Menu

 

A+ A A-

MAKANAN LAUT HARAM DIMAKAN?

Hukum Makanan Laut

Saya pernah mendengar ada pandangan dalam hukum fiqah menyatakan bahawa makanan laut selain ikan seperti ketam, kerang, belangkas dan sebagainya adalah haram. Benarkan ustaz? Mohon penjelasan.

Berkenaan dengan apa yang saudara pernah dengar, saya tidak menafikan ada pandangan ulama berkenaan dengan perkara tersebut. Walaupun begitu, saya menukilkan apa yang ditulis oleh Syeikh Abu al-Husain Yahya al-‘Umrani dalam kitab Sharh Muhazzab berkenaan persoalan tersebut.

Beliau menyatakan terdapat tiga pandangan ulama berkenaan hukum memakan makanan laut:

1. Haram. Ini pandangan Imam Abu Hanifah. Beliau berhujah dengan hadis Nabi yang bermaksud “Dihalalkan kepada kami dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang.” (Riwayat Ibn Majah) Hadis ini menyebut secara khusus jenis bangkai yang boleh dimakan hanya ikan (tanpa menyebut haiwan laut secara umum).

2. Halal sekiranya makanan tersebut yang mempunyai persamaan dengan haiwan darat. Sekiranya haiwan tersebut mempunyai persamaan dengan haiwan darat yang haram seperti anjing dan babi laut, maka ia adalah haram.

3. Halal dimakan kesemua haiwan laut. Imam al-Syafi‘i pernah ditanya berkenaan anjing dan babi laut. Beliau menyatakan ia halal dimakan. Hujahnya berdasarkan maksud umum ayat al-Quran yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu memburu haiwan laut dan makanan-makanannya.” (Surah al-Maidah: 96)

Pendapat ketiga ini lebih tepat, insya-Allah. Walaupun begitu, pandangan ketiga ini bukanlah bersifat mutlak. Mana-mana haiwan laut yang memberikan mudarat seperti beracun dan membahayakan manusia, maka ia tetap haram.

makanan-laut-haram-dimakan-1

Hukum Sembelihan Orang Bukan Islam

Apakah hukum sembelihan orang bukan Islam? Adakah kita boleh memakannya?

Imam Syafi‘i menyatakan bahawa antara syarat sah penyembelihan, si penyembelih mestilah Islam, baligh dan mengetahui hukum-hakam penyembelihan. Berkenaan dengan sembelihan orang bukan Islam, hanya sembelihan orang Yahudi dan Nasrani sahaja yang boleh dimakan. Ini berdasarkan ayat yang bermaksud: “Dan makanan yang datang daripada ahli kitab maka ia halal bagi kamu.”(Surah al-Maidah: 5)

Perempuan Sembelih Haiwan

Bolehkah perempuan menyembelih haiwan? Saya teringin juga untuk merasai pengalaman menyembelih ayam.

Boleh. Bahkan sembelihan kanak-kanak Islam dan orang buta pun sah dan halal dimakan. Antara dalilnya ialah sebuah hadis yang menceritakan tentang seorang hamba perempuan daripada keluarga Ka‘ab yang menternak kambing. Perempuan tersebut melihat seekor kambing hampir mati lalu ia mengambil batu tajam dan disembelihnya haiwan itu. Apabila ditanya kepada Rasulullah, maka Baginda menjawab ia harus dimakan. (Riwayat al-Bukhari)

makanan-laut-haram-dimakan-2

Batas Darurat

Kita sedia maklum bahawa dalam keadaan darurat, benda yang haram pun boleh dimakan. Namun bagaimana kita hendak menentukan darurat itu sendiri?

Persoalan saudara amat berkait rapat dengan ayat yang bermaksud: “Sesiapa yang dalam keadaan terdesak (darurat) kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, maka tidak berdosa (ia memakan makanan haram tersebut) dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah al-Maidah: 3)

Menurut Imam Syafi‘i, darurat itu bermaksud:

1. Bimbang dan yakin sekiranya tidak memakan, maka boleh membinasakan dirinya.

2. Sekiranya tidak makan, ia akan mengalami penyakit yang membahayakan dirinya. Sekiranya dalam perjalanan, jika ia tidak dimakan makanan tersebut, maka perjalanannya akan terjejas. Syaratnya ia tidak hanya suka-suka sahaja ingin memakannya apatah lagi terasa hendak memakannya berkali-kali. Cukup sekadar untuk menahan perut.

3. Makanan haram yang menjadi penawar atau ubat yang sekiranya tidak makan, ia menjejaskan kesihatan. Walaupun begitu, ia bergantung kepada perkembangan semasa. Sekiranya terdapat ubatan yang halal sebagai alternatif, maka menjadi kewajipan menggunakan yang halal.

Walaupun ayat tersebut menunjukkan bahawa makan perkara-perkara yang haram seperti bangkai, babi, darah dan najis adalah harus pada keadaan darurat, ia juga meliputi produk-produk makanan, ubat-ubatan, kosmetik dan sebagainya yang mengandungi bahan-bahan daripada perkara-perkara itu.

Pada zaman kepesatan ilmu sains dan teknologi hari ini, unsur-unsur haram boleh terkandung dalam apa jua barangan keperluan dan makanan seharian kita. Justeru, kita hendaklah berhati-hati agar istilah darurat ini tidak mudah diambil ringan hanya kerana kita tidak berusaha menghasilkan produk halal dan mencari yang halal.

Ustaz Fahrul Irfan Ishak

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas