Soalan: Apa hukum mengerjakan sembahyang Jumaat dan sembahyang sunat Aidilfitri yang jatuh pada hari yang sama?
Jawapan: Syarak telah memberi kelonggaran dalam masalah ini sama ada mahu sembahyang Jumaat atau meninggalkannya sekiranya sembahyang sunat Aidilfitri telah dilakukan. Akan tetapi, adalah terlebih baik atau afdal bersembahyang kedua-duanya sekali.
Dr. Ali Jumaah
Beliau menjawat jawatan Mufti Besar Republik Arab Mesir bermula pada 28 September 2003 hingga sekarang. Antara karya beliau adalah al-Kalim al-Tayyib (Fatwa Semasa)
(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)
Soalan: Mengapakah dalam syariat Islam, terdapat perbezaan taklif (tanggungjawab hukum) antara lelaki dan perempuan?
Jawapan: Ini menunjukkan kebenaran syariat Islam benar-benar daripada Allah s.w.t.; Tuhan Pencipta manusia. Allah sahaja yang memahami tabiat dan kemampuan semula jadi manusia. Walaupun lelaki dan perempuan kedua-duanya manusia, namun tetap wujud banyak perbezaan terutamanya berkaitan keupayaan semula jadi jasmani dan intelek.
Secara umumnya wanita lebih lemah daripada lelaki dalam kedua-dua aspek tersebut. Justeru kita lihat banyak keringanan yang diberikan oleh Allah kepada wanita. Antaranya gugurnya kewajipan melakukan solat pada waktu haid tanpa perlu mengqadanya untuk meringankan beban mereka.
Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)
Soalan: Saya ada kenalan yang berkecimpung dalam perniagaan jual beli tanah. Dia pernah mengatakan kepada saya bahawa dia akan pastikan tanah yang dibelinya akan dijual sebelum tiba haul (genap setahun) supaya dia tidak perlu mengeluarkan zakat. Kemudiannya dia akan membeli terus tanah lain. Apa hukum perbuatannya itu?
Jawapan: Tidak boleh lari daripada kewajipan berzakat. Sekiranya dia membeli tanah dengan tujuan memperoleh keuntungan, maka wajib zakat ke atasnya. Jadi sekiranya tanah tersebut kekal dalam milikannya selama setengah tahun. Kemudian dia menjual tanah tersebut dan membeli tanah yang lain pula dengan nilaian yang sama dengan harga jualan tanah yang pertama tadi. Maka, apabila tiba haul, dia perlu mengeluarkan zakat atas nilai tanah yang baru walaupun ia belum terjual. Namun jika dia membeli tanah bukan dengan tujuan jual beli untuk mendapat keuntungan, sebaliknya dibiarkan begitu sahaja atau disimpan untuk kegunaan peribadi, maka tidak diwajibkan zakat ke atas tanah tersebut.
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
(FIQAH ZAKAT, Majalah Al-Ustaz Isu 4)
Soalan: Apa hukumnya orang yang sengaja tidak membayar zakat selama bertahun-tahun? Apa yang perlu dilakukan sekiranya dia sudah insaf?
Jawapan: Berdosa hukumnya sesiapa yang sengaja menangguhkan membayar zakat. Zakat wajib ditunaikan ketika tiba masanya dan tidak boleh ditangguhkan. Dia wajib segera bertaubat kepada Allah dan menunaikan zakatnya (qada) yang telah berlalu selama tempoh tersebut tanpa dikurangi walau sedikit pun dari nilainya.
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
(FIQAH ZAKAT, Majalah Al-Ustaz Isu 4)
Soalan: Adakah sah solat saya, jika saya tidak memahami makna bacaan dalam solat dan juga ayat-ayat al-Quran. Adakah solat sebegitu dianggap sempurna?
Jawapan: Solat berkenaan tetap sah walaupun kurang sempurna. Ini kerana memahami bacaan dalam solat termasuk al-Fatihah dan sebagainya adalah termasuk dalam aspek kesempurnaan solat, bukan sebagai syarat dan bukan rukun solat.
Ustaz Fadzli al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Saya telah melakukan banyak kesalahan dan berdosa, termasuk dosa besar. Tetapi kini saya insaf dan ingin bertaubat, mahu meninggalkan segala perkara yang membawa kepada dosa itu. Adakah taubat saya akan diterima Allah? Apabila sudah bertaubat, adakah di akhirat nanti saya akan menghadapi balasan juga?
Jawapan: Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Penyayang. Seorang Muslim yang melakukan dosa besar hendaklah segera bertaubat dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi. Dengan berbuat demikian, nescaya Allah akan mengampun dosa hamba dan terlepas daripada seksaan-Nya di akhirat nanti. Setelah itu janganlah ulangi lagi berbuat dosa tersebut atau dosa-dosa lain yang diketahui dosa, kerana mengulangi dosa yang kita tahu ia berdosa, Allah tidak terima taubat demikian.
Ustaz Fadzli al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Sering kita dengar tegahan membariskan kanak-kanak dalam satu saf dengan orang dewasa, kata mereka nanti putus saf. Saya tak faham apa yang dimaksudkan dengan putus saf itu, adakah batal solat atau tak dapat pahala jemaah?
Jawapan: Masalah putus saf kena lihat kanak-kanak itu sama ada mumaiyiz atau belum. Jika belum mumaiyiz maka putus saf tetapi jika sudah mumaiyiz maka tidak putus. Cuma timbul masalah jika kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum. Jika kanak-kanak itu sudah berkhatan maka dikira bersih, maka tidak putus saf. Tetapi jika belum berkhatan dan belum mumaiyiz maka putus saf.
Putus saf di sini bukanlah bermakna tidak dapat pahala atau tidak dapat fadilat berjemaah, itu semua dapat. Cuma dia tidak dapat fadilat saf sahaja. Dalam solat berjemaah dua yang berbeza antara fadilat berjemaah dengan fadilat saf. Jadi bila dikatakan putus saf maka dia tidak dapat fadilat saf, fadilat berjemaah tetap dapat.
Ustaz Fadzli al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur
(Majalah Solusi Isu Perdana)
Soalan: Saya ingin bertaubat. Bagaimana yang dikatakan sebagai taubat nasuha?
Jawapan: Taubat nasuha ialah taubat yang sebenar-benarnya. Ia dicapai dengan memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Tidak lagi melakukan dosa tersebut.
2. Benar-benar menyesali perbuatannya.
3. Bertekad tidak akan mengulanginya.
4. Jika dosa tersebut berkaitan penganiayaan terhadap orang lain, maka dia wajib mengembalikan haknya atau meminta maaf daripadanya.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang pernah berbuat zalim terhadap saudaranya, maka hendaklah ia segera meminta halal sebelum datangnya hari yang tidak ada lagi dinar atau dirham.” “Ketika itu jika ia mempunyai kebaikan-kebaikan, maka akan diambil kebaikan-kebaikannya itu dan diberikan kepada saudaranya yang pernah dizaliminya. Sekiranya belum cukup, maka dosa-dosa saudaranya itu akan diambil dan dibebankan kepadanya.” Wallahu a‘lam.
Datuk Haji Ismail Kamus
(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)
Soalan: Bagaimana hendak menentukan siapa yang lebih layak untuk menjadi imam solat berjemaah?
Jawapan: Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu hendaklah melantik seorang imam yang paling baik bacaan dan hafalan mengenai Kitabullah. Jika ada persamaan pada bacaan, pilihlah orang yang paling banyak mengetahui sunnah. Jika masih ada persamaan, pilihlah sesiapa yang lebih dahulu berhijrah. Dan jika masih ada persamaan, pilihlah antara mereka yang paling berusia.”
Kesimpulannya, imam yang dilantik hendaklah mempunyai dua ciri utama iaitu:
1. Seorang yang baik dan betul bacaannya.
2. Seorang yang baik ilmu agamanya.
Datuk Haji Ismail Kamus
(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)
Soalan: Saya pernah dengar bahawa jika kita ingin menegur imam yang terlupa rukun, misalnya lupa membaca al-Fatihah, dengan ucapan “subhanallah”, tetapi hendaklah diniatkan sebagai zikir. Boleh ustaz jelaskan lebih lanjut?
Jawapan: Jika seseorang melafazkan “subhanallah” dalam solat dengan niat zikir atau terlupa niat maka tidak membatalkan solat. Tetapi jika menegur imam dengan niat iklam iaitu nak beritahu imam tanpa niat zikir atau tanpa niat apa-apa maka batal solat kerana melakukan sesuatu yang bukan daripada solat. Tetapi jika kita tidak niat apa-apa atau kita niat sebagai zikir, maka tidak batal.
Ustaz Fadzli al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur
(Majalah Solusi Isu Perdana)