Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan: Ketika hendak solat Zuhur saya niat solat Zuhur seperti biasa. Tiba-tiba pada rakaat pertama itu, saya teringat sedang musafir dan boleh solat jamak qasar. Lalu saya pun niat solat jamak qasar ketika itu juga dan melaksanakan solat Zuhur dan Asar secara jamak qasar. Adakah sah solat cara saya itu?

Jawapan: Jika seseorang mahu melakukan solat jamak taqdim, dia mestilah berniat (dalam hati) untuk solat jamak itu pada mana-mana ketika, bermula daripada takbiratulihram sehingga salam, walaupun pada salam akhir. Contohnya anda niat dalam solat Zuhur untuk jamak Zuhur-Asar atau anda niat dalam solat Maghrib untuk jamak Maghrib-Isyak, maka sahlah solat jamak anda itu.

Adapun untuk solat qasar (memendekkan daripada 4 rakaat kepada 2) tidak boleh, kerana syarat untuk niat solat qasar hendaklah niat dibuat dalam masa takbiratulihram. Contohnya dia dah rukuk, bukan lagi dalam takbir, maka dia tidak boleh niat solat qasar dan dia kena buat solat sempurna (tamam). Yang boleh hanya solat jamak tanpa qasar. Untuk solat jamak ta’khir pula, maka dia mesti berniat pada bila-bila masa sepanjang dalam waktu solat pertama. Contohnya jamak ta’khir ZuhurAsar (menghimpunkan solat Zuhur dalam waktu Asar), semasa masuk waktu Zuhur dia kena niat untuk solat Zuhur jamak ta’khir.

Begitu juga jamak Maghrib-Isyak, sepanjang masa waktu Maghrib dia kena niat hendak jamak ta’khir. Kalau dia tidak niat, pada waktu Zuhur atau waktu Maghrib tadi, maka dia tidak boleh jamak. Akan jadilah solat yang pertama tadi qadak, kerana solat di luar waktu, cuma solat yang kedua tunai (ada’an). Kesimpulannya, untuk jamak taqdim mesti niat dalam solat yang pertama. Untuk jamak ta’khir mesti niat dalam waktu yang pertama. Untuk qasar niat mesti dalam takbiratulihram.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Ketika solat berjemaah, tiba-tiba imam terbatal di pertengahan bacaan surah al-Fatihah. Ia keluar solat lalu diganti oleh orang di belakangnya sebagai imam. Imam baru ini terus menyambung bacaan surah al-Fatihah yang belum habis oleh imam pertama tadi. Saya ragu-ragu betul ke begitu caranya. Sah ke solat berjemaah demikian?

Jawapan: Betul cara yang dilakukan oleh imam baru itu, kerana makmum apabila dia mengambil tempat imam maka dia perlu menyambung atau meneruskan apa sahaja yang imam sedang lakukan. Katakanlah imam tinggal lagi dua rakaat, maka dia kena buat dua rakaat itu. Kalau dia sendiri yang sebenarnya belum cukup tiga rakaat, maka dia selesaikan imam punya dua rakaat dahulu. Selepas jemaah sudah bagi salam, dia bangun tambah satu rakaat. Yang penting, apabila si makmum mengambil tempat imam, dia teruskan apa yang imam sedang buat. Bukan dia menyambung bacaan dia, tetapi menyambung bacaan imam.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Saya terlambat pergi solat sunat Aidilfitri. Ketika sampai saya sempat masbuk pada rakaat kedua. Ketika saya bertakbir yang kelima, tiba-tiba imam rukuk. Maka saya pun ikut rukuk mengikut imam. Ketika imam memberi salam saya sambung rakaat kedua dengan bertakbir lima kali dan seterusnya hingga memberi salam. Betul ke cara saya masbuk dengan cara demikian?

Jawapan: Cara yang anda lakukan kurang tepat. Anda lakukan yang sunat (takbir) hingga tidak sempat membaca al-Fatihah (wajib). Jika anda terus rukuk mengikut imam, maka tidak sah atau batal solat tersebut. Sepatutnya jika dengar imam sudah baca surah, maka kita terus baca surah al-Fatihah. Jika tidak habis baca al-Fatihah dan imam sudah rukuk maka ketika itu bacaan al-Fatihah kita ditanggung oleh imam.

Ingatlah, bagi makmum yang masbuk, yang penting baginya ialah bacaan wajib mesti dibaca. Kalau anda dapat takbir pada rakaat kedua lima kali, kemudian semasa imam membaca, anda sempat pula membaca al-Fatihah, itu tidak menjadi masalah. Dengan syarat anda sempat rukuk semasa imam rukuk, maka sahlah rakaat itu anda berserta imam.

Dalam kes tadi, anda perlu bangun untuk menyempurnakan rakaat anda yang kedua, maka di sini anda disunatkan membaca takbir lima kali seperti yang sepatutnya diselangi dengan tasbih empat kali. Kerana rakaat pertama yang anda solat bersama imam itu dikira rakaat pertama anda, walaupun imam berada di rakaat yang kedua. Imam rakaat kedua, tapi kerana solat anda rakaat pertama, maka dikira rakaat pertama. Selepas imam memberi salam, anda bangun tambah rakaat kedua, maka buatlah takbir sebanyak lima kali sebagai suatu yang sunat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Apakah hukum mendirikan sembahyang jemaah lebih daripada satu jemaah pada masa yang sama di dalam masjid?

