Menu

 

A+ A A-

SYARIAT & AKIDAH ITU SEPADU

Di hadapan Kaabah, seorang lelaki berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Berhampirannya, juga di hadapan Kaabah, isterinya juga berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya.

Doa kedua-duanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian. Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tetapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya, manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syarie.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan oleh Tuhan? Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir! Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian. Bagaimana ya?

Mungkin jawapannya begini. Jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka.

Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua, maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada si isteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk kedua-duanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku. Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian). Doa siapa yang diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk kedua-duanya akan berlaku.

Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas? Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Tetapi sebijak mana pun akal, kemampuannya tetap terbatas. Jadi, manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang “serba tidak tahu” ini sentiasa perlukan Tuhan Yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 216)

Tauhid Menjadi Dasar

Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa-apa sahaja, tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah dan mana yang baik dan buruk.

Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar daripada lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.

Umpama kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mesti terikat kukuh pada dinding atau siling. Jika pengikatnya longgar, alamatnya hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitulah akal manusia, siling atau dinding sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.

Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain. Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar. Misalnya, adalah jelas, Allah telah mengharuskan poligami. Dan keharusan itu diiringi pula oleh peraturan dan syarat-syaratnya. Manusia, tidak kira lelaki atau wanita, mesti menerima hukum ini dan segala syarat yang berkaitan dengannya.

Tidak mengapa, jika akal belum Nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi itu bukan bererti hukum Allah itu tidak baik, tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat kebaikan itu. Sepertimana kita tidak mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan. Begitulah hokum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkannya, menghalalkan atau mengharuskannya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tidak tahu menari dikatakan lantai tinggi rendah.

Syarat yang Ketat

Poligami misalnya, dihalalkan dengan syarat-syarat yang ketat. Hanya si suami yang mampu memberi nafkah (zahir dan batin) dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri diharuskan melakukannya. Maksudnya, pintu poligami hanya terbuka untuk “lelaki-lelaki istimewa” dan pada keadaan dan syarat yang istimewa juga. Dan begitu juga, bagi pihak wanita. Walaupun pengorbanan yang agak tinggi diperlukan, namun pasti ada juga sebilangan “wanita istimewa” yang sanggup dimadukan. Tuhan Maha Mengetahui hakikat ini, maka atas dasar itulah poligami dihalalkan.

Sesungguhnya tidak adil bagi Tuhan untuk menutup pintu poligami dengan meminggirkan situasi, kondisi serta insan yang benar-benar mahu, mampu malah kadangkala terdesak untuk melaksanakannya. Untuk mereka inilah syariat diturunkan. Bukan untuk manfaat kaum lelaki sahaja, malah untuk kaum wanita juga. Pintu ini tidaklah dibuka seluas-seluasnya sepertimana perkahwinan monogami, tetapi dirapatkan sedikit agar tidak dilalui sewenang-wenangnya. Ia umpama “pintu kecemasan” yang terbuka apabila keadaan mendesak. Bayangkan, bagaimanakah keadaannya apabila sebuah bangunan atau kenderaan besar terbakar, tanpa pintu kecemasan?

Poligami tidak boleh dipersalahkan hanya kerana ada segelintir lelaki “hidung belang” yang memperalatkannya untuk tujuan jahat. Dalam hal ini, yang salah ialah pelakunya, bukan subjeknya (poligami). Jika logik yang sama digunakan, mungkinkah nanti akan tiba satu keadaan yang sangat ekstrem yang mana monogami juga hendak diharamkan apabila terdapat ramai lelaki memperalatkannya untuk melaksanakan tujuan-tujuan jahatnya.

Tidak Berlaku Adil

Ya, di dunia masa kini bukan sahaja ramai dalam kalangan lelaki berpoligami tidak berlaku adil, malah ramai juga lelaki bermonogami sudah tidak mampu lagi melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan sebagai suami. Maka ketika itu apa tindakan kita, mengharamkan monogami? Begitulah juga halnya dengan poligami, ia tidak boleh dipandang negatif hanya kerana kesalahan para pelaksananya.

Pihak yang anti-poligami, sebenarnya bukan sahaja menentang sesuatu yang dihalalkan oleh Tuhan, tetapi turut menganiaya nasib wanita lain yang perlukan pembelaan. Apa yang perlu diperjuangkan sebenarnya ialah keadilan pihak lelaki (tidak kira yang berpoligami mahupun yang monogami). Tuntutlah agar lelaki berlaku adil dan menjalankan peranannya sebagai suami dan berkempenlah untuk itu. Tidak salah wanita memperjuangkan sesuatu yang memang telah diperuntukkan oleh Allah buat mereka tetapi masih belum ditunaikan oleh kaum lelaki.

Inilah yang diperjuangkan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullahlah s.a.w. dan para sahabat. Kita lihat bagaimana kepetahan seorang wanita bernama Asma’ ketika memperjuangkan status wanita yang tidak berpeluang berjihad ke medan perang seperti suami-suami mereka. Kita juga mendengar bagaimana Hindun isteri Abu Sufyan yang bertanya tentang perbuatannya mengambil wang suaminya tanpa izin kerana suaminya yang kedekut. Begitu juga kisah seorang wanita yang menegur Sayidina Umar tentang nilai mas kahwin wanita.

Berat atau ringannya hukum Allah ini kekadang bergantung pada kekuatan tauhid seseorang individu untuk melaksanakannya. Kadangkala ada seseorang individu atau sesuatu kaum yang berasa mudah melaksanakan sesuatu hukum, tetapi hukum yang sama terasa payah bagi seseorang atau kaum yang lain. Manusia diciptakan berbeza keupayaan, maka berbeza pulalah penanggungan mereka dalam melaksanakan sesuatu suruhan atau larangan daripada Tuhan. Namun, manusia mesti menerima hukum itu dengan rela selaras dengan sifat kehambaannya, walaupun kadangkala terdapat kecuaian, kelemahan dan kekurangan dari segi pelaksanaannya. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya jawapan orang Mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum (mengadili) antara mereka, ialah ucapannya, ‘kami dengar dan kami patuh.’” (Surah al-Nur 24: 51) Maka adalah salah jika kita tidak melaksanakan hukum Tuhan, tetapi adalah lebih bersalah jika kita menolak terus kewajipan sesuatu hukum itu. Katalah, solat hukumnya wajib. Adalah berdosa jika kita tidak melaksanakannya, namun adalah lebih berdosa jika kita menolak terus kewajipannya. Sama juga dengan poligami, hudud dan sebagainya.

Soal kita melaksanakannya atau tidak itu satu hal, tetapi soal mengingkari status hukumnya itu satu hal yang lain pula. Justeru, usahlah hendaknya kewajaran sesuatu hokum Allah diperdebatkan atau didiskusikan tanpa dikaitkan dengan soal tauhid. 

Abu Irdak

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Terkini daripada Abu Irdak

Kembali ke atas