Menu

 

A+ A A-

REALITI SOLAT REMAJA KITA

Realiti pada hari ini, usaha mengajak remaja untuk solat sangatlah susah. Mengajak remaja untuk solat berjemaah lebih susah. Apatah lagi mengajak remaja untuk merasai kemanisan solat, bertambah-tambah susah.

Kenapa? Ramai yang tidak pernah dilatih solat sejak kecil. Solat hanya di hadapan ibu bapa, namun ponteng ketika di belakang mereka. Ramai yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu kenapa mereka perlu solat. Apatah lagi untuk merasai kepentingan solat dalam kehidupan.

Bagaimana Cara Mengatasinya? Ini adalah masalah cabang. Ia bercabang daripada pincangnya perkara usul. Maka, ia perlu diselesaikan dengan menyelesaikan perkara usul terlebih dahulu. Masalah cabang tidak akan selesai tanpa selesainya masalah usul. Masalah usul itu ialah masalah iman kepada Allah s.w.t.

Apa Kaitan Iman dan Solat?

Iman memandu seluruh aspek kehidupan manusia yang meliputi bisikan jiwa, cetusan hati, keinginan roh, kecenderungan fitrah, gerakan jasmani, tindak balas pancaindera dan semua perbuatan sama ada semasa bersendirian mahupun di depan orang ramai dengan mengikut kehendak Allah s.w.t.

Mendirikan solat pula ialah kepatuhan kepada perintah Allah yang merupakan kesan daripada refleksi iman. Apabila iman menghiasi hati seseorang, maka iman itu akan menjelmakan kesannya dalam bentuk amal perbuatan dengan mengharapkan pandangan Allah s.w.t. semata-mata bukan sesiapa di kalangan makhluk-Nya.

Kuasa Iman

Iman yang benar tidak sesekali berkompromi dengan hawa nafsu dan syahwat yang sering mengajak manusia menyimpang daripada ajaran Allah s.w.t. Malah, iman itu akan memandu nafsu dan syahwat untuk disalurkan mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Hati yang yakin dan bersaksi dengan hakikat iman yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. akan menjadi ‘peguam’ yang berhujah dalam kehidupan seseorang terhadap segala tindakannya. Malah, iman itu mencorakkan kehidupan umat Islam dan mengikis kehidupan Jahiliah. Iman itu juga akan meletakkan seseorang di atas jalan hidup yang sempurna yang mengamalkan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya.

Wahai remaja, jika anda seorang remaja yang beriman, ajaklah kawan di sekeliling anda untuk beriman. Ingatkan mereka tentang hakikat penciptaan, kehidupan dan hari kemudian. Hidupkan iman-iman mereka. Gunakan segala hikmah, seni dan kreativiti untuk memenangi hati mereka dengan kemanisan iman bagi melawan segala racun dalam fikiran mereka yang bersarang dengan pahitnya kehidupan jahiliyah.

Hidayah yang Allah s.w.t. berikan kepada diri kita itu suatu amanah untuk disampaikan. Amanah yang besar itu pernah ditolak oleh langit, bumi dan gunung-ganang namun kita telah menyanggupinya. Oleh sebab itu, kita perlu insaf, sedar, berkehendak, bersungguh-sungguh dan berkorban untuk mengajak insan lain mengenal Penciptanya dan mengenal hakikat iman pada-Nya.

Bimbingilah pada remaja-remaja di sekeliling kita, agar mereka solat. Ingatkan mereka tentang solat. Kaitkan solat dengan persoalan iman seperti hari akhirat. Jangan sesekali pula lupa untuk mendoakan mereka kerana hati mereka itu hanya Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa melunakkannya. Usaha tanpa doa tiada makna.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan solat dan menuruti hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Surah Maryam: 59-60).

“Maka celaka orang-orang yang solat iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Surah al-Maaun: 4-5).

 REMAJA - REALITI SOLAT REMAJA KITA Fatimah Syarha Noordin - SOLUSI 9

Bicara Rasulullah s.a.w. Tentang Solat
Mari kita telusuri antara gaya bahasa Rasulullah s.a.w. apabila mengingatkan tentang solat.

  1.  “Perkara pertama sekali yang akan dihisab pada diri seseorang di hari kiamat dari amalnya, iaitu tentang solatnya. Jika solatnya benar, yang bersangkutan akan menang dan berhasil. Sebaliknya jika solatnya itu kurang iaitu (tidak benar), maka yang bersangkutan pun akan rugi dan menyesal.” (Riwayat al-Darimi, al- Thabrani dan Hakim).
  2. “Barangsiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya dan petunjuk serta penyelamat pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang tidak menjaga solatnya, maka baginya tidak akan mendapatkan cahaya, petunjuk dan keselamatan pada hari kiamat. Dan pada hari itu dia akan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ubay bin Khalaf (iaitu mereka yang kafir).” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Thabrani dengan sanad daif).
  3. “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir, iaitu meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Fatimah Syarha Noordin
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas