Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan: Bagaimana Islam melihat kepentingan sumber rezeki sebagai suatu perkara yang perlu diambil berat dalam membentuk generasi yang berkeperibadian tinggi.

Jawapan: Betapa pentingnya sumber rezeki dalam pembentukan keperibadian seseorang itu, dapat dihayati melalui firman Allah s.w.t., ayat 168 Surah al-Baqarah: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Dalam ayat 172: Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.”

Dalam ayat 168 di atas, dihubungkaitkan antara soal rezeki dengan peringatan agar tidak mengikut jejak langkah syaitan. Bermakna, rezeki yang baik mestilah bukan dari usaha-usaha yang menjejaki langkah dan perbuatan syaitan. Ayat 172 pula menjelaskan rezeki yang dikurniakan adalah untuk disyukuri, melalui pengabdian kepada-Nya. Rezeki yang halal lagi baik akan mendorong tuannya mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. seterusnya menjauhi larangan-larangan. Ini jelas, bahawa sumber rezeki memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan pembentukan generasi yang baik.

Sumber rezeki yang halal lagi baik merupakan kunci kepada pembentukan masyarakat yang berkualiti; masyarakat yang hidup tanpa rasuah, tanpa penipuan, tanpa penganiayaan. Masyarakat yang hidup penuh beretika, kerana mereka tahu kesan daripada sumber rezeki yang haram adalah kehancuran di dunia dan di akhirat.

Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram maka nerakalah tempat yang paling layak untuknya.” (Riwayat Tabrani)

Hadis ini menjelaskan bahawa setiap hasil haram yang dimakan, mestilah melalui proses pembersihan untuk melayakkan mereka memasuki syurga Allah s.w.t. Sekaligus memberitahu kepada kita bahawa hasil yang haram adalah sesuatu yang kotor sekaligus menyebabkan jiwa kita kotor. Justeru jiwa yang kotor itulah mudah terpesong melakukan perkara-perkara yang ditegah. Maka tidak mustahil kita melihat golongan yang tidak mengendahkan halal dan haram ini dengan mudah melakukan perkara mungkar dan maksiat. Hadis ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sumber rezeki dititik-beratkan oleh setiap Muslim.

Ustaz Zamerey Abd. Razak

Pegawai Kewangan di AsianBank Merchant

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Sumber rezeki yang bagaimanakah yang perlu dijauhi oleh ummah yang bermaruah demi membentuk keperibadian yang soleh?

Jawapan: Kurniaan Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya terlalu banyak, firman-Nya bermaksud: Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya dan juga supaya kamu bersyukur. (Surah al-Qasas: 73)

Islam tidak melarang manusia mengumpulkan harta asalkan ianya dari sumber yang halal, dibelanjakan kepada yang halal dan mengeluarkan zakat jika cukup syarat-syaratnya. Jauhkan diri dari menipu, pecah amanah, terlibat dengan riba, perjudian, perkara-perkara syirik dan sebagainya. Sebagai contoh, pecah amanah atau penipuan. Kadangkala kita sempitkan definisi pecah amanah kepada kes penyelewengan duit sahaja, tetapi penyelewengan mungkin berlaku dalam urusan yang kecil pada mata kita tetapi besar dari sudut pandangan agama.

Sebagai contoh; kita bekerja dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang, dalam tempoh ini kita melakukan kerja-kerja sampingan berbentuk peribadi seperti jualan langsung, promosi insurans dan sebagainya. Masa yang digunakan adalah masa kita dibayar gaji oleh majikan. Ini juga termasuk dalam kategori pecah amanah. Jika memperolehi pendapatan dari tindakan ini, maka ianya juga bersumberkan sumber yang haram walaupun produknya halal.

Ustaz Zamerey Abd. Razak

Pegawai Kewangan di AsianBank Merchant

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Apakah kesan-kesan rezeki yang diperolehi dari sumber haram?

Jawapan: Dalam himpunan Hadis 40 karangan Imam Nawawi r.h., Rasulullah s.a.w. menjelaskan kepada para Sahabat kisah seorang lelaki yang telah melalui perjalanan yang jauh sehingga pakaian dan dirinya kusut masai. Lelaki tadi telah menadah tangan ke langit dan berdoa, “Ya Rabb, Ya Rabb...” Sedangkan dia makan makanan dan minuman yang haram, pakaiannya haram dan diberi makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?

