Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan: Selepas solat saya dapati ada beberapa keping sisik ikan kecil melekat pada kuku dan jari. Mungkin terlekat semasa menyiang ikan sebelum solat. Bagaimana kedudukan wuduk dan solat saya?

Jawapan: Jika sisik ikan yang sangat kecil, maka ia dimaafkan. Tetapi jika saiznya agak besar maka bermakna sisik ikan itu telah melindungi anggotanya (jari) daripada terkena air wuduk. Maka kedudukan wuduknya dikira tidak sempurna. Jadi apa yang mesti dibuat adalah dibuang sisik-sisik ikan itu kemudian dia ambil air dan basuh di situ. Dia tak perlu mengulangi ambil wuduk kerana wuduknya tidak batal. Jadi dia basuh di tempat sisik ikan tadi kemudian disambung dengan basuh kepala dan kaki. Apa yang dituntut dalam wuduk ialah tertib. Yakni membasuh mukanya sudah sempurna, tetapi membasuh tangannya tidak sempurna (kerana ada bahagian yang dilindungi oleh sisik ikan). Untuk menyempurnakannya, dibuang sisik ikan, ambil air dan kenakan air di tempat sisik ikan itu, kemudian sapu kepala dan basuh kaki. Solat yang dilakukan dalam keadaan wuduk tidak sempurna adalah batal, hendaklah diulang semula.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Kadang-kadang ada orang yang berlari-lari anak di dalam masjid untuk mengejar agar dapat rukuk bersama imam (hendak mendapatkan rakaat tersebut). Bukankah agak kurang sopan yakni tidak wajar perbuatan begitu di dalam rumah Allah? Bagaimana panduan syariat mengenai hal ini?

Jawapan: Memang kita disuruh bersolat dalam keadaan “Alaikum bissakinah was-saqar” yakni dalam keadaan tenang, dalam keadaan hormat kita masuk solat. Tidak perlu nak gopoh, tidak perlu terkejar-kejar kerana solat ni kalau terkejar-kejar menjadikan kita mengah dan penat, maka tiada tumpuan pada solat. Biarlah kita berjalan dalam keadaan sederhana dan tenang, jangan pula terlampau lambat. Kalaupun kita tidak dapat solat pada takbir pertama atau tidak dapat rakaat pertama bersama imam, yang penting kita jalan tidak gopoh dan kita dapat solat berjemaah. Kalaupun tidak dapat berjemaah kerana jemaah sudah berakhir, maka kita tunggu untuk jemaah yang kedua atau kita buat jemaah dengan meminta bantuan rakan-rakan untuk sama-sama berjemaah maka solat kita akan jadi lebih tenang. Kalau kita nak solat sentiasa berjemaah maka apa yang perlu kita perbaiki ialah kita dating awal, jangan kekalkan sikap kita datang lambat kemudian terkejar-kejar untuk dapat solat berjemaah. Maka sentiasa bersedia lebih awal untuk solat berjemaah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Saya seorang wanita yang memakai gincu. Kata orang kalau nak wuduk kena tanggalkan dulu gincu baru sah. Saya tertanya-tanya adakah bibir mulut termasuk anggota wuduk? Atau adakah gincu menghalang air sampai ke anggota wuduk?

Jawapan: Memang bibir mulut iaitu yang bahagian luar termasuk anggota wuduk. Maka wajib kita bersihkan jangan ada gincu ketika mengambil wuduk kerana gincu ini menghalang air daripada mengenai kulit anggota wuduk. Sekiranya kita memakai gincu dan mengambil wuduk, maka wuduk kita tidak sah dan solat kita juga menjadi tidak sah kerana bibir mulut dikira sebahagian anggota wuduk yang terletak pada muka. Maka tidak sahlah jika anggota wuduk ini terhalang disebabkan gincu.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Sebelum solat, saya pasti belum datang haid, walaupun mengikut kebiasaannya memang hari itu dijangka datang haid. Selepas beberapa minit sehabis solat, apabila saya periksa ada kesan darah. Bagaimana kedudukan solat saya itu, kerana memang tidak dapat saya pastikan bila masa keluarnya darah tersebut? Aku Yang Keraguan.

Jawapan: Jika diperiksa selepas solat ada kesan darah, sama ada warna atau baunya, bermakna kita tahu bila ia datang. Kalau ia baru datang tentulah di peringkat awal, yakni tidak banyak, maka solat kita sah. Tetapi jika datangnya semasa kita sedang solat, dan kita tidak perasan, maka solat kita tidak sah. Sekiranya anda pasti ketika solat haid tidak datang hingga habis solat, solat anda adalah sah. Kerana bolehlah dianggap darah itu keluar selepas selesai solat. Tetapi sekiranya ketika solat, anda berasa basah, solat anda tidak sah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Adakah perlu mengqada’ solat fardu yang telah ditinggalkan atau cukupkah dengan bertaubat sahaja?

Jawapan: Pengertian qada’ menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada’kan solat itu di luar waktunya.

Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie’ dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur. Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau dengan sengaja, wajib bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan taubat yang bersungguh-sungguh.

Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan dosa, khususnya solat yang ditinggalkan itu, dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Kemudian, wajib ke atasnya mengqada’ semula solat-solat yang telah ditinggalkan.

 Solat

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Kenapa mesti kita (lelaki) memakai songkok atau kopiah sewaktu solat? Tak sah ke solat kalau tak pakai songkok atau kopiah?

Jawapan: Sebenarnya memakai kopiah atau songkok ini ialah adab yang disunatkan syarak. Jadi kita dapati sejak dari dulu sampai sekarang, orang alim atau ahli-ahli agama yang bercakap tentang agama, halal haram, maka mereka akan pakai kopiah. Songkok pula lebih merupakan pakaian rasmi orang Melayu, tetapi ramai juga yang lebih suka memakai kopiah putih. Memakai kopiah ini adalah sunah.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa menutup kepala dengan memakai kopiah. Inilah yang kita dapati daripada waris nabi-nabi, ulama-ulama dengan memakai kopiah apabila hendak solat dan ia menjadi satu adab. Bukanlah bermakna tidak sah solat jika tidak memakai kopiah. Solat tetap sah tapi jika memakai kopiah atau songkok merupakan adab yang lebih lagi sempurna.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Salah satu syarat sah sujud ialah sujud pada tujuh anggota. Dua daripada anggota itu ialah perut jari kaki. Bagaimana orang yang solat memakai stoking, sah ke sujudnya?

Jawapan: Sujudnya sah. Kerana kalaupun kita pakai stoking atau kita pakai kasut sekalipun solat kita sah. Kalau memakai kasut pun sah solat, memakai stoking lagilah sah. Dan kalau tangan kita berlapik pun solat sah. Yang penting, ketika sujud dahi kita janganlah tertutup dengan sesuatu yang bergerak dengan pergerakan kita. Sama ada dengan tangan, kain atau lengan baju, itu tidak boleh. Adapun kaki pakai stoking, maka itu boleh, kerana pakai kasut pun boleh. Sejarah merakamkan bahawa Nabi pernah solat dengan memakai kasut.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Ketika solat Jenazah, seseorang itu membaca surah al-Fatihah selepas takbir pertama dan berselawat selepas takbir kedua. Tetapi selepas takbir ketiga dan keempat, dia berdoa dalam bahasa Melayu, kerana tidak hafal doa dalam bahasa Arab. Sahkah solat Jenazah itu?

Jawapan: Tidak sah solat Jenazah tersebut kerana pada takbir yang ketiga sekurang-kurangnya dia perlu berdoa. Berdoa dalam solat mesti dalam bahasa Arab seperti yang ditetapkan syarak. Dan sebenarnya kalau pun dia tidak boleh hafal doa dalam bahasa Arab penuh seperti yang biasa (mungkin panjang), tetapi yang dikehendaki ialah satu doa yang sangat ringkas. Sekurang-kurangnya perlu dibaca “Allah humma fi ghlahu war hamhu” atau “Allah humma fi ghlahu” (bermaksud: Ya Allah, ampunilah dia si mayat ini). Sudah memadai. Dalam bahasa Arab, baru sah. Kalau dalam bahasa selain bahasa Arab, tidak sah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Ketika sedang solat terlihat ada najis cicak di tempat sujud di atas sejadah. Ketika sujud, saya sujud jauh ke depan agar tidak sujud di atas najis itu. Adakah dikira sejadah (tempat solat) najis sebab najis cicak itu? Sah ke solat saya itu dengan cara seperti di atas?

Jawapan: Sah, kerana yang penting tempat kita solat ialah tempat kita meletakkan anggota sujud mesti bersih daripada najis. Jangan diletak tangan, kaki atau lutut di atas najis cicak tadi. Kalaulah ada di antara depan hidung, di antara dua tangan dia ada najis dia sujud tapi tujuh anggota tidak kena pada najis, maka hukum solat dia sah.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Sedang solat berjemaah tiba-tiba lampu padam, dan solat diteruskan. Tidak lama kemudian lampu nyala semula. Ketika itu ada ahli jemaah yang secara spontan (tidak sengaja) menyebut: “Alhamdulillah, dah nyala!” Bagaimana dengan solatnya?

Jawapan: Tidak batal solat orang yang berkata-kata itu, kerana perkataan yang di ucap itu secara tidak sengaja itu tidak melebihi enam patah perkataan. Maka, jika tidak melebihi enam perkataan yang tidak disengajakan, maka tidak batal. Kalau sengaja, satu perkataan pun membawa kepada batal solat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)