Jawapan: Tidak diharuskan mengikut mazhab Syafi’i Adapun di dalam masjidilharam dibolehkan.

Dr. Ali Jumaah

Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Republik Arab Mesir bermula pada 28 September 2003 hingga sekarang. Antara karya beliau adalah al-Kalim al-Tayyib (Fatwa Semasa)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apa erti "Babi"?

Jawapan: Disebut juga khinzir iaitu binatang yang haram dimakan seperti dinyatakan dalam al-Quran. Lihat surah al-Baqarah ayat 173. Begitu juga surah al-An‘am ayat 145 dan surah al-Nahl ayat 115. Para ulama telah sepakat seluruh bahagian babi iaitu daging, lemak, minyak, bulu, tulang, sumsum dan urat atau otot ialah najis. Cara menyucikan najis yang bersifat mughallazah (berat) ini adalah dengan membasuh tujuh kali dengan air mutlak (suci dan menyucikan/yang mutlak atau tahir wa mutahir) dan salah satunya dicampur dengan air tanah.

M. Abdul Mujieb Tholhahah Syafi’ah A.M

(Kamus Istilah Fiqih)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apa erti "Bacaan"?

Jawapan: Dalam kitab-kitab fiqah, yang disebut dengan bacaan biasanya ditujukan khusus untuk membaca surah sesudah membaca surah al-Fatihah. Hukum membaca surah setelah al-Fatihah dalam solat adalah sunat.

M. Abdul Mujieb Tholhahah Syafi’ah A.M

(Kamus Istilah Fiqih)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Apa erti "Ba‘diyyah"?

Jawapan: Solat sunat yang dikerjakan sesudah solat fardu atau disebut juga sebagai solat rawatib. Solat sunat yang dilakukan sebelum solat fardu disebut qabliyyah. Solat rawatib ini ada yang muakkad (sangat dituntut) dan ada yang ghayr muakkad (tidak dituntut sangat). Jumlah solat sunat rawatib muakkad adalah seperti berikut:

1.       Dua rakaat sebelum solat Subuh.

2.       Dua rakaat sebelum solat Zuhur.

3.       Dua rakaat sesudah solat Zuhur.

4.       Dua rakaat sesudah solat Maghrib.

5.       Dua rakaat sesudah solat Isyak.

6.       Manakala solat sunat rawatib ghayr muakkad adalah seperti berikut:

-          Dua rakaat sebelum solat Asar.

-          Dua rakaat sebelum solat Maghrib.

-          Dua rakaat sebelum Isyak.

M. Abdul Mujieb Tholhahah Syafi’ah A.M

(Kamus Istilah Fiqih)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan: Benarkah orang yang melakukan perbuatan zina, apabila dia mendirikan solat, solatnya tidak akan diterima dan sia-sia sahaja dia beribadat?

Jawapan: Benar. Orang yang melakukan perbuatan zina atau meminum minuman keras dalam erti kata lain melakukan dosa besar, maka Allah tidak menerima ibadatnya sehingga dia bertaubat dengan taubat nasuha.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Saya pernah bernazar sekiranya anak mendapat 5A dalam UPSR, saya akan menunaikan umrah bersama-sama keluarga. Alhamdulillah, anak saya benar mendapat 5A. tetapi, saya berasa berat untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk keluarga. Bolehkah saya menarik balik nazar saya?

Jawapan: Nazar ialah janji atau sumpah untuk berbuat baik. Menurut syarak pula mewajibkan diri untuk melakukan sesuatu yang bukan wajib seperti puasa dan sebagainya. Nazar yang dibuat wajib ditunaikan apabila berlaku sebagaimana yang telah dijanjikan. Sekiranya anda telah melanggar nazar atau menarik balik nazar, maka hendaklah membayar kafarah (denda nazar). Ia sama sebagaimana kafarah sumpah iaitu sama ada memberi makan 10 orang miskin atau memberi mereka pakaian atau memerdekakan seorang hamba.

Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripadanya, maka hendaklah berpuasa tiga hari sebagai ganti. Dalam surah al-Ma’idah ayat 89, Allah s.w.t. menjelaskan yang bermaksud: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka, bayaran dendanya adalah dengan memberi makan kepada 10 orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.

Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Peliharalah sumpah kamu (tidak melanggarnya). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Saya telah beberapa kali tertinggal slat subuh disebabkan tidak terjaga daripada tidur. Adakah saya perlu qada atau cukup dengan bertaubat sahaja?

Jawapan: Qada menurut bahasa ertinya menunaikan atau membayar. Manakala dari segi istilah pula, menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak sengaja diwajibkan mengqada solat tersebut di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur syarii adalah berdosa. Uzur yang dibenarkan ada dua iaitu terlupa atau tertidur.

Mereka yang meninggalkan solat wajib baginya untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan taubat yang sungguh-sungguh. Taubat seseorang tidak akan diterima sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu tidak akan lagi meninggalkan solat walaubagaimana keadaan sekalipun, menyesal atas segala perbuatan maksiat dan berazam berazam tidak akan mengulangi semua perbuatan buruk pada masa akan datang. Semua solat-solat yang ditinggalkan hendaklah diqada.

Dato’ Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 2)