Menu

 

A+ A A-

BUAT MATA YANG SEDANG MENANGIS

Duhai mata yang sedang menangis...

Mungkin tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka.

Apa pun situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi

ialah anugerah Allah s.w.t. yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun

di tubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah pada-Nya

kerana hingga saat ini kau masih mampu menangis.

 

 Aduh!

Sungguh hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu

kelemahan. Malah menganggapnya satu lambang ketidakmatangan.

Sedangkan Allah s.w.t. merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,

“Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis

dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah al-Isra’ 17: 109)

“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka,

maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Surah

Maryam 19: 58)

 

Duhai mata yang sedang menangis...

Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi

terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya.

Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya

dijana oleh tubuh. Air mata secara semula jadi boleh membuangnya.

Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata.

Bukan itu saja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai

latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan

urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung

ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat

sungguh penciptaan air mata!

 

Duhai mata yang sedang menangis...

Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki

atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan

menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia

mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.

Jika kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin

sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam

mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri

dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tak siapa dapat

menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu

kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan

tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan

menafi kan air mata kerana kelak badanmu mendapat darurat.

Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki.

Tahukah dikau, penyayang-Nya Allah s.w.t. padamu hingga Dia

menciptakan kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar

air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau

menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki.

Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan

tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh.

Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk menyucikan mata

daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan

emosi yang tidak stabil.

 

Duhai mata yang sedang menangis...

Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan

itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar,

tangisanmu itu tak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan

biarkan tangisan itu membibitkan kabus pada masa depanmu.

Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk

melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.

Sesungguhnya tangisan kerana Allah s.w.t. ketika gembira atau derita

ialah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah

pesanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kalam Yang Esa,

“Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut

kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i).

 

         Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4


Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas