Menu

 

A+ A A-

KUALITI HATI VS KUALITI KERJA

MENGIKUT kajian Harvard Business school sikap positif memainkan peranan 93% dalam menentukan kejayaan seseorang. Manakala ilmu dan kemahiran hanya menyumbang 7% sahaja.

Adakah ini bermakna ilmu dan kemahiran itu tidak penting? Bukan begitu. Untuk berjaya seseorang mesti memiliki ilmu dan kemahiran yang diperlukan tetapi hanya dengan ilmu dan kemahiran sahaja tidak cukup untuk membawa seseorang kepada mercu kejayaan.

Untuk berjaya di samping ilmu dan kemahiran seseorang mesti mampu berusaha secara berkesan dan memiliki kualiti hati yang baik. Ilmu dan kemahiran merupakan potensi untuk seseorang berjaya. Apa yang sebenarnya menentukan kejayaannya ialah intensiti usahanya dan kualiti hatinya. Intensiti usaha atau usaha yang kuat dan smart (usaha yang berkesan), dan kualiti hati inilah faktor yang memainkan peranan 93% dalam menentukan kejayaan seseorang. Ini bererti sikap seseorang akan menentukan intensiti usahanya dan kualiti hatinya. Ada ungkapan menyatakan, “People don’t care how much you know, until they knew how much you care.” Ungkapan ini membuktikan orang suka kepada seseorang bukan kerana ilmunya atau kemahirannya tetapi orang suka kepada seseorang keranakeprihatinannya.

Benci atau suka kerana....

Begitulah sebaliknya kita benci seseorang bukan kerana kejahilannya tetapi kerana hatinya yang busuk. Kita suka seseorang kerana kebaikannya dan kita benci seseorang kerana kejahatannya. Kebaikan dan kejahatan letaknya di hati dan sikap adalah gambaran hati seseorang. Dengan lain perkataan sikap adalah gambaran hati kita, perasaan kita terhadap sesuatu yang kita hadapi yang memerlukan respons daripada kita. Kita tidak boleh pisahkan perasaan itu dengan tindakan atau tindak balas kita terhadap sesuatu perkara.

Contoh: Kita diberi satu tugasan. Bagaimana perasaan kita apabila menerima tugasan itu? Itulah sikap kita. Kalau kitagembira menerima tugasan itu ertinya sikap kita positif, tentu sekali usaha yang akan diberi untuk menyiapkannya menjadi ringan dan menyeronokkan. Sebaliknya kalau kita tidak gembira menerima tugasan itu, usaha yang diberi untuk menyiapkannya menjadi berat dan membosankan.

Kita boleh bayangkan bagaimana bentuk hasil bagi kedua-dua tugasan ini yang akan disiapkan nanti. Sikap kita boleh dilihat, didengar dan dirasakan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Seseorang yang gembira, seronok, yakin, optimis dengan sesuatu kerja boleh dilihat pada wajahnya yang berseri-seri dan boleh didengar pada intonasi suaranya dan keghairahannya boleh dirasai pada kehangatan perasaannya untuk menyiapkan kerjanya.

Begitulah sebaliknya kalau kita terpaksa buat sesuatu kerja semangatnya hilang menyebabkan tenaganya kurang, wajah pada mukanya murung dan intonasi suaranya membosankan, gerak-gerinya lembab, perasaannya sejuk membeku. Kata orang sikap mudah berjangkit. Sikap positif akan mendorong suasana menjadi positif sebaliknya sikap negatif membuatkan suasana menjadi lesu.

Bergantung kepada sikap

Apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini atau yang gagal kita lakukan tidak boleh dipisahkan dengan sikap kita. Ini bererti hasil yang kita peroleh daripada sesuatu usaha itu bergantung kepada sikap kita semasa melakukan kerja itu. Sikap yang positif ertinya usaha yang berkesan dan hati yang baik akan membuahkanhasil yang berkualiti dan kemajuan yang berterusan.

Manakala sikap yang negatif, usaha yang tidak berkesan dan hati yang tidak baik akan membuahkan hasil yang tidak berkualiti dan tidak akan menjamin kemajuan yang berterusan. Adakah kita sudah berpuas hati dengan hasil yang kita capai sekarang? Kalau kita belum berpuas hati dengan hasil yang kita capai sekarang ini bermakna kita perlu baiki sikap kita. Orang yang berjaya ialah orang yang dalam satu hari perasaan positifnya lebih tinggi daripada perasaan negatifnya.

Perasaan positif dan hati yang baik yang dimiliki oleh seseorang menjamin setiap tindakan dan tindak balasnya adalah, benar, tepat dan baik. Benar, tepat dan baik setiap tindakan dan tindak balas seseorang itu akan membolehkan ia meningkatkan kualiti hidupnya setiap hari secara istiqamah dalam semua aspek kehidupannya. Untuk memiliki hati yang baik dan perasaan yang positif iaitu perasaan yang gembira, bersemangat, ghairah, seronok, ceria, yakin, baik sangka, optimis terhadap sesuatu perkara yang kita hadapi, kita mesti memiliki terlebih dahulu perasaan yang betul terhadap kehidupan di dunia kini.

Untuk memiliki perasaan yang betul terhadap kehidupan di dunia ini kita mesti tahu dengan tepat dan jelas dari mana kita datang, untuk apa kita berada di dunia ini dan ke mana kita akan pergi selepas hidup ini. Bukan sekadar tahu jawapannya yang tepat, tetapi yakin dengannya danmengambil tindakan yang tepat setiap hari bagi membuktikan keyakinan kita terhadap tujuan kita diciptakan oleh Allah s.w.t.

Dengan erti kata yang lain mengetahui visi dan misi hidup yang tepat dan jelas merupakan prasyarat untuk memiliki hati yang baik dan hati yang positif. Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah s.w.t. (Surah al-Dhariyat 51:56). Ibadah dibahagikan kepada tiga iaitu ibadah asas dan sunat, hablumminallah (Hubungan dengan Allah) dan ibadah umum, hablumminannas (hubungan sesama manusia). Ketiga-tiga jenis ibadah ini bertujuan untuk menghasilkan sebanyak mungkin kebaikan di dunia ini.

Tujuan manusia diciptakan

Manusia yang berfungsi mengikut tujuan dia diciptakan ertinya pada setiap hari dia berusaha untuk meningkatkan rasa kehambaannya (rasa kekerdilannya), rasa bertuhannya (rasa pergantungannya kepada Allah yang Maha Berkuasa), dan sentiasa meminta ampun kepada Allah atas kelalaiannya. Kemudian berusaha untuk sentiasa menyuburkan hatinya dengan memiliki sifat-sifat yang mulia dan positif melalui amalan kebaikan dan kebajikan secara rasmi atau tidak rasmi.

Amalan solat, puasa, zakat, haji, zikir dan amalan-amalan sunat yang lain merupakan ibadah-ibadah asas dan sunat yang bertujuan untuk menguat, membersih dan menyucikan hati manakala Ibadah umum melalui pekerjaan yang dijalankan oleh setiap manusia adalah bertujuan memberi kebaikan sesama manusia. Ibadah sebenarnya adalah latihanlatihan untuk memiliki hati yang baik dan hati yang positif.

Dalam erti kata yang lain ibadah dalam Islam adalah latihan untuk memiliki hati yang sejahtera, hati yang baik dan hati yang positif supaya manusia layak diterima oleh Allah s.w.t. sebagai hamba-Nya di akhirat kelak dan dibalas segala kebaikan itu dengan ganjaran syurga yang tidak ada tolok banding nikmatnya. Kehidupan adalah proses membuat pilihan yang benar, tepat dan baik mengikut panduan syariat dan sunnatullah untuk mencapai tujuan hidup seseorang. Proses pemilihan yang benar, tepat dan baik ini yang dibuat setiap hari tidak akan terhasil tanpa memiliki hati yang sejahtera iaitu hati yang baik dan hati yang positif ¤

 

        Haji Ahmad Salim Omar 

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_______________________________________________________________

 

Haji Ahmad Salim Omar

Lahir di Kuala Terengganu dan berkelulusan B.A.(Hons) dari Universiti Malaya. Beliau berpengalaman luas di dalam urus tadbir kerajaan tempatan dan jabatan kerajaan, antaranya sebagai Pegawai Daerah, Timbalan YDP, Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di beberapa kementerian. Kini sebagai Pengarah Urusan Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Berpemikiran kritis, sentiasa menilai aplikasi urusan semasa dan berusaha membangunkannya ke tahap optimum. Juga mahir dalam bidang pembangunan insan dan bina diri (self-help) dengan pendekatan Islam.

Kembali ke atas