Menu

 

A+ A A-

JIWA KOSONG HIDUP TERSASAR

HARI itu, buat pertama kalinya setelah bergelar seorang guru, kepalanya terlalu masai dan hatinya dibalut resah yang jitu. Sepanjang hari itu sehinggalah mahu melelapkan mata, telinganya digaung sebuah suara.

“Ustazah, saya mahu ceritakan suatu sebab yang menyebabkan saya sendiri terlalu buntu.”

Apa yang diceritakan itu telah membuatnya berkongsi sama kebuntuan tu.

“Seorang kawan lelaki saya dari sekolah lain telah menjalinkan hubungan sulit dengan gurunya yang sudah berkahwin hingga melahirkan seorang anak!”

Sungguh, dia rasa bagai dipukul. Malu! Malu apabila yang disebut itu adalah guru. Tidak tergamak hendak mengaku. Namun, bagi tujuan pengajaran dan kesedaran, tiadalah salah membuat pendedahan untuk menjernihkan semula apa yang sudah keruh. Biar guru dipalit tahi di dunia daripada terhunjam bara api di negeri akhirat.

Perlu Makanan Rohani

Jiwa masyarakat semakin kosong. Itulah punca maksiat begitu berleluasa akhir zaman ini. Jiwa yang kosong berkait dengan hati yang tidak sihat, menyebabkan timbulnya pelbagai penyakit kemanusiaan sehingga menterbalikkan fi trah murni kurniaan Ilahi tanpa mengenal siapa.

Dia teringatkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf 12: 53)

Fikirannya ligat menganyam sebuah analogi: “Apabila perut lapar, ia perlu diisi dengan makanan. Jika dibiarkan kelaparan,perut akan meragam hingga mengakibatkan empunya badan lesu, tidak bermaya, malah boleh mendatangkan penyakit seperti gastrik. Begitulah juga dengan hati manusia. Ia sesuatu yang hidup dan memerlukan makanan yang baik serta berkhasiat untuk meneruskan kesinambungan hayatnya.”

jiwa kosong1Hati perlu dikenyangkan dengan makanan berbentuk kerohanian, seperti amal ibadat dan perkara-perkara makruf bagi mengekalkan kesihatannya. Sekiranya hati ketandusan makanan berkhasiat, ia akan menjejaskan kesihatan hati dan berisiko untuk mati. Apabila hati mati, manusia akan melakukan apa sahaja sewenangnya sehingga akhirnya terbabas di persimpangan hidup.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya (bahawa ia tetap kufur)dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat)? Maka, mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” (Surah al-Jathiyah 45: 23)

Agar Kebersihan Jiwa Terjaga

Dia sendiri pernah remaja. Pernah dicuba dengan ujian pesona terhadap kecantikan dan keindahan. Cuma sejak dahulu, dia berpegang pada sebuah hikmat: “Selangkah menghampiri kepada lelaki, seribu langkah keilmuan akan hilang.”

Dia sungguh ingat pesan Rasulullah s.a.w. kepada Sayidina Ali yang amat menitikberatkan penjagaan pandangan mata, kerana mata menjadi titik mula kepada sebuah kebinasaan.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan Abu Daud meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).”

Baginda s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Pandangan itu adalah anak panah beracun daripada anak panah iblis. Sesiapa sahaja yang menghindarinya kerana takut kepada Allah, dia akan dikurniakan keimanan yang terasa manis dalam hatinya.” (Riwayat al-Hakim)

Dia amat tertarik pada pidato Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. berkenaan mengekang hawa nafsu: “Cegahlah diri kamu daripada mengikuti keinginan-keinginan, kerana ia adalah ledakan dan semburan. Jika kamu tidak mampu mencegahnya, ia akan mengheret kamu dalam pengakhiran hidup yang paling buruk. Sungguh kebenaran itu amat berat, sedangkan kebatilan itu amat ringan. Kadangkala sekali sahaja pandangan mata boleh membangkitkan keinginan syahwat, padahal syahwat sesaat boleh menyebabkan kesedihan yang tiada berakhir.”

Justeru, jiwa yang kosong perlu segera diisi. Hati yang kotor perlu cepat dibersihkan. Tiada kata kunci yang lain kecuali taubat yang sebenar-benarnya, berniat tidak ingin mengulanginya serta memperbanyakkan amal kebajikan sebagai cara menebus perbuatan maksiat yang sebelum ini dilakukan.

Menurut Hamka, pergaulan dapat mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa, bergaullah dengan orang beradab dan berbudi mulia yang dapat dikutip manfaat daripadanya.

jiwa kosong

 

 

Juwairah Md Jamil

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Juwairiah Md Jamil

Lulusan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas