Menu

 

A+ A A-

RASA MULIA DENGAN IMAN

ALAM remaja tak lekang cabaran. Daya inquiry yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru amat ketara. Perasaan dan keinginan bergelora hebat. Ia suatu tempoh transisi menuju dewasa. Dalam tempoh ini rakan sebaya biasanya sangat berpengaruh dalam kehidupan seseorang remaja.

Remaja sering kali keliru untuk berhadapan dengan sesuatu permasalahan. Sukar untuk menentukan bagaimanakah sepatutnya perasaan, konsep dan penilaian sebenar terhadap masalah-masalah yang dihadapi, begitu juga peristiwa-peristiwa dan juga terhadap individu-individu yang terlibat. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jangan kamu bersikap lemah dan jangan kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)

Rasa mulia dan tinggi dengan iman, suatu perasaan yang sungguh memotivasikan hidup. Perasaan ini akan menjadikan hidup lebih terarah dalam menghadapi setiap realiti, kemungkinan dan nilaian manusia. Muslim yang beriman akan memegang iman dan nilainya mengatasi segala bentuk nilai yang dating daripada sumber yang lain. Sungguh hebat perasaan ini mempengaruhi hidup seseorang yang yakin dengannya.

Begitulah remaja beriman tidak mudah goyah dengan nilaian kawan-kawan. Tetap teguh pendirian apabila kawan-kawannya mengejek lekeh jika tidak merokok. Atau memandang tidak laku jika belum berpunya. Dia tidak mudah melatah apabila dianggap “skema”. Imannya menjadi perisai apabila diajak berfoya-foya. Hebat sekali kuasa iman.

Rasa mulia dengan iman ini suatu perasaan yang perlu ditanam dan disuburkan hinggalah ia menjadi suatu perasaan yang tidak Cuma hangat-hangat tahi ayam sahaja. Perasaan agung itu mestilah berdasarkan kebenaran Allah Yang Maha Hidup dan tidak mengenal mati. Kebenaran yang tetap hidup dicabar oleh kekuatan, konsep dan realiti yang sering berlegar dalam kehidupan seharian remaja. Contohnya, remaja beriman akan tegas berkata, “Saya tidak akan menjadi robot yang hanya terpacak di hadapan TV, diikat hidung oleh media yang sering menghidangkan hiburan.”

Kebanyakan remaja hari ini terdedah dengan arus globalisasi sehingga mempunyai cara berfikir yang sangat terpengaruh oleh rakan sebaya. Persekitaran dan didikan juga menyebabkan mereka mempunyai nilai-nilai yang sukar untuk ditentang; nilai yang menekan rakan sebayanya untuk turut terikat bersama.

“Tak keluar dating? Apa kuno sangat kamu ni? Ni bukan zaman nenek moyang dulu.” Inilah salah satu contoh pemikiran remaja kita.

Cara berfikir, dan nilai itu menekan remaja lain yang tidak mempunyai persediaan yang kukuh. Begitu juga setiap konsep yang membelenggu cara berfikir remaja hari ini memang mempunyai ikatan yang kukuh dan kuat, yang sukar dikikis jika tidak dihadapi dengan suatu konsep kebal yang dicedok daripada Allah s.w.t.

Setiap remaja yang menentang arus, yang menentang cara berfikir remaja lain, menentang nilai hidup mereka dan sebagainya, tentu akan berasa tersisih dan bersedih hati, jika tidak berpegang kepada dahan yang lebih kukuh daripada manusia itu sendiri. Allah s.w.t. pasti tidak membiarkan orang yang beriman keseorangan menghadapi tekanan, kesepian menanggung beban yang berat itu.

Oleh sebab itu, sungguh indah surah Ali ‘Imran ayat 139 itu memujuk setiap orang beriman. Sesungguhnya orang yang beriman itulah orang yang paling tinggi darjat tempat pergantungannya. Kenapa nilai remaja lain perlu lebih berpengaruh dalam hidup kita berbanding nilaian Allah yang menciptakan kita semua? Fikir-fikirkanlah.

Contohilah keberanian Rabi’ bin Amir dalam menyatakan imannya di hadapan Rustam menjelang perang Qadisiyyah.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian terhadap hamba kepada pengabdian kepada Allah s.w.t., daripada kesempitan dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga daripada kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam.”

Wahai remaja beriman, kita belum lagi diuji berhadapan kuasa kafir sebagaimana Rabi’ bin Amir berhadapan Rustam. Kita baru diuji berhadapan dengan suara-suara rakan sebaya. Kenapa perlu gentar menyatakan iman kita bagi menolak segala ajakan dan dakwaan yang tidak sihat? Jangan mudah mengalah. Rasa mulia dan rasa tinggilah dengan iman. ¤

 


Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 


 

 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas