MENCARI MUKMIN PROFESIONAL
- Ditulis oleh Haji Ahmad Salim Omar
- Kategori Sirah Para Sahabat
- Read 8599 times
SIAPA manusia terhebat pada tahun 2008? Mungkin ada yang menganggap Barack Obama layak mendapat gelaran itu kerana beliau merupakan orang kulit hitam pertama yang dipilih untuk menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat. Dunia mengukur kehebatan manusia dari segi populariti yang berasaskan pencapaian luar biasanya.
Bagaimana pula Islam mengukur kehebatan seseorang? Mengetahui criteria yang tepat dalam usaha mencemerlangkan diri sangat penting agar usaha ke arahnya tidak tersasar. Untuk mengetahui bagaimana Islam menilai kehebatan seseorang mari kita baca kisah ini.
Suatu ketika, Sayidina Umar al-Khattab mempelawa sahabat yang berhimpun di sebuah rumah mengkhayalkan apa yang paling mereka impikan. Seorang daripada mereka bersuara, “Aku mengangankan supaya rumah ini dipenuhi emas yang nantinya boleh kubelanjakan pada jalan Allah.” Seorang lain pula berkata, “Aku inginkan rumah ini dipenuhi intan permata yang nantinya akan daku sedekahkan dan belanjakan pada jalan Allah.” Begitulah seterusnya hingga mereka kehabisan angan-angan dan berkata, “Kami tidak tahu apa lagi yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin.” Akhirnya, Sayidina Umar sendiri menyatakan keinginannya. “Aku mempunyai keinginan yang lain daripada kalian. Aku menginginkan sejumlah orang hebat seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula Abu Huzaifah untuk membantu mendaulatkan kalimah Allah.” Siapa dia Abu Ubaidah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula yang disebut oleh Sayidina Umar sebagai orang hebat ini? Abu Ubaidah pernah diangkat oleh Rasulullah s.a.w. sebagai panglima dalam satu pasukan perang yang di dalamnya terdapat Abu Bakar dan Umar. Oleh kerana kehebatan peribadi Abu Ubaidah beliau mendapat gelaran daripada Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah Ibn Jarrah.”
Muaz bin Jabal pula pernah mendapat pujian daripada Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan yang haram ialah Muaz bin Jabal.” Kehebatan Salim Maula yang paling menonjol ialah keberaniannya mengemukakan apa yang dianggapnya benar secara terus terang. Ia pernah menegur Khalid bin Walid ketuanya dalam satu ekspedisi dakwah apabila dia mendapati Khalid mengambil tindakan yang kurang tepat. Ia tidak hendak mengkhianati hidupnya dengan berdiam diri terhadap kesalahan yang menekan jiwanya. Kalau diteliti perwatakan para-para sahabat rasulullah s.a.w. jelas tertonjol kehebatan peribadi mereka daripada sudut kelakuan, kejujuran, keluhuran budi pekerti dan kecintaan kepada rasulullah s.a.w.
Dari sudut kerja pula, kesungguhan bekerja, kepakaran dalam bidang masing-masing ketinggian semangat juang dan pengorbanan dan kemampuan mencapai hasil yang tinggi. Boleh disimpulkan kehebatan para-para sahabat ini terletak pada dua faktor utama iaitu keunggulan pada perilaku mereka, dan keunggulan dari segi hasil kerja mereka. Inilah dua faktor yang melayakkan generasi para sahabat menjadi umat hebat lagi terbilang. Kehebatan atau kebaikan seseorang itu tidak boleh dinilai hanya dari sudut pencapaian hasil kerjanya sahaja tanpa mengambil kira perilakunya. Iaitu perilakunya yang berasaskan keyakinannya kepada Allah pencipta kehidupan dan keyakinannya kepada adanya hari pembalasan. Keyakinan kepada Allah dan hari akhirat yang padu inilah yang membolehkan para-para sahabat memiliki keunggulan peribadi dan keunggulan hasil kerja.
Keunggulan perilaku para-para sahabat dibina atas kejayaan rasulullah s.a.w. menanamkan keyakinan yang teguh terhadap Allah dan hari akhirat. Berasaskan tauhid yang kental para-para sahabat, tabiin, tabiut tabiin dididik dan dibimbing untuk membangun dan mengembangkan empayar Islam ke seluruh pelosok dunia. Islam dapat berkembang kerana kejayaan rasulullah dapat membangunkan team yang hebat dan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah keluhuran dan kesempurnaan akhlak rasulullah yang berteraskan kecintaannya yang mendalam kepada Allah s.w.t.
Jelas Islam mengukur kehebatan seseorang dari dua sudut iaitu sudut keluhuran perilaku, berasaskan tauhid yang kental dan hasil kerja yang tinggi dan berkualiti, atau keberkesanannya dalam menjalankan peranannya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Seseorang itu tidak dianggap hebat kalau hanya menonjol dalam satu sudut sahaja. Allah telah menjelaskan dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik orang untuk diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” Kuat bermaksud, tinggi atau berkesan hasil kerjanya atau profesional hasil kerjanya dan amanah bermaksud baik budi pekertinya atau Mukmin kelakuannya.
Maka dari sinilah lahirnya istillah Mukmin Profesional, iaitu mereka yang ada dua keunggulan, keunggulan pada kelakuannya dan keunggulan pada hasil kerjanya. Konsep Mukmin Profesional ini perlu diterima bukan sahaja sebagai criteria untuk mengukur kebaikan atau kehebatan seseorang, tetapi yang lebih penting dijadikan asas penilaian seseorang yang hendak dipilih untuk menjawat jawatan-jawatan kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Setiap unit, seksyen, bahagian dalam mana-mana organisasi perlu membina team yang hebat dan team yang hebat ini tidak mungkin boleh dibina tanpa kepimpinan yang memiliki dua keunggulan ini.
Pergilah ke mana-mana organisasi sekalipun, kita akan dapat mendengar banyak rungutan daripada orang bawah yang tertekan jiwa dan perasaan mereka akibat sikap negatif, sikap ketidak prihatinan pihak atasan mereka. Mukmin Profesional dibina atas kecintaan kepada Allah dan rasul-Nya, kepada kebenaran dan keadilan. Atas kecintaan inilah mereka berasa puas dan bahagia apabila dapat memberi kasih sayang, memberi perkhidmatan, menghasilkan produk, menghulur pertolongan, memberi nasihat, teguran, rangsangan dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang berhak dan memerlukannya. Selagi umat ini memberi tumpuan kepada mengambil (mengambil upah, mengambil hak dan sebagainya) dan tidak kepada memberi (memberi kebaikan) dan selagi umat ini tidak berasa puas dan bahagia apabila memberi selagi itulah jalan untuk kembali gemilang tertutup.
Untuk mengetahui apakah kita sudah layak menjadi Mukmin Profesional, soalan yang harus kita tanya pada diri kita sendiri adalah apakah kita seronok, berasa puas dan gembira apabila kita dapat peluang memberi apa sahaja bentuk kebaikan dalam apa keadaan sekalipun sebagai menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah s.w.t.? Kalau kita sudah mendapat keseronokan ketika memberi dan kita memberi kerana mencari redha Allah semata-mata, maka bersyukurlah banyak-banyak kepada Allah, semoga Allah kekalkan hidayah-Nya kepada kita sehingga ke akhir hayat.¤
Haji Ahmad Salim Omar
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4
Haji Ahmad Salim Omar
Lahir di Kuala Terengganu dan berkelulusan B.A.(Hons) dari Universiti Malaya. Beliau berpengalaman luas di dalam urus tadbir kerajaan tempatan dan jabatan kerajaan, antaranya sebagai Pegawai Daerah, Timbalan YDP, Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di beberapa kementerian. Kini sebagai Pengarah Urusan Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Berpemikiran kritis, sentiasa menilai aplikasi urusan semasa dan berusaha membangunkannya ke tahap optimum. Juga mahir dalam bidang pembangunan insan dan bina diri (self-help) dengan pendekatan Islam.