Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan : Apakah tarekat?

Jawapan : Tarekat ertinya jalan. Kalau dilihat dari segi istilah, tarekat itu jalan hamba kepada Tuhannya. Secara umumnya, tarekat kita ialah tarekat Rasulullah s.a.w. Tetapi ada tarekat-tarekat yang khusus. Tarekat ini penting jika kita selalu lalai daripada mengingati Allah. Tetapi jika kita sentiasa istiqamah, maka tidak menjadi masalah jika tidak masuk tarekat. Apabila ingin memilih tarekat, hendaklah memilih tarekat yang muktabar.

 

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan : Adakah batal solat apabila selesai solat, ada nasi sebutir di dalam mulut?

Jawapan : Tidak batal hatta dalam solat sekali pun. Tetapi jika dalam solat, sunat meludah ke kiri atau ke dalam poket atau lengan baju.

Ustaz Azhar Idrus

www.ustazazhar.net

(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Saya dapat takbiratul ihram bersama imam solat Zuhur, kemudian saya membaca doa iftitah dan al-Fatihah secara tenang untuk mendapat khusyuk. Tetapi apabila sampai ayat ke-4 surah al-Fatihah imam sudah rukuk. Memandangkan mustahil saya dapat menghabiskan surah al-Fatihah maka saya ikut rukuk. Bagaimana dengan solat saya?

Jawapan: Masalah ini bergantung kepada sama ada seseorang itu masbuk atau muwafik. Masbuk ialah orang yang masuk solat berjemaah tetapi selepas imam takbiratul ihram, dan dia memang tidak sempat membaca habis surah al-Fatihah. Manakala muwafik pula ialah orang yang masuk solat berjemaah selepas takbiratulihram dia mempunyai masa yang cukup membaca habis surah al-Fatihah. Jika makmum itu masbuk dan terus membaca al-Fatihah sampai dua atau tiga ayat imam sudah rukuk maka dia ikut rukuk bersama imam. Dalam keadaan demikian bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imam. Solatnya sah dan dia dapat rakaat tersebut. Tetapi jika dia membaca doa iftitah maka sekadar mana dia membaca doa iftitah maka sekadar itu juga dia mesti membaca surah al-Fatihah.

Begitu juga seseorang yang muwafik maka dia mesti menghabiskan membaca al-Fatihah. Sekalipun imam rukuk dia tetap kena habiskan surah al-Fatihah. Lama masanya terpisah daripada imam jangan lebih daripada tiga rukun yang panjang. Jika sempat maka dapatlah rakaat tersebut. Jika dia tidak habiskan membaca surah al-Fatihah dan terus ikut imam rukuk dengan sengaja, maka tidak sah atau batal solatnya. Ini kerana membaca surah al-Fatihah merupakan rukun solat, yakni mesti dibaca oleh setiap orang, baik imam mahupun makmum sama ada solat sirri (baca perlahan) atau jahri (baca kuat).

Dalam kes soalan ini penanya merupakan muwafik, jadi tindakannya berhenti membaca al-Fatihah dan rukuk adalah salah dan solatnya juga adalah batal.

 Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Apa hukum membaca al-Quran semasa ada orang lain sedang solat? Saya pernah membaca al Quran di masjid, kemudian ada seorang yang baru masuk untuk bersolat lalu memberitahu: “Saya hendak solat." Saya terus memberhentikan bacaan.

Jawapan: Boleh selagi tidak menyebabkan orang yang sedang solat terganggu. Apabila kita sedang membaca al-Quran, kemudian ada orang yang hendak solat, maka kita hendaklah memperlahankan bacaan al-Quran itu supaya tidak mengganggunya. Nabi s.a.w. pada suatu ketika pergi ke masjid. Baginda mendapati ada orang sedang solat dan pada masa yang sama orang membaca al-Quran dengan suara yang kuat. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang solat itu sedang bermunajat kepada Tuhannya. Maka ia harus mengetahui apa yang dimunajatkannya. Justeru, janganlah sebahagian kamu menguatkan suaranya mengatasi yang lain ketika membaca al-Quran.” (Riwayat Ahmad)

Datuk Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan: Bilakah makmum disunatkan untuk berdiri untuk membina saf solat?

Jawapan: Sunat makmum dan imam untuk tidak bangun melainkan setelah selesai iqamat. Begitulah pandangan jumhur ulama. Dalilnya hadis riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Qatadah daripada bapanya berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sekiranya iqamat sudah dilakukan, maka janganlah kamu bangun melainkan kamu semua telah melihat aku (keluar dari rumahku dan masuk ke dalam masjid).’” (Rujuk al-Majmu’ jil 3, hlm.234 dan Tuhfah al-Muhtaj jil 2, hlm.322)

Tambahan: Elok bagi orang tua dan yang lemah untuk berdiri (bangun) ketika mendengar muazin mengucapkan “Qadqa matis solah.” Seterusnya semua jemaah segera bangun setelah selesai iqamah dilaungkan untuk membentuk saf secara serentak. (Al-Hawi al-Kabir, jil 2, hlm.76)

Ustaz Muhammad Haidzir B. Husain
(INFO FIQAH, Majalah Al-Ustaz Isu 4)