Menu

 

A+ A A-

HAKIKAT RUPA BENTUK JIN

Ditulis oleh 

Pada prinsipnya, jin tidak dapat dilihat selagi ia berada pada sifatnya yang hakiki, dan tidak menyerupai bentuk yang lain, atau mengambil bentuk fizikal yang lain. Walau bagaimanapun ramai beranggapan bentuk jin sangat hodoh, buruk dan menakutkan.

Sebenarnya, yang menjelma sedemikian adalah syaitan yang suka menakut-nakutkan atau mengganggu manusia. Sememangnya syaitan memang memiliki bentuk yang buruk, tetapi itu jin kafir. Keadaannya berbeza dengan jin Islam yang Allah s.w.t. memberikan bentuk yang baik.

Menurut Muhammad Isa Dawud dalam bukunya, Berdialog dengan Jin Islam, jin sebenarnya mempunyai bentuk yang tidak jauh beza daripada bentuk manusia kecuali terdapat perbezaan-perbezaan kecil seperti kepala jin sedikit lebih besar berbanding tubuh jin jika dibandingkan kepala manusia dengan tubuh manusia.

Mata jin agak memanjang ke atas dan ada juga yang sedikit miring ke arah dahi mirip mata lazimnya manusia berbangsa Cina atau Jepun. Mata jin tidaklah sepet seperi manusia, tetapi lazimnya besar dan lebar seperti mata rusa, namun dengan bentuk yang memanjang.

Warna mata seperti juga manusia ada pelbagai warna seperti hitam, kuning, coklat tua. Justeru anggapan mata jin berwarna merah, boleh jadi diakibatkan oleh adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata iaitu sinar yang selamanya cenderung berwarna merah.

Ia tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya, bahkan suatu keindahan. Adapun mata hitam jin mirip kepada mata hitam kuda atau kucing. Oleh sebab itu jin suka menyerupakan diri dalam bentuk kucing, kuda dan harimau. Hidung pula terletak di tengah-tengah wajah seperti manusia, Cuma bentuknya tidak mancung tetapi pesek atau bulat seperti orang berbangsa Filipina. Jin Islam memanjang janggutnya mengikut sunnah

Nabi s.a.w. tetapi ada juga yang tidak berjanggut. Rambut jin lelaki kasar dan sangat tebal tetapi wanita lebih tebal. Rambut jin wanita sangat-sangat panjang sebagai lambang kecantikan. Sehingga ada di antara mereka yang terseret rambutnya di tanah kerana panjangnya.

Tangan bangsa jin seperti manusia cuma panjang lengan dan kuku agak berbeza. Jin juga mempunyai tulang, jantung, organ pernafasan dan organ pencernaan. Cuma tulang jin agak besar jika dibandingkan dengan kulit dan dagingnya. Jin memiliki kelenturan yang tidak boleh dibayangkan oleh manusia. Organ-organnya agak kecil tetapi semuanya berfungsi sepertimana juga tubuh manusia, sekalipun tidak memerlukan oksigen yang banyak untuk bernafas seperti manusia.

Warna kulit jin adalah berbeza-beza seperti manusia. Kebiasaannya kulit jin lebih hitam daripada kulit manusia yang berkulit hitam. Warnanya mirip dengan warna kerbau. Hanya sangat tebal bulunya. Ada juga di kalangan jin yang berkulit putih dan merah. Jin juga mempunyai dua tanduk.

Tetapi kedua tanduk tersebut sangat kecil sesuai dengan tubuh mereka yang kecil. Ia seperti huruf nun. Adapun syaitan, mereka mempunyai tanduk yang besar sesuai dengan tubuhnya yang besar. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya matahari terbit di antara dua tanduk syaitan, dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan.” (Riwayat Abu Daud)

Jin juga mempunyai alat kelamin sepertimana juga manusia, cuma alat kelamin jin lebih kecil daripada manusia. Mereka juga mempunyai nafsu seksual sepertimana juga manusia.

Begitu juga alat pencernaan yang mencerna segala yang mereka makan. Sisa-sisa pencernaan jin juga keluar dari lubang-lubang pencernaan seperti manusia Cuma najis jin tidaklah berbentuk kasar, melainkan lebih mirip dengan wap yang sangat pekat. Sedangkan air kencing, juga berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya, tetapi sangat ringan dan mirip aliran air pancur.

Benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ibnu Wa’il, daripada Abdullah bin Mas’ud, katanya, disebutkan di hadapan Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki (yang tidak hadir waktu itu). Lalu seseorang mengatakan, “Dia masih tidur hingga pagi tadi, dan tidak bangun untuk solat.” Nabi bersabda, “Syaitan telah mengencingi telinganya.” Hadis yang sama terdapat juga dalam riwayat Muslim, an Nasa’ie dan Ibn Majah.

Di sini kita dapat fahami, bahawa tidur yang disertai zikir kepada Allah s.w.t. dan disertai dengan niat untuk bangun bagi melaksanakan perintah Allah, merupakan dua hal yang dapat menolak syaitan daripada  mendatangi seorang Muslim. Amalan ini boleh menyebabkan datangnya pertolongan Allah dalam menunaikan kewajipan yang difardukan kepada manusia. ¤.


Oleh Dato’ Ismail Kamus
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Read 7435 times
Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.