Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan: Saya ada mendengar bahawa seorang suami mesti selalu mendoakan isterinya. Apakah ini satu kemestian atau hanya satu galakan?

Jawapan: Perlu kita ingat bahawa seorang suami yang mengasihi isterinya mestilah membuktikan dengan cara mendoakan si isteri pada setiap hari. Mendoakan kesejahteraan, kesihatan, murah rezeki dan ketenangan hati untuk para isteri tanpa pengetahuan mereka ialah tradisi suami yang beriman. Tetapi ini tidak mudah, justeru ia perbuatan baik yang sangat sulit dan tersembunyi. Apakah isteriku tahu aku mendoakannya sentiasa? Memang, isteri tidak akan tahu, tetapi Allah Maha Tahu. Siapakah yang akan memakbulkan doa? Tentulah Tuhan, jadi biarlah isteri tidak tahu, asalkan sudi mendengar doa kita untuk mereka. Sifat mendoakan isteri di luar pengetahuannya, adalah latihan utama pada seorang suami yang hendak mempraktikkan “unconditional love!” Keikhlasan adalah sifat yang wajib ada dalam hati suami apabila menunjukkan kasih sayang dalam bentuk tindakan, percakapan mahupun secara doa. Memberilah, buatlah dan berdoalah atas dasar iman. Maksudnya atas dasar mengharapkan keredaan Allah. Walaupun kiranya mereka tidak mendapat balasan setimpal daripada isteri, tetapi mereka puas kerana melaksanakan perintah Allah. Namun Allah Maha Kaya, setiap yang diperbuat oleh para hamba kerana mengharapkan keredaan dan balasan daripada-Nya tidak akan disia-siakan. Atas dasar itu, ternyata jika benar-benar suami membuktikan kasih sayang kerana Allah s.w.t. kepada isterinya, maka Allah pasti akan melembutkan hati isteri untuk membalas kasih sayang itu.

 

Pahrol Mohd Juoi

Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan : Suatu hari saya agak lewat ke surau untuk solat berjemaah. Solat sudah dimulakan, dan hanya ada satu saf dan saf tersebut Telah penuh, lalu saya solat di saf kedua (saya seorang sahaja) di belakang, dengan harapan nanti ada orang dating untuk menyertai sama dalam saf kedua. Malangnya begitulah hingga habis solat. Dapatkah saya pahala dan fadilat solat berjemaah?

Jawapan : Seseorang yang solat berjemaah tetapi berseorangan di belakang saf yang telah penuh maka terlupus atau hilang daripadanya fadilat berjemaah dan fadilat saf. Ertinya dia tidak mendapat kelebihan 27 pahala. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah berdiri di mana-mana belakang makmum lalu takbiratul iharam, sebagai isyarat untuk dia ke belakang. Bagi orang yang ada ilmu dan faham maka dia akan berundur ke belakang untuk membantu ahli jemaah tadi membentuk saf yang baru. Dengan cara demikian barulah jemaah yang seorang tadi sama-sama dapat kelebihan berjemaah dan kelebihan saf. Jadi, jawapannya seseorang yang solat sendirian di belakang saf yang telah penuh, solatnya sah tetapi tidak mendapat kelebihan solat berjemaah dan tidak mendapat kelebihan saf.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Solalan : Oleh sebab ahli jemaah yang rapat dalam saf maka ketika duduk tahiyat akhir saya tak dapat duduk secara tawarruk dan hanya dapat duduk iftirasy. Sempurnakah solat dengan cara yang demikian?

Jawapan : Duduk secara iftirasy dalam tahiyat akhir tetap sah dan sempurna solat kerana duduk iftirasy atau tawarruk hanyalah sebagai perhiasan solat sahaja, dipanggil sebagai haiat. Ertinya kalau ada ruang yang selesa untuk duduk tawarruk maka duduklah tawarruk tetapi jika tiada ruang yang selesa maka duduklah iftirasy. Kedua-dua cara duduk tersebut boleh diamalkan dan tidak memberi sebarang kesan kepada solat seseorang. Ini kerana duduk secara iftirasy juga adalah sunat sebagai satu cara duduk dalam tahiyat ataupun tahiyat akhir. Hanya mazhab Syafi‘i yang mengatakan sunat duduk tawarruk pada tahiyat akhir sedangkan pada mazhab-mazhab yang lain, duduk iftirasy telah dipilih sebagai cara duduk dalam solat sekalipun dalam tahiyat akhir. Walau bagaimanapun bagi mazhab Syafii jika duduk iftirasy pada tahiyat akhir tetap sah dan sempurna solat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Seorang imam di surau tempat saya terkenal dengan bacaannya yang laju. Ketika dia jadi imam (solat Zuhur atau Asar) selalu saya tidak dapat menghabiskan bacaan al-Fatihah apabila dia sudah rukuk (saya rasa ramai jemaah lain pun begitu). Oleh itu, setiap kali beliau jadi imam, maka saya tidak akan baca doa iftitah, terus membaca surah al-Fatihah supaya sempat rukuk bersama imam. Bagaimana hukum tindakan seperti itu?

Jawapan : Tindakan tidak membaca doa iftitah supaya sempurna membaca al-Fatihah dan dapat rukuk bersama imam adalah betul, baik dan tepat. Kita wajib membaca al-Fatihah bersama imam jika imam tersebut membaca laju (dengan syarat memenuhi segala tuntutan bacaan al-Fatihah seperti tertibnya, tasydidnya, wakafnya dan sebagainya). Maka kita wajib membaca al-Fatihah ketika imam tersebut membaca surah al-Fatihah kerana ia baca laju. Ini kerana dalam ikut imam ada yang dihukum sunat, ada yang makruh, ada yang haram dan ada yang wajib. Haram bersama atau serentak dengan imam ketika takbiratulihram. Sunat bersama imam ketika “amin”. Makruh bersama imam dalam semua pergerakan imam. Wajib bersama imam dalam bacaan al-Fatihah jika imam membaca laju.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Apa yang saya belajar meletakkan tangan ketika solat adalah di atas pusat di bawah dada, berdasarkan kepada kitab-kitab fiqah mazhab Syafi‘i. Sekarang ini ada pula yang mengatakan cara itu salah dan tak ikut Nabi. Hadis yang sahih kata mereka mengatakan letak tangan di atas dada. Boleh ustaz perjelaskan masalah ini?

Jawapan : Mengenai masalah meletak tangan dalam solat ini sebenarnya meletak di mana pun boleh, tiada masalah; di atas dada boleh, di bawah dada di atas pusat pun boleh. Malah hendak letak di bawah pusat pun boleh. Ini semua ada nas-nasnya. Banyak hadis yang menjelaskan tentang solat Baginda. Cuma yang nampak berbeza kerana mengikut imam-imam mazhab berdasarkan ijtihad masing-masing. Bagi Mazhab Syafii, tangan diletak di bawah dada di atas pusat ke kiri sedikit. Menurut Mazhab Hanafi pula, letak tangan di bawah pusat. Jadi kita tidak boleh menyalahkan mana-mana amalan tersebut dan menyatakan kita sahaja yang betul walaupun kita mendakwa mengikut hadis yang sahih. Kesimpulannya, di mana jua meletak tangan mengikut mazhab-mazhab tersebut ada lah sunah, cuma yang makruh ialah meletak tangan di pinggang (cekak pinggang), kerana ia menggambarkan sifat sombong dan angkuh. Apa yang penting, jangan sekali-kali kita menyalahkan amalan orang lain kalau ilmu dan kajian kita tidak sejauh mana.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Saya kadang-kadang waswas sama ada terkentut atau tidak ketika solat. Bunyi dan bau tak ada, tetapi seperti ada keluar angin. Adakah syariat mempunyai kaedah untuk menyelesaikan masalah seperti itu? Sah ke kalau kita terus solat dalam keadaan waswas demikian?

Jawapan : Sebenarnya menurut Nabi s.a.w. jangan keluar solat sehingga kita dapati ada bau atau bunyi. Jadi jika kita waswas seperti ada terkentut tetapi tidak ada pula bunyi dan tidak ada bau maka itu tidak memberikan apa-apa hukum. Bermakna kita ikutsatu kaedah yang mengatakan“Suatu yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan syak.” Berdasarkan kaedah Usul Fiqah ini, jika seorang itu yakin dia telah berwuduk, tetapi merasa ragu-ragu sama ada dia telah kentut atau tidak, ia hendaklah dihukum sebagai tidak kentut.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

 

Soalan : Berhampiran tempat kerja saya, pihak pengurusan bangunan menyediakan sebuah surau kecil untuk solat. Malangnya tidak disediakan tempat mengambil wuduk, Cuma ada tandas yang boleh mengambil wuduk. Setahu saya mengambil wuduk di dalam tandas hukumnya makruh. Bagaimana solat dengan wuduk yang sedemikian?

Jawapan : Solat dengan wuduk yang demikian sah kerana tiada kaitan antara hukum wuduk tersebut dengan solat. ertinya kalau wuduk makruh tidak semestinya solat juga makruh. Solat boleh jadi makruh dengan sebab-sebab yang lain. Jadi solat tidak makruh walaupun wuduk makruh.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Kawan saya selalu lambat bangun pagi. Tetapi dia tetap solat Subuh walaupun lewat. Selalu saya lihat dia dapat takbiratulihram di sempadan habis waktu solat Subuh. Kadang-kadang rakaatpertama dalam waktu solat Subuh tetapi rakaat kedua sudah terkeluar dari waktu solat. Sah ke solat begitu?

Jawapan : Solat dalam keadaan demikian masih sah, cuma jika perbuatan itu disengajakan tanpa uzur maka hukumnya berdosa besar. Tetapi jika dia ada uzur seperti tidak terjaga daripada tidur dan tiada orang yang mengejutkannya atau ada masalah-masalah lain maka tiadalah berdosa. Solat demikian dikira mendapat waktu jika dia sempat takbir dan rukuk rakaat pertama sebelum habisnya waktu Subuh, tetapi jika tidak sempat rukuk rakaat pertama, iaitu waktu sudah habis dan matahari sudahterbit maka solatnya itu sudah dikategorikan sebagai solat qada bukan lagi solat adaan (tunai). Oleh itu dalam menentukan solat itu adaan atau qadaan bukan pada niat ketika takbiratul ihram tetapi bergantung kepada perbuatan solat tersebut jika masih dalam waktu dikira adaan dan jika sudah habis waktu maka dikira solat qadaan.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Saya lihat kadang-kadang ada orang (kebanyakannya orang tua) yang memakai telekung terlampau labuh ketika solat. Ketika sujud kadangkadang dia sujud di atas kain telekung tersebut yang terhampar di hadapannya. Saya rasa waswas adakah sah solat mereka seperti itu.

Jawapan : Seseorang yang solat dan sujud di atas kain yang bergerak dengan pergerakan solatnya seperti kain telekung yang biasa, maka solatnya tidak sah. Tetapi jika telekungnya itu cukup panjang atau labuh sehingga tidak bergerak dengan pergerakan solatnya seperti dia duduk, bangun, rukuk dan sebagainya tidak bergerak kain telekung itu maka solat sah walaupun sujud di atas kain telekung tersebut. Tetapi telekung yang ada hari ini bukanlah panjang atau labuh sangat dan biasanya bergerak dengan pergerakan solat maka tidak boleh sujud di atas kain telekung demikian.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Saya lihat sekarang ada orang perem puan yang solat tak pakai telekung. Dengan memakai tudung biasa, baju labuh dan seluar, tetapi saya lihat dia memakai stoking. Bolehkah perempuan solat dengan pakaian demikian?

Jawapan : Yang penting dalam syarat sah solat ialah menutup aurat. Kaki aurat, seluruh badan aurat kecuali muka dan tapak tangan. Jika seseorang itu menutup auratnya tidak kira dengan apa sekalipun maka solatnya dikira sah walaupun dia tidak memakai telekung.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)