebutan kini kian pudar dari pendengaranku. Aku dapat dengar kini, irama keamanan bergema di sekitar Kaabah. Kulihat wajah yang akan menerangi timur dan barat dengan cahaya keimanan itu berfi kir sejenak.

Kulihat Muhammad menghamparkan kain serbannya sebelum memindahkan aku ke atas kain tersebut. Aku kehairanan. Apakah strategi Muhammad kini? “Peganglah setiap bucu kain ini, dan kamu pindahlah hajarul aswad ke tempat asalnya bersama- sama.” Demikian kudengar bicara keramat Muhammad. Kata-kata berhikmah yang menyelesaikan satu kemelut perebutan.

Kini aku yakin sekali, tiada peperangan yang akan mengiringi konflik ini. Demikianlah kisah aku bersama Muhammad dan ketua kabilah Arab. Aku bangga dengan tindakan Muhammad yang tidak mudah melatah, malah bertindak dengan bijaksana. Walaupun kini Baginda tak lagi bersama kita, namun Baginda tinggalkan buat umatnya al-Quran dan sunah bagi menunjuki manusia ke jalan yang benar.

Demikian bicara seketul batu. Andainya batu tersebut melihat pertelingkahan sesama Muslim merebut tampuk kepimpinan, pasti batu yang pernah mempunyai memoir indah bersama Baginda Rasulallah s.a.w. itu akan berasa sedih. Setiap pihak mempunyai kelebihan dan kekurangan. Sebagaimana kabilah Arab yang memang anti dengan kabilah lain boleh bersatu dalam konflik tersebut, tidak mustahil kita pun sama. Kita perlu saling melengkapi satu sama lain. Buang jauh-jauh semangat kekitaan. Fikirkanlah metodologi yang sesuai. Dengan itu, pasti Islam gah di dunia.

Husna Hassan

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


Husna Hasan

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Terkini daripada Husna Hasan

Kembali ke atas