Hadis ini menjelaskan kepada kita kesan langsung hasil dari sumber rezeki yang haram. Jika diperhalusi, banyak lagi kesan-kesan buruk akibat dari sumber rezeki yang haram, antaranya:

• Tujuan hidup manusia ialah untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Jika sumber rezekinya dari hasil haram, pastinya mereka tidak berkeinginan untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. Apabila ibadat ditinggalkan maka manusia telah terpesong dari fitrah penciptaan manusia, maka pada saat itu mereka tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah. Rasuah, penipuan, penganiyaan, dan lain-lainya akan berleluasa, kesannya kita akan melihat kelompok masyarakat yang hilang integriti.

• Golongan ini akan hilang rasa ihsan dalam jiwa mereka kerana kesan dari diisi dengan rezeki yang haram.

• Pembangunan ekonomi yang dibina amatlah rapuh kerana semuanya mengintai peluang untuk saling mengaut keuntungan tanpa mengambil kira nilai-nilai dan tatasusila sebagai seorang yang bermaruah.

• Lahir generasi yang tidak dapat membezakan antara yang baik atau bermaruah dengan yang salah dan keji. Ini menyebabkan mereka begitu mudah terjebak dengan perbuatan yang tidak beretika dan bermoral, baik dari sudut pandangan agama atau undang-undang.

Ustaz Zamerey Abd. Razak

Pegawai Kewangan di AsianBank Merchant

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Bagaimana mengatasi keadaan daripada kesan-kesan rezeki yang diperolehi dari sumber haram?

Jawapan: Tidak ada jalan yang paling selamat, kecuali jalan yang telah ditetapkan oleh Pencipta yang maha agung Allah s.w.t. Manusia perlu sedar dari mana mereka datang, apa tujuan mereka berada di dunia, ke mana mereka akan pergi selepas ini. Proses kesedaran ini mesti berterusan dan tersusun agar ianya sentiasa dekat di hati. Jika ini dapat dihayati, pastinya soal memastikan sumber rezeki akan menjadi agenda utama setiap hamba Allah kerana mereka yakin bahawa mereka akan dipersoalkan di akhirat bagi setiap nikmat rezeki yang dimakan, dipakai dan diguna di dunia ini.

Ustaz Zamerey Abd. Razak

Pegawai Kewangan di AsianBank Merchant

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Apa hukumnya seseorang yang asyik menggaru semasa solat. Sekejap dia garu kepala, sekejap dia garu tangan kemudian garu tengkuk dan ada sahaja yang digarunya. Batal atau tidak solatnya?

Jawapan: Kalau dia menggaru dengan menggunakan jari-jari tangannya dengan tidak menggerakkan keseluruhan tangan, yakni dia hanya menggerakkan jari-jari sahaja maka itu tidak batal. Tapi kalau dia menggerakkan tangan (dan lengan) lebih daripada dua kali maka batal solat, sama ada sengaja atau tidak. Ini kerana tangan adalah salah satu anggota yang besar seperti kepala, dan kaki, kalau digerakkan tiga kali berturut-turut, sengaja atau tidak, maka batal solat. Istilah tangan ini termasuk juga tapak tangan atau perut tangan, maka jika dalam menggaru itu turut bergerak tapak tangan atau perut tangan, maka jika bergerak lebih dua kali batal solatnya. Adapun jari, sama ada lima jari atau satu jari adalah termasuk anggota-anggota yang kecil seperti bibir mulut, lidah, mata maka menggerakkannya tidak membatalkan solat.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Ada ustaz memberitahu saya bahawa sunat kita membaharui wuduk setiap kali hendak solat. Bagaimana nak membaharui wuduk kalau wuduk masih ada, yakni belum batal? Bagaimana pula niatnya?

Jawapan: Wuduk ada dua. Pertama wuduk dengan niat mengangkat hadas dan yang kedua adalah dengan niat membaharui wuduk. Jika kita tiada wuduk, maka niat kita berwuduk ialah bagi mengangkat hadas. Sebaliknya jika kita masih ada wuduk, tetapi wuduk itu sudah digunakan untuk ibadat yang bukan solat sunat (solat-solat yang lain), maka sunat membaharui wuduk apabila kita hendak solat yang kedua. Contohnya, sesudah solat Maghrib dan kita masih ada wuduk, kemudian masuk waktu Isyak maka sunat ambil wuduk sekali lagi untuk solat Isyak. Inilah yang dikatakan membaharui wuduk. Niatnya: “Sahaja aku membaharui wuduk kerana Allah Taala.” Niatnya bukan mengangkat hadas kerana kita tidak dalam hadas atau kita masih ada wuduk.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4 )

Soalan: Hasrat awal memang hendak solat sunat Aidiladha tetapi ketika lafaz niat, mungkin kerana kurang fasih bahasa Arab, maka seseorang itu terlafaz solat sunat Aidilfitri pula. Sah ke solat sunat Aidiladha itu?

Jawapan: Solat Aidiladha itu adalah sah kerana niat yang muktamad atau yang diguna pakai ialah niat dalam hati, atau apa yang diniat dalam hati. Kalaupun di lidah sebutannya Aidilfitri tetapi di hati dia bermaksud Aidiladha, malah dia sedang hendak solat Aidiladha, maka solat itu sah. Sama keadaannya jika seseorang yang tersilap menyebut di lidah solat Zuhur sedangkan di hati dia hendak solat Asar, sedang yang hendak dilaksanakan ialah solat Asar, maka solat Asarnya sah, walaupun tersalah lafaz. Lafaz di mulut hanya sunat, yang wajibnya adalah menghadirkan niat di hati. Berbalik kepada soalan ini, solat Aidiladhanya sah walaupun tersalah sebut, yakni disebut Aidilfitri.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Apa yang saya fahami mengenai susunan saf, untuk perempuan dewasa afdal di belakang dan kanak-kanak perempuan di hadapannya. Jika ketika mula solat berjemaah tiada kanak-kanak perempuan, kemudian kanak-kanak perempuan dating kemudian, di mana letaknya kedudukan saf mereka?

Jawapan: Saf solat bagi perempuan adalah di belakang. Jika kanak-kanak perempuan tiada maka buatlah saf di belakang benteng atau tirai iaitu kawasan yang memang dikhususkan tempat solat kaum perempuan. Maka buatlah atau duduklah di saf yang paling hadapan kerana itu memang kawasan yang dikhaskan untuk perempuan. Berlainan jika tiada tirai atau benteng, yakni di dewan solat yang terbuka, maka saf perempuan dewasa di belakang saf kanak-kanak perempuan. Tetapi jika memang di kawasan yang terasing dipisahkan oleh tirai atau banteng maka duduklah di saf hadapan dan jika kanak-kanak perempuan datang kemudian maka duduklah di saf belakang.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Emak saya diserang strok, dan kini tidak kuat untuk berdiri dan berjalan. Dia melakukan solat secara duduk. Tapi ada orang kata, emak tidak boleh terus duduk, oleh sebab dia masih boleh berdiri dan berjalan maka ketika takbiratulihram dia kena berdiri kemudian ketika rukuk dan sujud baru boleh duduk. Bagaimana ustaz?

Jawapan: Berdiri adalah salah satu daripada rukun solat. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berdiri melainkan dengan tongkat, atau dengan memegang tiang atau dinding, atau dengan bantuan orang lain, maka wajib dia berdiri dengan bantuan alat-alat tersebut. Inikan pula hal orang yang boleh berjalan, maka dalam solat wajib dia berdiri. Sekiranya separuh daripada peringkat berdirinya sampai satu tahap, dia sudah tidak mampu berdiri kerana letih atau lenguh lututnya, maka bolehlah dia duduk. Apabila telah lama duduk dan dia berasa boleh bangun semula, berasa ada kekuatan untuk bangun, maka wajib dia bangun semula dan teruskan solat. Begitulah kedudukannya, apabila rasa letih dia duduk, kemudian apabila dia rasa ada tenaga untuk berdiri semula. maka wajib dia berdiri. Begitulah yang sepatut dilaksanakan, sehinggalah selesai solat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)

Soalan: Bagaimana kedudukannya dalam solat berjemaah jika bacaan imam banyak salah dari sudut tajwidnya (bacaan surah dan lain-lain), cuma bacaan al- Fatihahnya masih betul?

Jawapan: Solat berjemaah itu hukumnya sah kerana yang wajib ialah al-Fatihah. Selagi bacaan al-Fatihahnya betul maka sahlah seseorang itu menjadi imam, walaupun banyak tersilap dalam bacaan surah. Namun perbuatan kesilapan itu membawa kepada dosa kalau dia tidak berusaha untuk memperbaikinya, yakni dia membaca secara salah hukumnya berdosa. Solatnya tetap sah, selagi bacaan al-Fatihahnya itu betul.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 4)