Menu

 

A+ A A-

MENJAWAB PERSOALAN HIDUP DENGAN WAHYU

“ADIK asal dari mana?” Pernah saya bertanya seorang adik remaja dalam satu ceramah motivasi di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh.

“Asal Tumpat,” jawabnya agak lambat. Mungkin dia cuba mencari jawapan lain untuk soalan saya itu. Remaja sekarang kan makin bijak.

“Hmm, nanti balik Raya ke Tumpatlah ye?” Dia mengangguk. Pelajar-pelajar lain memberi perhatian kepada perbualan kami.

“Adik datang ke sekolah ni kenapa ye?” Saya mengasaknya dengan soalan, pembesar suara berada pada mulutnya.

“Nak belajarlah, tak nak hampakan harapan mak ayah,” jawabnya yakin.

Saya tersenyum.

“Lihat… Adik ni tahu dia datang dari Tumpat. Dia juga tahu nanti dia perlu balik ke Tumpat berjumpa mak ayahnya. Dari jauh mak dan ayahnya hantar ke sekolah ini dan dia tahu dia ada tujuan di sini, bukan saja-saja nak datang.” Saya membiarkan pelajar merenung sejenak kesimpulan mudah itu.

Meneroka lebih jauh, saya mengajak mereka merenung pula tiga persoalan asas yang berkaitan dengan kehidupan:

Dari mana kita datang?

Mengapa kita didatangkan?

Ke mana kesudahan kita?

Persoalan ini datang dalam benak minda kita secara fitrah. Akal yang sihat tentu ada terfikir tentangnya. Hati yang sihat pula akan mencari jawapannya dengan petunjuk wahyu bukan selera nafsu. Di sinilah pentingnya peranan wahyu dalam menjelaskan sesuatu yang tak terjangkau dek akal fikiran kita. Juga pentingnya peranan akal dalam memenuhi kehendak wahyu.

Persoalan Pertama:

Dari mana kita datang?

Jawapannya boleh kita dapati daripada Firman Allah s.w.t.:

“Wahai sekalian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari kiamat, sesungguhnya Kami (Allah) jadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, daripada air mani menjadi darah sampai ia menjadi daging yang sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apaapa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui.” (Surah alHajj: 5)

Subhanallah! Nabi s.a.w. yang tak tahu membaca dan menulis, boleh menyingkap keajaiban ilmu ‘embriologi’ seperti ini. Nyata sekali, Baginda s.a.w. tidak bercakap dengan nafsunya melainkan dengan kalamullah yang agung.

Wahyu telah pun memberi jawapan terhadap persoalan pertama.

Persoalan Kedua:

Mengapakah kita dijadikan oleh Allah s.w.t.?

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku.” (Surah alDzariyat: 56)

Profesor Dr. Yusuf Qaradhawi menjelas kan dalam al-Ibadah Fi al-Islam:

“Tidaklah dikira ibadah kepada Allah s.w.t. jika seseorang itu berfahaman bahawa aku solat, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan yang haram, minum arak, makan riba, berjudi serta menolak hukumhukum syariat Allah s.w.t. yang tidak sesuai dengan pandanganku.

Juga tidak dikira ibadah kepada Allah s.w.t. bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain, dia menjadi hamba kepada kehendak dan keinginannya sendiri, bebas mengikut nafsunya, dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah s.w.t.”

Persoalan Ketiga:

Ke mana kesudahan kita?

Jawapannya jelas dengan petunjuk wahyu. Firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali.” (Surah alNajm: 4244)

Melihat penyakit sosial yang melanda para remaja dewasa ini seperti penyalahgunaan dadah, arak, seks bebas, pelacuran, disko, merempit, lumba haram, rokok, menghidu gam, video lucah, pukul guru, rogol, mencuri, ponteng kelas, ‘kantoi u’, murtad dan sebagainya, hati tertanyatanya: Sedarkah kita para remaja, adakah untuk ini Allah ciptakan kita?

Di mana konsep ibadah dalam hidup kita? Bukan saja tidak menghayati ibadah khusus yang diperintahkan, jauh sekali menghayati amalan hidup yang lain sebagai satu ibadah.

Kita adalah apa yang kita fahami. Ketidakjelasan matlamat hidup menyumbang kepada penyakit-penyakit sosial tersebut. Apa yang pasti, semua orang akhirnya akan pulang kepada Allah dan menghadapi soalan-soalan daripadaNya. KepadaNya kita kembali. Namun, ingatkah para remaja tentang itu?

Setiap pihak dengan segala kemampuan yang ada perlu menggembleng tenaga membetulkan remaja yang keliru ini untuk kembali mengenal Islam dan beribadah kepada Allah s.w.t. Kita semua bertanggungjawab memikul tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Selain menjaga ibadah khusus dengan Allah, doronglah segala amalan hidup yang lain menuju Allah.

Antara misi penting kita sebagai khalifah Allah adalah memimpin generasi muda kita ini ke jalan hidayah.

Apa yang ingin disimpulkan di sini ialah peranan remaja itu sendiri. Jika anda seorang remaja, dan memahami peranan anda sebagai khalifah Allah, ketahuilah, ramai remaja di luar sana yang mendamba teman sejati seperti anda. Mereka tiada tempat untuk meluahkan isi hati dan permasalahan hidup. Dekatilah remaja sebaya anda dan berperananlah menjadi teman sejati buat mereka. Ayuh, ini tugas dakwah, seruan besar para Nabi, kitalah yang perlu menyahutnya. ¤

 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3


 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas