Menu

 

A+ A A-

KEINDAHAN ISLAM

SYARIAT Islam itu ialah satu syariat (perundangan) yang lengkap dan syumul, merangkumi seluruh peraturan yang diperlukan oleh manusia. Selain menjelaskan perintah dan larangan, ia mengandungi faedah, hikmah, rahsia, maslahat dan pelbagai manfaat kepada manusia di sebalik pensyariatannya, sama ada dari segi keimanan, ibadat, kekeluargaan, muamalat, jenayah, hubungan antara rakyat dengan pemerintah dan akhlak yang mulia.

Tajuk ini bertujuan untuk menjelas dan menyerlahkan kepada para pembaca tentang keindahan (mahasin) yang terkandung di dalam ajaran Islam. semoga ia memberi faedah kepada seluruh umat Islam untuk merungkai rahsia yang amat indah ini agar bertambah keimanan dan keyakinan terhadap kesempurnaan syariah Islam. Juga agar ia dapat memberi kesedaran kepada golongan yang menentang, mempertikai dan memandang remeh terhadap perlaksanaan Syariah Allah s.w.t.

Matlamat penciptaan manusia

Allah s.w.t. mencipta manusia dengan suatu tujuan yang sangat mulia, iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya Yang esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.” (Surah al-Dhariyat 51: 56-57)

Maka manusia diciptakan untuk melaksanakan tugas dan amalan yang ditentukan di atas muka bumi ini, mereka tidak dijadikan untuk hidup dalam keadaan yang sia-sia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka adakah kamu menyangka, bahawa sesung guhnya Kami menciptakan kamu secara sia-sia (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mukminun: 115). Iaitu mereka tidak diperintah dan tidak pula dilarang. Untuk mencapai maksud tersebut, Allah s.w.t. telah mengutus para Rasul dan menurunkan kitab-kitab secara berterusan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyerukan): “sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut (syaitan atau apa saja yang disembah selain dari Allah s.w.t.).” (Surah al-Nahl 16: 36)

Islam merupakan agama yang terakhir, ia agama untuk seluruh manusia, bermula sejak diutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul yang terakhir, sehinggalah berlakunya hari Kiamat. Allah membinanya di atas amalan yang mulia, akhlak yang tinggi, perundangan yang adil, yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia pada setiap masa dan tempat.

Menyeru manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, menghalalkan semua perkara yang baik, menegah semua perkara yang tidak baik, mengharamkan benda yang kotor dan semua perkara yang menyakitkan atau memudaratkan manusia pada agama dan dunianya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan telah Kami wahyukan kepada mereka agar mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Kami-lah (Allah) mereka selalu menyembah.” (Surah al-Anbiya’ 21: 73)

Ia diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia agar dapat menikmati suatu kehidupan yang baik, kemudian kebahagiaan yang sempurna serta kemuliaan yang besar, iaitu keredhaan Allah dan nikmat syurga-Nya di akhirat kelak.

Allah s.w.t. berfirman tentang martabat Nabi-Nya s.a.w. yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi (tidak menulis dan tidak membaca), yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang yang beriman kepadanya (nabi), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah al-A’raf 7: 157)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah 2:185). Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya aku di utus untuk menyempurnakan budi pekerti (akhlak) yang mulia.”(Riwayat al-Baihaqi)

Sabda Rasulullah s.a.w.: maksudnya: “Sesungguhnya tidak ada seorang nabi pun yang diutuskan sebelumku melainkan menjadi kewajipan baginya agar menunjukkan kepada umatnya setiap kebaikan yang diketahuinya dan memberi amaran peringatan kepada mereka dari semua keburukan yang diketahuinya.” (Riwayat Muslim no. 1844)

Bagaimana tidak, sedangkan Rasulullah s.a.w. telah sampai ke puncak kesempurnaan akhlak, pemeliharaan maruah, suci dan baik hati serta kesempurnaan ubudiyyah (kehambaan), tunduk, merendah diri kepada Allah s.w.t. Ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. telah diiktiraf oleh Tuhannya dengan Firman-Nya:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam: 4) Kemudian kita diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar mengikuti dan mencontohi Rasulullah s.a.w. melalui Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat.” (Surah al-Ahzab 33: 21) Maka telah sempurnalah satu anugerah kepada umat Islam serta limpahan rahmat yang datang dari segenap sudut ke atas mereka.

Dari satu sudut, umat Islam diperintahkan supaya melakukan ketaatan dan kebaikan serta dilarang daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara buruk. Mereka juga diperintahkan supaya mencontohi dan meneladani sifat-sifat sempurna dan ciri-ciri istimewa penghulu segala manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Lengkap Segenap Sudut

Maka jadilah agama kita ini satu agama yang lengkap dari segenap sudut, iaitu agama yang terkumpul segala kebaikan dalam setiap perintah, larangan, syariah perundangan, kelebihan amalan dan galakan untuk melakukannya.

keindahan islam1

Mengetahui keindahan Islam menjadikan seorang Muslim bertambah kuat pegangan agamanya, bertambah cinta kepadanya serta bertambah kuat iltizamnya. Ia juga dapat menjadikan orang yang terpesong daripada landasan kembali kepadanya, boleh membuka pintu yang besar daripada pintu-pintu iqtina’ (penerimaan secara terbuka) agar mereka mendapat pertunjuk dan menerima Islam, lalu selamat dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ibn al-Sakan r.a. meriwayatkan dengan sanadnya: Bahawa Aktham bin Saifi ketika sampai kepadanya berita Rasulullah s.a.w. diutuskan, beliau ingin bertemu dengan Rasulullah s.a.w., tetapi kaumnya tidak membenarkannya serta mereka berkata: “Tuan ketua (orang tua kami) tentu Muhammad akan mengenalinya.” Kata Aktham: “Jika begitu, biarlah sesiapa pergi menyampaikan pertanyaanku kepadanya dan membawa balik jawapannya kepadaku.” Maka pergilah dua orang lelaki sebagai utusannya bertemu Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Kami berdua adalah utusan Aktham bin saifi , beliau ingin bertanya kepada tuan soalan-soalan ini: Siapa tuan? Apakah tugas tuan? Dan apakah ajaran yang tuan bawa?”

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan memberi nafkah kepada kaum kerabat dan Allah melarang melakukan perbuatan keji dan mungkar.” Dua utusan tadi kembali bertemu Aktham serta berkata: “Dia tidak mengangkat (memuji) darjat keturunannya, setelah kami bertanya tentang keturunannya (daripada orang lain), kami dapati beliau daripada keturunan yang mulia dan pertengahan daripada kabilah Mudhar. Beliau memberikan kepada kami suatu ucapan yang kami menghafalnya.”

Setelah Aktham mendengarnya beliau berkata: “Wahai kaumku! Apa yang saya lihat,m beliau mengajak kepada akhlak yang mulia, mencegah daripada perbuatan yang keji, maka hendaklah kamu menjadi ketua dalam perkara ini, jangan sekadar menjadi pengikut, jadilah orang yang berada di hadapan bukan di belakang.” Tidak lama selepas itu, ketika hampir wafat beliau berkata: “Saya berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah dan hubungilah silaturahim, kerana semua ajaran yang diasaskan di atas dua perkara ini tidak akan hilang).” [Lihat: Al-Isti’aab 1/146, Al-Isabah 1/211].

Allah s.w.t. telah memindahkan Aktham bin Saifi daripada belenggu kekufuran kepada Ketinggian darjat iman, tatkala jelas kepada beliau satu daripada keindahan Islam. Bagaimana kalau beliau dapat memahami keindahan Islam yang lain yang diturunkan selepas itu? Tidak diragui lagi, umat Islam hari ini, bahkan penduduk alam ini seluruhnya sangat berhajat kepada penjelasan tentang agama Allah, menyedari keindahannya serta mengenali hakikat kebenarannya.

Satu peringatan yang perlu dijelaskan, keindahan Islam tidak mungkin boleh disebut secara satu persatu, tidak mampu untuk dihitung, kerana ia terdapat pada semua suruhan dan larangan, pada setiap perkara yang halus dan nyata daripada kandungan ajarannya. Tulisan ini dan siri-siri yang berikutnya insya-Allah merupakan catatan yang menunjukkan betapa luas dan menyeluruhnya kemuliaan dan keindahan Islam. Semoga kita diberi petunjuk untuk memahaminya dan seterusnya yakin dengannya.

Orang yang mendapat petunjuk ialah mereka yang diberi oleh Allah faham akan agama ini. Orang yang sesat ialah mereka yang merasa sempit dada daripada menerima kebenaran, sekalipun malaikat turun dari langit bertemu dengannya atau orang mati bercakap dengannya. ¤

 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_________________________________________________________________

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas