Menu

 

A+ A A-

USAH BIARKAN USIA BERLALU SEPI

MASA muda sangat berharga, namun tidak semua orang boleh memanfaatkannya. Kebanyakan remaja membiarkan masa mudanya berlalu begitu sahaja. Padahal jika digunakan dengan baik, masa muda dapat membawa seseorang ke puncak kejayaan dalam sekelip mata. Seperti yang terjadi pada remaja berikut ini.

Beliau adalah Yahya bin Aktham al-Tamimi, Abu Muhammad al-Marwazi (w. 242H). Seorang remaja yang sangat cerdas melebihi ramai orang yang lebih tua daripadanya. Imam al-Dzahabi dalam Siar A’lam al-Nubala bahkan mengiktiraf beliau sebagai pakar fiqah yang telah mencapai darjat ijtihad. Kerana keilmuannya, Khalifah al-Makmun melantik Yahya bin Aktham menjadi Hakim Agama (kadi) bagi kota Baghdad, ibu kota Kerajaan Abbasiah. Padahal usia beliau pada saat itu tidak lebih daripada 21 tahun. Semua wazir (menteri) kerajaan sering kali meminta nasihatnya sebelum melakukan sesuatu apapun. Suatu hari, seseorang berniat merendahkan Yahya kerana usianya. Orang seperti ini memang selalu ada di setiap masa, yakni orang yang suka menilai manusia kerana usianya, bukan kerana ilmunya. Di hadapan orang ramai, dia bertanya: “Berapakah usia Tuan Hakim?”

Menyedari maksud di sebalik soalan ini, Yahya bin Aktham menjawab: “Usiaku lebih tua daripada ‘Attab bin Usaid apabila Rasulullah s.a.w. melantiknya menjadi penguasa Makkah. Usiaku lebih tua daripada Muadz bin Jabal apabila Rasulullah s.a.w. mengutusnya menjadi kadi di Yaman. Dan usiaku lebih tua daripada Kaab bin Siwar apabila Umar bin al-Khattab melantiknya menjadi kadi di Basrah.” Jawapan ini membungkam lelaki tersebut.

jgn biarkan usia berll sepi -GEN Q

MASA MUDA, MASA MENYUMBANG

Pemuda seperti Yahya bin Aktham sangat banyak di generasi Salafus Soleh kita. Mereka mampu memanfaatkan masa mudanya dengan baik untuk mencapai kejayaan hidup. Masa muda memang sangat baik untuk apa sahaja. Sebab pada saat ini minda masih jernih, hafalan masih kuat dan tubuh masih sihat. Jika seorang pemuda menginginkan ilmu, maka dia dapat meraihnya lebih mudah dibandingkan orang-orang yang sudah tua. Abdullah bin Abbas, seorang sahabat Nabi, pernah berkata: “Tidaklah Allah memberikan ilmu kepada seseorang melainkan pada masa mudanya. Seluruh kebaikan dimiliki oleh para pemuda.”

Itu sebabnya, tokoh-tokoh Islam terdahulu tidak pernah mensia-siakan satu saatpun daripada masa mudanya. Apabila remaja zaman kita sedang ketagih video game dan muzik, atau tenggelam dalam kisah cinta yang menipu, para remaja di masa Nabi sangat giat menyumbang untuk agama dan umat Islam. Tidak ada yang menyedihkan mereka selain jika terhalang daripada menyumbangkan untuk Islam. Kisah Umair bin Abi Waqqas berikut ini membuktikan tulisan saya.

Beliau hanya seorang remaja belasan tahun apabila kaum Muslimin bersiap-siap menghadapi musuh di perang Badar. Beliau sangat berminat untuk pergi berperang, namun Rasulullah hanya membenarkan orang-orang dewasa sahaja untuk ikut dalam pasukan.

Saad bin Abi Waqqas berkata: Aku melihat adikku, Umair bin Abi Waqqas, sedang bersembunyi di dalam barisan tentera yang akan bertolak ke Badar. Aku bertanya kepadanya: “Apa yang sedang kamu lakukan, wahai adikku?”

Beliau menjawab: “Aku khuatir Rasulullah s.a.w. melihat diriku, lalu menyuruhku pulang. Aku sangat ingin ikut berperang, mudah-mudahan Allah menganugerahkan syahid bagiku.”

Saad berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. melihatnya, Baginda benar-benar melarang Umair ikut berperang. Umair terus menangis dengan sedihnya. Akhirnya Rasulullah s.a.w. mengizinkannya ikut serta.”

Saad bercerita: “Aku mesti mengikat pedang di tangannya agar tidak terjatuh. Sebab dia masih sangat muda. Beliau terbunuh pada perang Badar dalam usia 16 tahun.”

Masya-Allah, remaja yang masih berusia belasan tahun sudah mengerti erti syahid di jalan Allah, dan berusaha mendapatkannya sekuat tenaga. Di mana remaja kita yang memiliki kesedaran seperti ini?

jgn biarkan usia berll sepi1 -GEN Q

PENTERJEMAH

Sebagai pemimpin sejati, Rasulullah s.a.w. menyedari potensi besar yang dimiliki para sahabat kecil ini. Dan Baginda mengiktiraf setiap sumbangan yang mereka berikan bagi kebaikan umat Islam.

Apabila Rasulullah s.a.w. memerlukan seorang penterjemah, Baginda mendatangi Zaid bin Thabit yang masih berumur 11 tahun. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Zaid, pelajarilah bahasa Yahudi. Sesungguhnya, demi Allah, aku tidak berasa aman dengan tipu daya mereka.”

Zaid berkata: “Aku lalu mempelajari bahasa Yahudi. Tidak berlalu setengah bulan, aku sudah menguasai bahasa ini. Aku menulis untuk Rasulullah s.a.w. apabila Baginda ingin menulis surat kepada mereka.”

Kisah inspirasi ini diceritakan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Siar A’lam al-Nubala.

MASA MUDA MENENTUKAN MASA TUA

Siapa diri anda pada masa hadapan ditentukan pada hari ini. Untuk itu, gunakanlah masa muda untuk mengumpulkan bekalan sebanyak-banyaknya bagi masa tua.

Seorang ulama pernah berkata: “Jika hingga usia 40 tahun engkau masih belum ‘menjadi apa-apa’, maka engkau tidak akan ‘menjadi apa-apa’.” Wallahuaklam.¤

 

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas