Menu

 

A+ A A-

PENGURUSAN NYAWA

ALLAH menciptakan manusia dengan misi yang besar. Kita bukan dicipta “saja-saja” atau untuk maksud yang “biasa-biasa” sahaja. Firman Allah yang bermaksud: “Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu sebagai main-main dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mukminun 23: 115)

Malah bukan hanya manusia sahaja, ciptaan-ciptaan Allah yang lain juga diciptakanNya tidak sia-sia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, bukanlah untuk permainan belaka. Kedua-duanya Kami ciptakan hanyalah dengan tujuan yang benar tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Dukhan 44: 3839)

Tujuan Hidup

Khususnya manusia, kita diciptakan oleh Allah untuk dua misi yang utama:

Menjadi hamba Allah.

Firman Allah: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”(Surah al-Dhariyat 51: 56)

Menjadi khalifah di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Aku jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.” (Surah Sad 38: 26)

Untuk melaksanakan dwifungsi ini, Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan bentuk dalaman dan luaran yang sesuai dengan misi besar kewujudannya. Fizikal, mental, emosi dan spiritual manusia sangat kompleks dan versatil berbanding makhluk lain yang kecil peranannya. Dan manusia diberi segala bekalan dan keperluan untuk “menguasai” dunia ini dan makhluk-makhluk yang lain.

Firman Allah, bermaksud: “Dia (Allah) yang menciptakan apa yang di bumi ini seluruhnya untuk kamu.” (Surah al-Baqarah 2: 29)

Menghargai Nyawa

Antara bekalan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah nyawa. Dengan nyawa kita hidup dan dengan hidup itu kita diberi peluang untuk melaksanakan misi hidup kita. Justeru, kita perlu bersyukur jika masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Nyawa (hidup) ini sangat berharga. Nyawa ini ialah “modal” untuk meraih keuntungan di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, nyawa termasuk dalam empat perkara yang diletakkan dalam kategori daruriyyat bersama-sama dengan agama, keturunan dan harta.

Selepas kita bangun daripada tidur, kita disunatkan berdoa dengan doa ini: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Doa ini secara langsung mengingatkan kita tentang nikmat hidup. Tanpa nikmat hidup, kita tidak berpeluang untuk membuat kebaikan, meraih pahala dan seterusnya mendapat syurga.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi ada menulis: “Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga.” Ingatlah, hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari akhirat. Kebaikan di akhirat tidak akan dapat diraih tanpa kehidupan di dunia. Justeru, dalam Islam kita dilarang “meminta” mati apatah lagi membunuh diri.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian. Kalau dia seorang berbuat kebaikan, mudah-mudahan bertambah kebaikannya, dan kalau dia orang berbuat salah, mudah-mudahan dia bertaubat.” (Riwayat al-Bukhari)

Menghargai Masa

Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa hakikatnya adalah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras mengikut tujuan ia dikurniakan hakikatnya “membuang” nyawa sendiri. Lihat betapa Allah sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu ciptaan Allah dan sekali-kali ia tidak memberi kesan ke atas-Nya.

Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya, Allah telah berkali-kali bersumpah dengan masa (surah al-Asr) dan juga kejadian-kejadian yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat pentingkan masa.

Begitu juga diterangkan Allah suka para hamba-Nya yang mendirikan solat pada waktu 2/3 malam (dinihari). Ini menunjukkan bahawa di sisi Allah ada waktu-waktu yang tertentu yang lebih disukai-Nya. Ada juga diberitakan daripada hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang mana doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini menunjukkan betapa Allah sangat “prihatin” dengan masa.

Islam dan Masa

Al-hasil, dalam ajaran Islam, ibadat-ibadat kerap dikaitkan dengan masa. Umpamanya, sembahyang ada lima waktu, puasa wajib hanya setelah muncul anak bulan Ramadan. Begitu juga dengan Hari Raya, ibadat haji dan sebagainya – semuanya ada waktu-waktu yang telah ditentukan.

Untuk menentukan waktu-waktu ini, secara tidak langsung Allah memerintahkan kita sentiasa memerhati perjalanan bulan dan matahari sekali gus agar umat Islam akan sentiasa peka dan mementingkan masa. Selain itu dengan selalu melihat perjalanan masa (bulan, matahari, siang, malam) akan tersingkaplah rahsia kebesaran Allah sebagai Pengkarya yang paling agung dan sempurna.

Bertitik tolak daripada sikap inilah berkembangnya pelbagai disiplin ilmu berasaskan pengamatan terhadap masa. Antaranya, ilmu sains dan matematik. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam menjadi “imam” dalam ilmu sains dan teknologi satu ketika dulu. Ironinya, kini kita ketinggalan. Ya, mungkin akibat tidak “mementingkan” perjalanan masa seperti umat terdahulu!

Bagaimana Menghargai Masa = Nyawa?

Ramai orang mengalami masalah bagaimana mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara automatik. Misalnya, waktu sembahyang. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat lima waktu, terlalai dalam hidupnya?

Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. Seperti yang ditegaskan sebelumnya bahawa Allah menciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi. Jika dinisbahkan tempoh hidup di dunia (katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti)... nisbah 1: 1,000,000 pun belum memadai.

Kalau diibaratkan berniaga, modalnya cuma seringgit tetapi potensi mendapat untungnya berlipat ganda hingga sejuta ringgit apakah kita akan abaikan atau sia-siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.

Bagaimana Menilai Masa

Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, kalau banyak masa yang dibuang sia-sia.

Mereka yang mensia-siakan masa ialah orang yang “bankrap” dalam “perniagaannya” dengan Tuhan.

Benarlah kata Sayidina Ali Abi Talib: “Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, ia yang akan memancung kamu.“ Anehnya, masa diukur bukan pada nilai kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung kepada bagaimana ia diurus dan untuk apa ia digunakan.

Imam al-Nawawi rhm. misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah, hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai “sangat luar biasa” bukan sahaja dari segi kerelevanan dan kesignifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!

Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz r.a. yang begitu pendek (hanya sekitar dua tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintah yang sangat mirip dengan Khulafa al-Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya – Umar Ibn Abdul Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain.

Lihat pula bagaimana Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat yang begitu “mencemburui” tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam Bani Israel bernama Sam‘un al-Ghazi menerusi turunnya surah al-Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat Nabi Muhammad s.a.w.) melebihi 1000 malam.

Kuantiti masa tidak boleh “dipanjangkan” tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Misalnya, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa sesiapa yang bersolat jemaah Isyak dan Subuh, maka dia seolah-olah telah beribadah sepanjang malam. Juga bagi orang yang berfikir sesaat sehingga terasa kebesaran Allah lebih baik daripada beribadah selama setahun!

nyawa2

Ancaman Masa

Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”

Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa). Seseorang ‘asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.

Pukul rata umur umat Nabi Muhammad s.a.w. ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut ahli psikologi Barat, “Hidup bermula pada umur 40 (life begins at 40).”

Jadi kita di mana?

Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai jugayang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat. Pada hal menurut Imam al-Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu, yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!

Di padang mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur mudamu dihabiskan?” Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi s.a.w. mengingatkan dalam hadisnya, bermaksud: “Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati.”

Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan. Malah kita juga dituntut untuk memilih antara dua perkara; yang boleh dilakukan dan yang lebih utama. Misalnya, apabila bertembung antara mengerjakan umrah dengan membantu orang yang susah, pada situasi dan kondisi tertentu lebih utama kita dahulukan membantu orang yang susah.

Tujuan Hidup Asas Pengurusan Masa

Menguruskan masa dengan baik, bermula dengan penetapan tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita? Ini ialah persoalan asas yang mesti diselesaikan sebelum menguruskan masa. Ya, seperti yang ditegaskan pada awal-awal lagi, tujuan hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifah. Untuk mencapai tujuan ini seluruh aktiviti kita hendaklah sentiasa tertakluk kepada hokum Allah.

Tegasnya, kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram dan makruh kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau “lagha”, juga kita tinggalkan. Oleh itu, jika hidup diatur mengikut syariat, maka secara automatik masa kita akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik, benar dan betul yakni yang halal, harus dan sunat. ¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.5

_______________________________________________________________

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas