Menu

 

A+ A A-

MEMAHAMI ISTIHADAH

Bagaimana saya hendak memahami tentang darah istihadah?

Darah Istihadah ialah darah yang disebabkan penyakit atau kerosakan yang berlaku pada saluran darah di kawasan hujung rahim yang keluar bukan dalam tempoh haid dan nifas. Terdapat beberapa jenis istihadah jika dilihat dari segi tempoh terjadinya:

 

  1. Kurang daripada tempoh minima haid iaitu kurang daripada sehari semalam.
  2. Melebihi tempoh haid iaitu lebih 15 hari.
  3. Sebelum didatangi haid dan selepas putus haid (menopaus).
  4. Melebihi tempoh maksima nifas iaitu melebihi 60 hari.
  5. Melebihi kebiasaan tempoh bagi haid dan nifas serta melangkaui tempoh yang paling lama bagi kedua-duanya.

Memang menjadi lumrah kaum wanita sejak dahulu lagi akan ada antara mereka yang mengalami pendarahan istihadah. Aisyah menceritakan: “Fatimah binti Hubaisy menemui Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini seorang wanita yang didatangi istihadah dan saya masih belum suci. Adakah saya perlu meninggalkan solat?”

Baginda menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu adalah pendarahan dan ia bukanlah haid. Apabila darah haid datang, tinggalkanlah solat, dan apabila ia berlalu (tamat tempohnya), maka basuhlah darah (mandi wajib) itu daripada kamu dan dirikanlah solat.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, mereka tetap wajib dan boleh melaksanakan solat dan puasa Ramadan apabila sampai masanya. Mereka juga boleh beriktikaf didalam masjid dengan syarat diletakkan penutup pada kemaluannya agar darah tidak jatuh mengotori masjid.

Kelainan Wanita Istihadah

Jadi wanita istihadah itu sama sahaja dengan wanita yang suci dari segi hukum dalam soal ibadah?

Tidak seratus peratus. Pengurusan ibadah wanita yang didatangi istihadah sedikit berbeza dengan wanita yang suci pada lima perkara:

  1. Dia wajib berwuduk setiap kali hendak solat. Sabda Nabi yang bermaksud: “Kemudian berwuduklah setiap kali hendak solat.” (Riwayat alBukhari)

Hanya satu solat fardu atau qada sahaja dibenarkan daripada satu wuduk. Dalam kata lain, dia tidak boleh mengerjakan beberapa solat fardu atau qada dengan satu wuduk ini. Namun tidak ada masalah jika dia mengerjakan beberapa solat sunat dengan wuduk tersebut.

  1. Tidak berwuduk melainkan setelah masuknya waktu solat. Jika solat itu tidak mempunyai waktu, maka berwuduklah sebelum menunaikannya.
  2. Membasuh kemaluan setiap kali sebelum berwuduk untuk mendirikan solat.
  3. Disunatkan kepadanya agar menutup kemaluannya dengan kain atau sebagainya setiap kali sebelum mendirikan solat.
  4. Bersegera melakukan solat pada awal waktu dan tidak melengahkannya dengan perkara yang tidak berkaitan dengan solat seperti makan, minum, dan sebagainya.

Jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, dia dikira sebagai orang yang cuai. Dia perlu mengulangi perbuatan bersuci daripada istinjak, menutup kemaluan dengan sesuatu, berwuduk dan terus mendirikan solat.

TAMBAHAN:Para ulama berbeza pendapat tentang jimak wanita istihadah. Majoriti ulama membenarkannya berdasarkan hadis Ummu Habibah yang disetubuhi oleh suaminya semasa istihadah.

1

Tidak Henti-henti

Kakak saya pernah mengalami situasi darah keluar tidak henti-henti selama lebih sebulan. Saya khuatir akan turut mengalami situasi yang sama kemudian hari. Apa yang sepatutnya saya lakukan dalam situasi sebegitu?

Situasi yang sama pernah diajukan kepada Rasulullah. Berikut ialah panduannya:

  1. Kemaluan ditutup dengan kain atau sebagainya yang dapat menghalang darah.
  2. Jika masih banyak, kain ditambah atau kain yang tebal digunakan dan diletakkan di tempat keluarnya darah.
  3. Jika masih belum dapat diatasi, dua perkara yang menjadi pilihan:

i         Melakukan perkara yang sama seperti wanita yang didatangi haid selama enam atau tujuh hari iaitu terus mendirikan solat kembali selepas tempoh haid tamat pada baki hari sebanyak 23 atau 24 hari; atau:

ii        Selepas tamatnya haid, solat didirikan dengan menghimpunkan antara dua solat dalam dua waktu, bukannya satu waktu antara keduanya. Caranya:

a Melewatkan solat Zohor dan mandi terlebih dahulu sebelum mengerjakannya bersama solat Asar pada awal waktu solat Asar.

B Melewatkan solat Maghrib dan mandi terlebih dahulu sebelum mengerjakannya bersama solat Isyak pada awal waktu solat Isyak.

C Mandi terlebih dahulu sebelum mendirikan solat Subuh.

TAMBAHAN: Perlu diingatkan juga bahawa jika wanita yang berpuasa memasukkan kain ke dalam kemaluannya untuk menghalang darah yang sangat banyak, maka puasanya boleh terbatal dan dia wajib menggantikannya.

Tindakan memasukkan kain itu dibenarkan jika ia tidak memberikan kesakitan dan dalam keadaan yang sangat terdesak. Jadi dia hanya perlu menggantikan puasanya hanya apabila penggunaan kain tersebut sudah tiada. Jika ia menyakitkan dan berada dalam keadaan yang tidak terdesak, maka dia tidak wajib memasukkannya, bahkan janganlah dia melakukan sedemikian ketika hendak mengerjakan puasa fardu.

Wallahu a‘lam.

       Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

   Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas