Menu

 

A+ A A-

MUNTAH SUSU BAYI

Apakah hukum susu yang termuntah daripada mulut bayi ketika menyusu atau luar waktu menyusu?

Jawapan : Hukum asal bagi susu ibu adalah suci. Apabila bayi menyusu, sering berlaku muntah atau jeluak. Hal ini disebabkan bayi yang berumur beberapa bulan itu tidak mempunyai otot yang kuat untuk menutup salur makanan ke perut. Apabila berlaku bayi itu tidak disendawakan, meniarap, atau dalam keadaan susu penuh, maka biasanya ia boleh termuntah.

Bahkan bayi boleh termuntah dengan jarak beberapa sentimeter daripada mulutnya. Susu yang terkeluar dari mulut bayi semasa menyusu sekiranya telah berubah, maka hukumnya mutawassitah (pertengahan). Maka apabila terkena baju atau pakaian, hendaklah disucikan. Namun sekiranya susu itu tidak berubah, hukumnya dimaafkan. Sebab menurut Imam al-Nawawi, susu manusia adalah suci seperti termaktub dalam al-Majmu‘.Bagi ibu bapa yang selalu menghadapi masalah anak terjeluak ketika menyusu, sama ada susu ibu atau susu nutrisi, maka ia dimaafkan sekiranya sedikit. Ini berdasarkan kaedah fiqah “masyaqqah tajlibu at-taisir” (kesusahan mengizinkan mengambil kemudahan). Sekiranya banyak jeluak tersebut, pakaian atau tempat yang terkena jeluak tersebut hendaklah dicuci dan ia tidak membatalkan wuduk.

Pasar Menjual Daging Babi

Apakah hukum membeli barangan di pasar yang bersebelahan dengan pasar yang menjual daging babi?

Jawapan: Hukumnya adalah harus. Hal ini kerana tidak ada dalil yang menjelaskan bahawa hukumnya haram kerana sesuatu hukum halal atau haram tidak boleh ditentukan kecuali mempunyai dalil yang jelas. Walaupun begitu, saya memahami mungkin puan menganggap orang bukan Islam yang datang dari pasar daging babi ke pasar basah biasa dengan membawa daging-daging babi dalam bungkusan plastik memungkinkan ia menitik atau terkena barang di pasar basah yang puan pergi. Dalam hal ini, Islam tidak terlalu mengetatkan hukumnya sehingga manusia terlalu sangsi dan susah untuk bergerak dan berurus niaga. Hal ini juga berlaku kepada duit yang sentiasa bertukar tangan antara orang Islam dan bukan Islam.

Adakah duit itu juga hukumnya menjadi haram kerana bertukar tangan dengan orang bukan Islam yang mungkin terpegang daging babi atau bahan-bahan yang haram? Jawapannya tidak. Ini bermakna, sekiranya berlaku hal demikian, harus hukumnya puan membeli belah di pasar basah tersebut kerana sentuhan daging, darah menitis dan sebagainya yang datang daripada belian orang bukan Islam tersebut adalah sangkaan dan tidak jelas. Namun, jika puan pasti daging dalam bungkusan plastik itu daging babi, lalu ia menitis dan terkena pada tempat-tempat tertentu itu, maka puan hendaklah mengelakkan daripadanya.

Batas Pembaziran

Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam mengambil makanan dan minuman. Persoalannya, adakah terdapat batas-batas pembaziran yang dinyatakan dalam Islam?

Jawapan:

1.Batas-batas yang dikatakan sebagai pembaziran ialah berlebih-lebihan daripada kadar yang mencukupi, atau melampaui daripada batas-batas yang tertentu, atau mengambil yang haram daripada mengambil yang halal. Imam al-Razi menyatakan berkenaan ayat yang bermaksud; “Janganlah kamu berlebih-lebihan (membazir) …” memberikan tafsirannya iaitu: Tidak berlebih-lebihan sehingga mengambil yang haram sedangkan terdapat yang halal.

2.Tidak bersedekah dengan benda-benda yang buruk dan tidak baik.

3. Mengambil makanan dengan kadar yang banyak atau yang tidak perlu yang boleh memberikan mudarat kepada pemakan.Imam Sarakhsi dalam kitab al-Mabsut menyatakan: “Tujuan seseorang makan adalah untuk mendapatkan manfaat dan kesihatan. Namun sekiranyaia makan melampaui kekenyangan, maka ia boleh memberikan mudarat kepada tubuh badan. Memberikan mudarat ke atas diri sama seperti hokum mencederakan diri sendiri. Justeru ia membawa hukum haram.”

Hukum Makanan Ringan

Apakah hukum memakan makanan ringan? Ada yang mengatakan makanan ringan ini tidak baik untuk kesihatan? Apa pandangan ustaz?

Jawapan : Hukum memakan makanan ringan adalah harus kecuali terdapat bukti yang menyatakan makanan tersebut terdapat unsur-unsur haram, memudaratkan atau diperoleh dengan cara yang tidak halal. Walaupun begitu, saudara perlu beringat bahawa hukum yang harus boleh menjadi haram sekiranya dibuat secara berlebih lebihan. Contohnya, memakan makanan ringan terlalu kerap sehingga ketagih dan sukar dikawal, sehingga akhirnya boleh membawa pelbagai penyakit. Apabila perkara ini berlaku, maka seseorang itu dilarang mengambil makanan tersebut. Kaedah Fiqah dalam Islam berkata: “Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.”

Hal ini kerana dalam Islam, tujuan syariah (maqasid syariah) itu antara lain ialah memelihara nyawa. Seseorang yang makan makanan ringan secara berlebih-lebihan mengundang dirinya kepada penyakit moden sekarang seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan barah. Justeru, sebelum terkena, hendaklah dielakkan daripada makan terlalu kerap. Sekiranya saudara makan makanan ringan dalam kadar yang minimum (sekali sekala), maka hukumnya adalah harus. Kaedah fiqah berkata: “Asal hukum bagi sesuatu itu adalah harus.”

Wallahu a‘lam.

 susu 1

 

Ustaz Fahrul Irfan Ishak

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas